Hala Tuju Selepas SPM: Sambung belajar atau bekerja?


Baru-baru ini keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 telah diumumkan. Tahniah diucapkan kepada yang mendapat keputusan cemerlang. Kepada yang kurang cemerlang, jangan bersedih kerana anda telah mencuba yang terbaik. Selepas mendapat keputusan SPM, pasti ramai pelajar yang berada dalam dilema sama ada ingin melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi atau bekerja. Jadi, mari kita lihat antara pilihan yang ada untuk pelajar lepasan SPM.

Tingkatan 6
Ini merupakan antara pilihan yang melibatkan kos yang rendah jika anda ingin melanjutkan pelajaran selepas SPM. Hal ini kerana anda akan belajar di sekolah menengah cuma dengan gelaran pelajar pra universiti. Kebiasaannya pelajar yang tidak mendapat tawaran UPU atau matrikulasi cenderung untuk memilih tingkatan 6 sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda. Anda boleh menggunakan keputusan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) untuk permohonan ke universiti kelak. Namun, tingkatan 6 mengambil masa yang lama berbanding asasi dan matrikulasi kerana tempoh pengajiannya adalah selama satu tahun setengah.

Matrikulasi
Permohonan dibuat pada tahun SPM diduduki dan bukannya selepas keputusan SPM diumumkan. Pelajar mempunyai tiga pilihan iaitu sains, teknikal dan perakaunan. Program matrikulasi dibahagikan kepada dua iaitu yang berdurasi satu tahun dan yang berdurasi dua tahun. Jika anda memilih program matrikulasi yang berdurasi satu tahun, anda dapat menjimatkan masa seperti pelajar asasi. Kekurangan matrikulasi adalah sijilnya tidak dapat digunakan untuk permohonan kerja.

Asasi
Bagi yang ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat asasi, anda boleh memilih untuk belajar di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS). Apabila melanjutkan pengajian ke peringkat asasi, anda akan terdedah kepada kehidupan sebenarnya sebagai seorang pelajar universiti. Peluang untuk ditawarkan kemasukan ke peringkat ijazah sarjana muda juga lebih tinggi kerana universiti akan lebih mengutamakan pelajar daripada program persediaan mereka. Selain itu, anda dapat menjimatkan masa kerana tempoh pengajiannya hanya setahun. Namun, anda tidak dapat menggunakan sijil asasi untuk memohon kerja.

Diploma
Melanjutkan pengajian ke peringkat diploma tidak jauh beza dengan asasi cuma tempoh pengajiannya lebih lama dan sijilnya boleh digunakan untuk memohon kerja. Pelajar diploma akan belajar sesuatu subjek dengan lebih mendalam berbanding pelajar asasi sebagai persediaan untuk bekerja selepas tamat belajar. Sesetengah pelajar lepasan diploma dapat mengurangkan tempoh pengajian untuk ijazah sarjana muda melalui pemindahan kredit bagi subjek-subjek diploma.

Bekerja
Bagi yang sudah tidak berminat untuk belajar atau pun mempunyai masalah kewangan, pilihan yang ada adalah untuk bekerja. Sekurang-kurangnya anda dapat meringankan beban kewangan ibu bapa. Anda boleh memohon pekerjaan yang memerlukan kelayakan SPM sahaja atau pun berniaga secara kecil-kecilan. Anda boleh memanfaatkan media sosial sebagai platform untuk mempromosikan perniagaan anda.

Pilihan yang terbaik untuk setiap orang adalah berbeza. Nilai lah kemampuan diri anda dan buat pilihan yang anda rasakan terbaik untuk diri anda. Mudah-mudahan semuanya dipermudahkan dan anda dapat mencapai cita-cita anda. Kalau ada apa-apa pertanyaan, boleh tinggalkan komen. Selamat maju jaya.

Comments

  1. dilema juga bila anak2 murid text tnya pendapat. takut tersalah kasi nasihat..
    seeloknya bincang dengan parents. semua ada pro n cons..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Betul tu. Kita boleh bagi pendapat berdasarkan pengalaman dan pengetahuan yang kita ada tapi pelajar tu sendiri yang kena buat pilihan.

      Delete
  2. Dilema anak-anak lepas dapat keputusan.. SPM mahupun STPM.. Ada yang dah buat keputusan sebelum result keluar tapi bila result dah ada tangan keputusan jadi berbelah bahagi.. semoga pilihan mereka adalah hak mereka bukannya ditentukan oleh orang lain..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Betul tu. Mereka ada hak untuk tentukan masa depan mereka.

      Delete
  3. Pilihlah yang terbaik untuk diri sendiri. Tambah pulak skrg ni bnyk je peluang belajar dan kalau rasa nak kerja terus pun terpulang pada diri sdri yg mampu dah untk buat keputusan kan 🙂

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ya, Yea. Semuanya terpulang kepada diri sendiri.

      Delete

Post a Comment