E-NOVEL: Kan Kutunggu Kau Kembali |
Hai semua peminat novel. Terima kasih kerana berminat dengan karya saya dan masih mengikuti e-novel Kan Kutunggu Kau Kembali. Kepada yang masih baru di blog ini, anda boleh klik E-Karya untuk baca karya-karya yang lain.
Jangan buang masa lagi. Marilah baca bab 2 untuk e-novel ini. Selamat membaca.
Apabila Aqil melangkah masuk ke
KFC, kelihatan Eshal sibuk melihat sesuatu di telefon pintarnya. Dia merasakan
bahawa Eshal kelihatan sangat cantik dan ayu dengan baju kurung berwarna merah
jambu itu. Eh, apa yang aku mengarut ni, desis Aqil sambil melangkah ke arah
Eshal.
Eshal yang melihat Aqil menuju
ke arahnya, terus meletakkan telefonnya.
“Qil, kau ni ambil duit kat ATM
ataupun kau pergi cetak duit? Kenapa lambat sangat? Kau melencong ke lain kan?”
bertalu-talu soalan diajukan kepada Aqil.
“Aku terserempak dengan kawan
tadi sebab itu lambat sikit. Kau nak makan apa? Snack Plate atau nak cuba menu
baru?” tanya Aqil.
“Kau memang tahu kan apa yang
aku nak. Hari ni aku nak makan Snack Plate. Tak feeling kalau cuba menu baru bila nak cepat balik office. Kau teman aku makan menu baru tu
hari lain. Lagipun aku nak buat review di
blog, jadi kena betul-betul rasa menu baru tu sedap ke tidak. Terima kasih ya,
Qil sebab tolong beli dan tolong bayarkan.”
Aqil hanya menggelengkan kepala
apabila mendengar permintaan Eshal. Nampaknya dia harus makan KFC lagi hujung
minggu ini. Namun, apabila memikirkan dia tidak ada banyak masa lagi di
Malaysia, akan diturutkan apa jua kehendak Eshal.
“Sama-sama, Shal. Nanti bila
dapat gaji, kau pula belanja aku. Tapi aku tak nak KFC. Aku nak yang lagi
mahal,” minta Aqil.
“Baiklah, sahabatku Aqil Rayyan.
Aku tak kisahlah kau nak minta makanan apa bila dah dapat gaji. Nanti kita
bincang tentang tu. Masalahnya sekarang aku dah lapar. Bila kau nak pergi beli
makanan?” tanya Eshal. Dia geram dengan Aqil yang masih berdiri di situ dan
belum membeli makanan.
“Ya, aku nak pergi beli ni. Kau
ni kalau bab makan mesti tak boleh sabar. Ayam KFC tu tak lari pun. Ada je kat
sini.” Aqil terus ke kaunter selepas ‘dihalau’ oleh Eshal. Jika dia terus berada
di situ, pasti Eshal akan mengamuk nanti. Maklumlah, orang yang lapar ni
emosinya tak stabil.
Sinar kebahagiaan jelas
terpancar di wajah Eshal ketika Aqil sampai dengan membawa makanan
kegemarannya. Tidak sabar rasanya untuk dia merasai ayam goreng KFC itu. Baru
sahaja dia ingin menyuap ayam itu ke mulutnya, Aqil bersuara.
“Dah baca doa makan ke belum?”
Sejurus selapas itu, dia membaca
doa makan dan terus menikmati ayam KFC tersebut. Salah satu perkara yang Eshal
suka tentang Aqil adalah sikapnya yang suka mengingatkan Eshal dan tidak pernah
sesekali mengambil kesempatan terhadapnya.
“Shal, macam mana event untuk pembukaan kafe Vivian hari
tu? Aku dengar cerita macam-macam makanan percuma disediakan.”
“Memang best. Rugi kau tak pergi. Aku dengan Rania memang kekenyangan
sampai tak larat nak jalan. Vivian siap bagi makanan untuk bawa balik. Nanti
kita pergi makan kat sana. Kau mesti suka tempat tu. Aku memang akan recommend kafe dia kepada sesiapa yang
nak rasa makanan cina yang halal.”
Eshal, macam manalah aku nak
duduk di UK tanpa kau, kata Aqil di dalam hati. Pasti dia akan merindui Eshal
terutamanya apabila teringatkan wajah ceria Eshal apabila mendapat makanan. Gadis
itu memang tidak dapat disahkan dengan makanan. Dia masih ingat lagi kenangan
mereka di universiti. Eshal pasti mengajaknya untuk keluar makan jika dia
berasa stres.
“Ramai ke yang pergi majlis pembukaan kafe
tu?”
“Ramai juga. Aunty Anne yang ada kat Singapura pun
datang ke Malaysia untuk majlis tu. Memang meriah sangat. Aku ada jumpa Adib
dan Jessica juga.”
“Biar betul kau jumpa dua orang
tu? Dia orang macam mana? Dah okay ke?”
“Nampak macam okay. Kita orang semua duduk satu meja.
Tapi macam awkward sikit. Dia orang
dah tak bercakap macam dulu. Hanya cakap hai je. Untuk mengelakkan suasana jadi
sunyi sepi, aku dengan Rania lah yang banyak bercerita. Takkan kau tak tahu
mulut Rania tu macam mana. Suara dia tu memang tak perlukan mikrofon dah.”
Eshal tergelak apabila teringatkan sikap Rania yang banyak cakap itu.
“Tak sangka persahabatan dia orang
boleh jadi macam tu disebabkan satu peristiwa je. Aku harap sangat persahabatan
kita takkan berakhir macam tu.”
“Dah tertulis persahabatan dia
orang berakhir macam tu. Kita sebagai kawan, boleh bagi sokongan moral je. Kita
tak ada hak untuk masuk campur lebih-lebih. Kau jangan risaulah. Aku akan
berusaha sebaiknya untuk kekalkan persahabatan kita ni. Cuma satu je aku minta
daripada kau. Jangan pernah menipu atau tikam belakang aku.”
Aqil terdiam apabila mendengar
ayat Eshal yang terakhir. Mungkinkah Eshal akan meninggalkannya jika dia
mendengar berita kepergian Aqil ke UK melalui orang lain? Masih adakah peluang
kedua untuk Aqil jika hal itu terjadi?
“Kenapa kau tiba-tiba diam? Aku
ada salah cakap ke?” Eshal hairan meilhat sahabatnya yang tiba-tiba diam.
“Kau tak ada salah cakap pun.
Aku tengah tengok kau makan. Kau ni memang tak boleh dipisahkan dengan makanan.
Shal, kalau kau nak pergi makan kat mana-mana, beritahu je aku. Selagi aku ada,
aku akan bawa ke mana saja kau nak pergi,” ujar Aqil dengan nada sedih.
“Kenapa kau tiba-tiba buat ayat
macam ni? Kau ada something nak
beritahu aku ke? Tolong jangan cakap kau ada penyakit kronik dan umur kau tak
panjang lagi.” Imaginasi Eshal memang agak berlebihan kadang-kadang akibat
terlalu banyak menonton drama.
“Cuba kau doa yang baik-baik
untuk aku. Aku tak ada apa-apa penyakit kronik pun. Aku cuma nak kau tahu yang
aku akan selalu ada dengan kau sebab kau satu-satunya orang yang paling rapat
dengan aku.”
“Qil, kau cuba nak propose aku ke sekarang ni? Hari ni kau
memang nampak lain.”
“Shal, boleh tak berhenti cakap
benda yang bukan-bukan? Cepat habiskan makanan. Nanti lambat pula kita sampai office. Aku ada meeting kat luar lepas ni, jadi memang tak balik ke office. Aku risaukan kau je. Nanti kau kena marah dengan Encik Azmi pula.”
“Mana boleh makan cepat-cepat.
Berilah peluang untuk aku untuk menikmati ayam KFC ni. Bukan aku yang mula
dulu. Kau yang tiba-tiba bersikap aneh hari ni. Aku macam biasa je. Jangan risau tentang Encik Azmi. Aku rasa masih sempat ni.”
Lain rasanya apabila orang
belanja. Ini bukan pertama kali Aqil membayarkan makanan Eshal. Lelaki itu
sering menawarkan dirinya atau lebih tepatnya memaksa Eshal membenarkan dia
membayar makanan yang mereka makan.
“Baiklah, aku bagi kau peluang
untuk makan dengan tenang. Nikmatilah ayam KFC kau tu. ”
“Terima kasih kerana memahami.
Sedapnya ayam KFC ni. Jangan lupa tahu, Qil.”
“Lupa apa? Aku tak faham,” kata
Aqil dengan wajah kebingungan.
“Jangan lupa untuk teman aku
cuba menu baru KFC nanti.”
“Ya, aku tak lupa.”
Setelah tiba di pejabat, Eshal
terus menghidupkan komputernya kerana dia perlu menyiapkan pelan pemasaran yang
harus dibentangkan pada keesokkan harinya. Sebenarnya dia sudah menyiapkan draf
pada minggu lalu tetapi ada beberapa perubahan yang harus dibuat kerana bosnya
kurang berpuas hati dengan kos yang dia letakkan.
Pada masa yang sama, dia asyik
memikirkan sikap Aqil yang agak pelik. Tidak pernah Aqil bersikap sebegitu
sebelum ini. Dia tertanya-tanya apakah
yang membelenggu fikiran Aqil sebenarnya.
Takkanlah Aqil ada masalah yang
serius? Tapi dia tak pernah cerita apa-apa dengan aku. Tak boleh jadi ni. Macam
tak tenang pula nak buat kerja. Aku kena siasat sebab Aqil tiba-tiba jadi
pelik. Kalau nak kata dia suka aku, macam tak logik pula. Aku dah kenal dia
selama 12 tahun tapi tak pernah pula bercakap soal hati dan perasaan. Adakah
apa yang berlaku pada Adib dan Jessica akan terjadi pada aku dan Aqil suatu
hari nanti? Minta dijauhkanlah. Apa yang kau mengarut ni, Shal?
Ketika asyik memikirkan tentang
Aqil, Eshal ternampak Encik Azmi yang baru pulang dari makan tengah hari. Nasib
baik dia sudah menghidupkan komputernya. Jika tidak, pasti Encik Azmi
beranggapan bahawa dia curi tulang.
Sudahlah, Shal. Baik kau fokus
buat kerja sekarang. Kenapa kau nak kusutkan fikiran kau? Lebih baik kau
sambung buat kerja sebelum Encik Azmi datang ke meja kau. Buatnya dia minta kau
hantar pelan pemasaran tu secara tiba-tiba, memang habislah kau kalau kau tak
siap lagi.
Pada pukul 5 petang, kebanyakkan
pekerja sudah ingin pulang ke rumah masing-masing. Eshal juga bersiap-sedia
untuk pulang tetapi dia menunggu Aqil menghantar Whatsapp kepadanya terlebih dahulu. Sudah menjadi kebiasaan untuk
mereka berjalan ke tempat letak kereta bersama-sama.
Setelah menunggu selama 20
minit, Eshal mengambil keputusan untuk menghantar Whatsapp kepada Aqil.
Qil,
kau kat mana? Aku dah habis kerja dan ada kat lobi sekarang ni.-Eshal BFF
Aku
baru nak turun. Ada discussion dengan
Datuk Azlan tadi. Kau tunggu jap.-Aqil BFF
Eshal berasa lega apabila melihat
Aqil yang baru keluar daripada lif.
“Sorry, Shal. Mesti dah lama kau tunggu aku.”
“Adalah dalam 30 minit macam tu.
Tapi tak apa lah, bukannya selalu aku tunggu kau sebab selalunya kau yang
tunggu aku. Apa yang kau bincang dengan Datuk Azlan?”
“Mana boleh beritahu kau tentang
apa sebab confidential,” jawab Aqil.
Eshal yang mendengar jawapan Aqil terus bergegas ke keretanya. Geram pula dengan Aqil yang ingin berahsia dengannya. Aqil yang tidak mengerti dengan tindakan Eshal terus mengejarnya.
Nampak menarik, tapi kena baca dari Bab 1 sebab ni dah bab 2.
ReplyDeleteKena baca dari prolog. Baru tahu apa yang terjadi sebenarnya😊.
DeleteTerbaik :)
ReplyDeleteTerima kasih, Yea.
Delete