Sambal Hitam Pahang

Seperti yang saya katakan dalam entri resepi kubis ungu goreng bersama ayam (klik sini untuk baca), saya akan membuat satu entri tentang sambal hitam. Bagi yang berasal dari negeri Pahang Darul Makmur, anda pasti tahu tentang sambal yang popular di Pahang selain daripada sambal tempoyak, iaitu sambal hitam.

Bahan utama untuk membuat sambal hitam adalah belimbing buluh dan juga ikan bilis. Belimbing buluh perlu direbus untuk beberapa jam (sangat lama sebenarnya) sebelum sambal hitam boleh dimasak. Setelah belimbing buluh bertukar warna kepada warna hitam, barulah anda boleh mula memasak. Terdapat peniaga yang terus membeli belimbing buluh yang sudah siap direbus bagi menjimatkan masa penyediaan.

Di Negeri Pahang, terdapat pelbagai versi sambal hitam (kering atau sedikit basah) dan tahap kepedasan juga berbeza. Ada sambal hitam yang mempunyai lebih banyak rasa belimbing buluh dan ada yang mempunyai lebih banyak rasa ikan bilis. Agak mudah untuk mendapatkan bekalan sambal hitam di setiap daerah di negeri Pahang. Tetapi bagi warga Pahang yang merantau ke negeri lain, memang susah untuk mencari sambal hitam. Saya tidak pernah jumpa peniaga yang menjual sambal hitam di luar negeri Pahang melainkan anda beli secara online.

Disebabkan proses penyediaan yang mengambil masa yang lama dan memerlukan kesabaran yang tinggi, harga sambal hitam agak mahal. Tapi saya tetap beli sebab rasanya yang sedap dan dapat meningkatkan selera ketika makan. Memang sedap kalau makan nasi putih dengan sambal hitam walaupun dengan lauk yang ringkas. Makanan yang menjimatkan bagi student (tak perlu beli lauk ayam)😂.

Anda perlu pertimbangan beberapa perkara sebelum membeli sambal hitam. Jika anda ingin menyimpan sambal hitam untuk tempoh yang lama (beberapa bulan), saya sarankan anda membeli sambal hitam yang kering. Hal ini kerana sambal hitam yang sedikit basah cenderung untuk berkulat dengan lebih cepat. Salah satu cara untuk atasi masalah ini adalah dengan panaskan sambal hitam tersebut sehingga betul-betul kering.

Harga yang paling murah saya pernah dapat adalah RM 6. Ada yang mencecah sehingga RM 8 untuk bekas yang kecil. Harganya juga semakin meningkat, jadi kena pandai-pandai cari peniaga yang jual sambal hitam dengan harga yang murah dan kena dengan citarasa anda. Sambal hitam dalam gambar di bawah saya beli dengan harga RM 6 sebekas di hentian Benta, Kuala Lipis. Rasanya kedai nombor 2 atau nombor 3 dari tandas di hentian tersebut. Hentian tersebut agak dekat dengan Petronas Benta. Sambal hitam tersebut adalah jenis kering dan tidak terlalu pedas.

Sambal hitam Hentian Benta, Kuala Lipis
*Kalau anda tahu mana-mana sambal hitam yang sedap, boleh tinggalkan komen di bawah. 

Moh lah weh sokong produk Pahang😊

Comments

  1. wahh oak orang pahang ke? umi saya orang Raub, Pahang so umi tahu la nak buat sambal hitam ni. so kalau awak nak order, meh la. ehhh hahahaha. saya jenis suka sambal hitam yang versi light (tak strong sangat rasa belimbing dia) dan basah basah sikit hehe.

    tapi memang susah nak masak belimbing tu. umi pernah try sekali tapi tak jadi hahaha.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Haah, kawan orang Pahang. Amboi, sempat lagi promote😂. Masih ada stok sambal hitam, kena habiskan stok dulu😅.

      Delete
  2. waa.. terliur saya ha.. hee~ makan pulak dengan nasi panas dan telo mata kerbau.. eh !! nak kena menyambal jugak lah ni haa..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Betul tu, makan dengan nasi dan telur mata kerbau pun dah menyelerakan.

      Delete
  3. Sekarang ramai jual online je ye sambal ni. Kalau kt luar mcm susah ckit nk jumpa huhu. Memang sedap nampak.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Betul tu, tapi feeling dia lain kalau beli terus kat kedai dengan beli online😂

      Delete
  4. Memang sedap sambal hitam pahang nie.. Sha pun suka.. Makan dengan nasi panas-panas takpun buat rencah nasi goreng.. Pergh!!..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Saya tak pernah cuba lagi buat rencah nasi goreng guna sambal hitam. Boleh lah cuba nanti.

      Delete
  5. Asalam..terima kasih datang menjadi salah seorang pengkomen unggul di blog Etuza.
    Maaf tertinggal nama blob ni..dah lengkap alamat dah saya copy ya dek

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sama-sama. Terima kasih juga kerana sudi ke blog saya yang masih baru ni.

      Delete
  6. herba tradisional orang melayu

    ReplyDelete

Post a Comment