Setelah hampir sebulan saya tidak update tentang e-novel, hari ini saya akan kongsikan bab 4 untuk e-novel Kan Kutunggu Kau Kembali. Buat yang perlu baca bab-bab lain, boleh pergi ke E-Karya untuk baca. Sebenarnya, bukan tak sempat menulis tapi tak sempat nak semak balik bab yang telah ditulis. Seperti yang saya janjikan, dalam bab 4, anda akan dapat mengenali ahli keluarga Eshal. Agak-agaknya, serapat manakah hubungan Aqil dan keluarga Eshal? Kalau nak tahu, kenalah baca. Selamat membaca.
E-NOVEL: Kan Kutunggu Kau Kembali |
Aqil bersiap-siap untuk ke
Temerloh, Pahang untuk berjumpa dengan ibu Eshal. Dia ingin memberitahu tentang
pemergiannya ke UK. Dia merasakan bahawa lebih baik dia memberitahu ibu
terlebih dahulu sebelum memberitahu Eshal. Dia menghubungi Puan Aqilah terlebih
dahulu sebelum memulakan perjalanan.
“Hello, ibu. Qil baru nak
bertolak ni. Mungkin dalam pukul 12 nanti Qil sampai Temerloh,” beritahu Aqil kepada
Puan Aqilah.
“Baiklah. Bawa kereta baik-baik.
Jangan terburu-buru nak sampai ke sini,” pesan Puan Aqilah kepada anak
angkatnya itu.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Puan Aqilah tertanya-tanya
tujuan Aqil ingin berjumpanya seorang diri. Kebiasaannya dia akan datang
bersama Eshal. Tak akan Aqil ingin meminang Eshal, ujarnya di dalam hati. Dia
pergi ke dapur untuk menyediakan sedikit hidangan untuk Aqil.
Eliana yang baru pulang daripada
kedai runcit berasa hairan apabila melihat ibunya sibuk memasak hidangan yang
istimewa. Hal ini kerana, ibunya hanya akan memasak hidangan sebegitu jika ada
majlis tertentu atau ada tetamu istimewa yang ingin berkunjung ke rumah mereka.
“Ibu, Lia dah balik. Kenapa ibu
masak macam-macam ni? Kak Shal nak balik ke hari ni?”tanya Eliana.
“Bukan Kak Shal yang balik tapi
Abang Aqil nak datang. Katanya ada hal penting nak diberitahu.”
“Jangan-jangan Abang Aqil nak
kahwin dengan Kak Shal. Lia dah cakap dengan ibu dulu yang lelaki dan perempuan
tak boleh jadi kawan baik. Bestnya
nak dapat abang ipar.”
“Pandai-pandai je kamu ni buat
andaian. Tapi ibu suka kalau Aqil tu jadi menantu ibu. Dah lah lebih baik kamu
tolong ibu masak. Takut makanan tak siap lagi bila dia sampai nanti.”
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
“Assalamualaikum,” ucap Aqil
apabila dia tiba di hadapan rumah Puan Aqilah. Eliana yang terdengar seseorang
memberi salam terus bergegas untuk membuka pintu.
“Waalaikumussalam. Eh, Abang
Aqil rupanya. Jemputlah masuk. Ibu ada kat dapur. Sibuk buat persiapan sebab
abang nak datang,” kata Eliana sambil tersenyum.
“Ya ke? Abang rasa macam
menyusahkan ibu pula,” balas Aqil lalu dia menuju ke dapur untuk mencari Puan
Aqilah. Dia memang sudah mahir dengan selok-belok rumah Eshal kerana setiap
tahun pasti dia akan beraya bersama keluarga Eshal.
Puan Aqilah yang sibuk menghidangkan
makanan tidak menyedari bahawa Aqil sedang memerhatikannya. Dia sungguh
kelam-kabut untuk membuat persiapan. Dia berasa tidak senang jika tidak membuat
persiapan yang baik apabila ada tetamu yang ingin berkunjung ke rumahnya.
“Ibu, kenapa masak banyak sangat
ni?” tanya Aqil.
“Kamu ni Aqil, buat terkejut ibu
je. Anak angkat kesayangan ibu nak datang, jadi ibu masaklah special sikit. Marilah makan dulu. Lepas
siap makan, baru kita bincang,” kata Puan Aqilah.
Aqil yang sememangnya merindui
masakan Puan Aqilah terus mengambil tempat duduk. Puan Aqilah duduk
bertentangan dengan Aqil manakala Eliana pula duduk di sebelahnya. Sememangnya
Aqil mempunyai tempat duduk yang tersendiri di meja makan rumah tersebut
seolah-olah dia merupakan ahli keluarga mereka. Jika Eshal juga ada bersama,
pasti gadis itu akan duduk di sebelahnya.
“Abang Aqil, kenapa Kak Shal tak
balik sekali? Tak akan dia kerja masa weekend?” tanya
Eliana.
“Sebenarnya, Kak Shal tak tahu pun abang datang sini. Kalau
boleh, ibu dan Lia jangan beritahu Shal. Nanti abang cerita tujuan abang datang
ke sini. Lia, lama ke cuti semester?”
“Lama juga, dalam dua bulan. Jadi, Lia duduk rumah je masa
cuti ni.”
“Tak nak cari kerja part
time ke?”
“Lia ni asyik melayan drama
Korea saja kalau balik ke rumah. Ibu pun tak tahulah apa yang best sangat dengan drama tu,” kata ibu.
“Ibu kena tengok dulu drama tu,
baru ibu tahu best ke tak.”
“Kalau ibu asyik melayan drama
tu, memang tak makan lah kamu kat rumah ni.” Aqil dan Eliana tergelak apabila
mendengar kata-kata Puan Aqilah.
Ketika mereka rancak berbual,
kedengaran ada Whatsapp yang baru
diterima oleh Aqil.
Qil,
kau buat apa weekend ni? Aku bosan
lah. Jom keluar tengok wayang.-Eshal BFF
Sorry, Shal.
Aku tak free hari ni. Esoklah kita
keluar.-Aqil BFF
Ok.-Eshal
BFF
Setelah membalas Whatsapp daripada Eshal, Aqil menyambung
perbulannya bersama Puan Aqilah dan Eliana.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Selepas makan, Aqil ke ruang
tamu untuk berehat sementara menunggu Puan Aqilah dan Eliana mengemas meja
makan. Dia melihat potret keluarga yang diletakkan berhampiran dengan rak yang
menempatkan trofi kemenangan Eshal dan Eliana dalam pelbagai pertandingan. Dia
teringat ketika pertama kali dia mengikut Eshal pulang ke kampungnya, Eshal
begitu teruja menceritakan kisah di sebalik setiap trofi kemenangannya.
Agak-agaknya dapatkah aku
jejakkan kaki ke rumah ni lagi lepas Eshal tahu perkara yang sebenar?
Mungkinkah ini kali terakhir aku ke sini? Aku harap jawapannya tidak, Shal. Kau
dan keluarga kau sahajalah keluarga yang aku ada.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
“Ibu, cepatlah sikit kemas meja
tu. Lia tak sabar nak tahu perkara yang Abang Aqil nak beritahu.”
“Kamu ni Lia, cuba bawa bersabar
sikit. Kalau mulut kamu saja yang bergerak tapi tangan tu duduk diam saja,
memang lambat lagilah kita nak siap kemaskan meja ni.”
“Baiklah, ibu. Lia lebihkan
pergerakan tangan dan kaki daripada mulut,” kata Eliana sambil membawa pinggan
kotor ke sinki untuk dibasuh. Dia cuba membasuh pinggan tersebut secepat
mungkin kerana hatinya tidak tenteram sekali tidak mengetahui apa yang ingin
diberitahu oleh Aqil.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Usai mengemas, Puan Aqilah dan
Eliana terus menuju ke ruang tamu untuk mendengar perkara yang ingin
disampaikan oleh Aqil. Apabila semua sudah mengambil tempat, Aqil memulakan
bicara.
“Ibu, Lia, tujuan Qil datang ni
untuk beritahu yang Qil…” Belum sempat Aqil menghabiskan ayatnya, Eliana sudah
menyampuk.
“Lia tahu. Abang Aqil dengan Kak
Shal nak kahwin, kan?” tanya Eliana dengan muka teruja. Dia sangat gembira jika
kakaknya berkahwin dengan Aqil kerana dia tahu yang Aqil amat menyayangi
kakaknya dan akan menjaganya dengan sebaik mungkin. Sudah lama dia mengimpikan
Abang Aqil untuk menjadi abang iparnya. Nampaknya impian Eliana yang disangka
bakal menjadi kenyataan musnah dengan jawapan yang diberikan oleh Aqil.
“Eh, bukan. Abang dengan Kak
Shal BFF saja. Sebenarnya, abang dinaikkan pangkat.”
“Baguslah kalau macam tu. Tapi
kenapa muka abang macam sedih saja?,” tanya Eliana. Dia hairan melihat wajah
muram Aqil. Bukankah kenaikan pangkat adalah perkara yang diinginkan oleh
setiap pekerja?
“Betul, berita kenaikan pangkat
merupakan berita yang baik. Cuma masalahnya abang kena berpindah ke UK sebab
ada cawangan baru bakal dibuka di sana. Tapi abang masih belum beritahu Kak
Shal sebab abang risau dengan reaksi dia nanti. Jadi, abang datang ni sebab nak
beritahu ibu dulu.”
“Qil, ibu rasa lebih baik kamu
beritahu Shal secepat mungkin. Ibu tak nak dia tahu daripada orang lain. Ibu
kenal dengan anak ibu tu. Kalau dia merajuk dan terasa dengan kamu, memang
susah nak dipujuk. Ibu takut dia terasa hati sebab kamu tak bincang dengan dia
dulu.”
“Qil nak beritahu dia, bu. Tapi
Qil tak tahu nak mula macam mana. Kami berdua dah lama jadi kawan baik sejak
universiti lagi. Jadi, Qil rasa berat hati sebenarnya untuk tinggalkan Shal kat
sini.”
“Betul kata ibu tu, bang. Lia
pun rasa abang kena cepat selesaikan hal ni dengan Kak Shal.”
“Nanti Qil akan cari masa yang
sesuai untuk beritahu Shal. Qil sudah cuba beberapa kali untuk beritahu Shal.
Tapi setiap kali Qil tengok wajah dia ceria, Qil tak sampai hati nak sampaikan
berita ni,” terang Aqil kepada Puan Aqilah dan Eliana.
“Ibu faham apa yang Qil rasa
sekarang ni. Bukan senang nak berpisah setelah bertahun-tahun kamu berdua
selalu menghabiskan masa bersama. Ibu yakin Shal mesti dapat terima kalau Qil
beritahu dia dari awal.”
“Rasanya Qil kena balik dulu,
bu. Esok nak keluar jumpa Shal. Kalau Qil free
nanti, Qil datang sini lagi. Lia, jaga ibu baik-baik ya. Kalau ada apa-apa
masalah, telefon je abang.”
“Yalah, Qil. Ibu selalu doakan
yang terbaik untuk kamu berdua.”
“Abang jangan risau. Lia akan
pastikan ibu dijaga dengan baik,” kata Eliana sambil tersenyum. Sungguh
prihatin Aqil terhadap keluarga Eshal.
Puan Aqilah dan Eliana
menghantar Aqil sehingga ke kereta. Eliana melambai-lambai kepada Aqil sehingga
kereta Honda City milik Aqil sudah tidak kelihatan.
*Terima kasih buat yang sudi membaca karya saya. Jadi, macam mana bab 4 ni? Ada apa-apa cadangan atau penambahbaikan yang boleh dibuat? Jangan lupa tinggalkan komen di bawah. Agak-agaknya Aqil akan beritahu Eshal tak lepas balik dari kampung? Kalau anda berada dalam situasi seperti Aqil, apa yang akan anda lakukan? Berterus terang atau simpan selagi boleh?
Comments
Post a Comment