Panduan Membeli Laptop Baru: Tips untuk pelajar universiti

Sebagai pelajar universiti, laptop atau komputer riba merupakan salah satu keperluan terutamanya bagi pelajar IT (information  technology) atau Bioinformatics. Banyak kerja yang akan tergendala tanpa adanya laptop ataupun laptop anda bermasalah.

Apa yang anda perlukan untuk membeli laptop?
Duit...

Ya, duit merupakan perkara utama yang diperlukan untuk membeli laptop tapi ilmu juga penting. Hal ini kerana, ilmu lah yang dapat membantu kita membuat pilihan semasa pembelian. Pilihan laptop haruslah betul-betul menepati keperluan dan citarasa anda kerana jumlah wang yang akan dilaburkan bukan sedikit. Pasti anda tidak mahu menyesal di kemudian hari atau kerap menukar laptop. Apakah yang perlu diutamakan ketika memilih laptop? Marilah kita lihat beberapa aspek yang harus dititikberatkan ketika memilih laptop.

Sistem operasi (operating system)
Anda disarankan untuk memilih laptop dengan sistem operasi yang anda sudah biasa gunakan ataupun sistem operasi yang mempunyai bilangan pengguna yang ramai. Hal ini kerana, sistem operasi yang mempunyai ramai pengguna di seluruh dunia akan memudahkan anda untuk membuat rujukan bagi mempelajari cara menggunakan atau menyelesaikan masalah yang mungkin timbul di kemudian hari. Windows merupakan sistem operasi yang digunakan secara meluas di seluruh dunia. Namun, jika anda inginkan cabaran dan mempunyai banyak masa untuk mempelajari sistem operasi yang baru, tidak salah untuk mencuba sesuatu yang baru. Pemilihan sistem operasi merupakan perkara utama yang anda harus tentukan supaya dapat mengecilkan skop pilihan laptop. Contohnya, jika anda ingin menggunakan Windows sebagai sistem operasi, anda tidak perlu membuang masa untuk membuat kajian tentang MacBook. Antara 3 jenis sistem operasi:


Image result for windows 10
Windows (Sumber: Google)
Image result for mac os
Mac OS (Sumber: Google)


Image result for ubuntu
Ubuntu, one type of Linux (Sumber: Google)

Pemproses (Processor)
Terdapat dua jenis pemproses yang sering digunakan di dalam laptop yang berada di pasaran iaitu Intel dan AMD. Jika dibandingkan antara kedua-dua pemproses, ramai yang menggunakan Intel berbanding AMD. Bagi yang ingin membeli laptop dengan pemproses Intel, anda disarankan untuk membeli Intel Core i5 dan ke atas untuk mendapatkan prestasi yang lebih optimum. Untuk pemproses AMD, AMD Ryzen dikatakan antara pemproses AMD yang terbaik. Pemproses terbaru dalam pasaran biasanya dijual dengan harga yang tinggi. Jadi, lihatlah bajet anda sebelum membuat pilihan.

Ingatan capaian rawak (Random access memory, RAM)
Pemilihan RAM berkait rapat dengan pemproses dan juga tujuan anda membeli laptop. Jika anda hanya mahukan laptop dengan fungsi asas, 2GB RAM sudah memadai. Jika mahu lebih selesa, anda boleh memilih laptop dengan 4 GB RAM. Bagi yang banyak mengendalikan grafik, suntingan video dan programming, anda disarankan untuk memilih 8GB RAM. Pastikan pemilihan RAM dan pemproses selaras. RAM menentukan bilangan program yang dapat digunakan dalam satu masa (multitasking) manakala pemproses menentukan kelajuan pemprosesan dalam laptop tersebut. Contohnya, jika anda mahu laptop dengan 8GB RAM, anda disarankan untuk mencari pemproses Intel Core i5 dan ke atas bagi mendapatkan prestasi yang maksimum. Semakin tinggi RAM sesebuah laptop, semakin tinggi harga laptop tersebut. Jika bajet anda terhad, jangan risau kerana anda boleh membeli laptop dengan RAM yang rendah dan menambah RAM kemudian.

HDD atau SSD
Hard disk drive (HDD) dan Solid-state drive berbeza dalam pelbagai aspek. HDD mempunyai komponen yang bergerak manakala SSD tidak mempunyai komponen yang bergerak. Memandangkan HDD mempunyai komponen yang bergerak, anda mungkin terdengar bunyi pergerakan dan haba yang dihasilkan juga lebih banyak berbanding SSD. Bagi yang mementingkan prestasi, anda boleh memilih laptop dengan SSD kerana SSD lebih laju. Namun, jika kos merupakan isu yang besar, HDD merupakan pilihan yang lebih baik kerana HDD menawarkan kapasiti storan yang lebih besar dengan harga yang lebih murah. Selain itu, terdapat juga laptop yang menggabungkan kedua-dua HDD dan SSD.

Pemacu DVD
Pada masa kini, banyak laptop baharu yang tidak disertakan pemacu DVD memandangkan banyak perkara yang boleh didapatkan daripada Internet. Gaming laptop biasanya tidak mempunyai pemacu DVD. Jika bidang pengajian anda tidak begitu memerlukan anda untuk burn cd/dvd, anda boleh memilih laptop tanpa pemacu DVD. Tetapi kalau anda tetap mahu membeli laptop tanpa pemacu DVD walaupun anda memerlukannya, anda boleh membeli pemacu DVD mudah alih. Hanya sambungkan ke USB port apabila anda ingin menggunakannya.

Port dan connectivity
Pilih laptop dengan bilangan USB port yang anda inginkan. Ada laptop yang mempunyai hanya 2 USB port dan ada yang mempunyai lebih banyak. Selain itu, lihat sama ada laptop itu mempunyai HDMI port atau VGA port. Sebelum ini, kebanyakan laptop mempunyai kedua-dua HDMI dan VGA port tetapi laptop baru biasanya hanya mempunyai salah satu daripada port ini. Jadi, anda harus selidik terlebih dahulu sama ada institusi pengajian anda banyak meyediakan HDMI port atau VGA port. Hal ini amat penting apabila anda harus membuat pembentangan menggunakan laptop sendiri melainkan anda mempunyai adapter.

Jaminan (warranty)
Sebaik-baiknya pilih laptop dengan jaminan yang lebih lama dan mempunyai pusat servis (service centre) yang berdekatan dengan tempat tinggal anda. Hal ini dapat memudahkan anda untuk pergi ke pusat servis sekiranya terdapat sebarang masalah.

Semoga perkongsian ini dapat membantu anda membuat pilihan dalam membeli laptop yang diperlukan. Pilihlah berdasarkan specifikasi yang dimiliki oleh sesebuah laptop bukan berdasarkan warna atau reka bentuk semata-mata.


Comments