Mahasiswa Ikat Perut, Betul Ke?

Beberapa bulan yang lepas, kita digemparkan dengan berita bahawa terdapat mahasiswa di negara ini yang terpaksa mengikat perut kerana masalah kewangan. Ada yang mengatakan bahawa mi segera sudah umpama makanan ruji kepada sesetengah mahasiswa. Betulkah pernyataan ini? Adakah mahasiswa terpaksa berjimat hingga harus ikat perut? Ada juga yang mempersoalkan sama ada isu mahasiswa ikat perut ini adalah faktor kewangan ataupun isu gaya hidup sebenarnya. Untuk tahu kebenarannya, sila baca entri ini sampai habis. Entri ini ditulis berdasarkan pengalaman saya sebagai seorang pelajar yang sedang melanjutkan pelajaran di universiti tempatan.

Untuk pengetahuan anda, sekarang ini saya berada di tahun akhir pengajian. Ini bermakna sudah tiga tahun saya merantau ke negeri orang untuk melanjutkan pelajaran. Semasa asasi, saya akui bahawa berat badan memang turun kerana memang berjimat-cermat dalam berbelanja. Biasalah, disebabkan pertama kali bersendirian di negeri orang, risau juga kalau ada apa-apa terjadi, tak ada keluarga di sisi untuk bantu dari segi kewangan.

Masa asasi tu, tempe boleh dikatakan makanan wajib. Memang jarang makan ayam walaupun banyak peniaga di kafe universiti yang jual ayam dan saya memang penggemar ayam. Tapi setiap kali nak ambil ayam, mesti fikir semula. Satu ketul ayam berharga RM 2.50, nasi biasanya RM 1 dan sayur RM 1. Jadi, kalau ambil lauk ayam, RM 4.50 akan terbang untuk makan tengah hari je. Kalau di luar harga makanan lagi mahal dan kebanyakkannya memang jual lauk ayam je. Disebabkan kafe di universiti saya hanya beroperasi sampai tengah hari, untuk makan malam memang kena beli di luar kerana pelajar tidak dibenarkan memasak di hostel.

Sebenarnya, bukan langsung tak ada duit untuk belanja. Parents memang bagi duit tapi masa asasi banyak buku teks yang kena dibeli. Universiti tak sama macam sekolah. Kami kena beli buku teks sendiri. Ada pensyarah yang memang wajibkan pelajar untuk beli buku teks. Buku teks yang original dan kebanyakkannya datang dari luar negara memang mahal sehingga boleh cecah ratusan ringgit untuk satu buku je. Takkanlah asyik nak minta duit dengan parents. Mereka kena tanggung adik-adik yang masih sekolah. Jadi, memang kena urus betul-betul duit yang ada. Nasib baik masa degree dah tak perlu beli buku teks. Budak law je yang banyak kena beli buku.

Tak mustahil ada yang makan nasi sekali sehari je. Ada yang makan roti atau mi segera untuk makan malam. Saya tak pernah sampai tahap macam ni. Masih boleh makan nasi dua kali sehari. Apabila tengok ada yang makan betul-betul jimat macam tu, memang rasa bersyukur dengan rezeki yang ada. Sekurang-kurangnya, saya masih mampu untuk beli lauk dan sayur walaupun jarang makan lauk ayam.

Mula-mula saya letakkan RM 10 sebagai perbelanjaan harian untuk makan. Tapi bila hujung minggu agak susah untuk dapat harga bawah RM 10 untuk makan tengah hari dan makan malam kalau nak makan nasi sebab kena beli makanan di luar kampus. Jadi, saya hadkan perbelanjaan masa hari biasa sebab makanan di kampus lebih murah. Saya makan makanan yang sama untuk makan tengah hari dan makan malam. Jadi, dengan cara macam ni, dapatlah makan ayam dengan harga kurang daripada RM 5. Biasanya bungkus makanan dan makan di bilik. Makan tengah hari dimasukkan dalam mangkuk manakala makan malam tinggalkan dalam plastik.

Saya rasa masa tahun pertama tu memang ambil masa untuk sesuaikan diri dengan keadaan semasa. Duit biasiswa pula lambat masuk disebabkan proses pemberian elaun pelajar baru biasanya memang lambat. Jadi, memang tak boleh nak enjoy pun. Bagi pelajar biasiswa yang menuntut di universiti awam, masih okay kerana yurannya lebih murah. Pelajar biasiswa di universiti swasta lagi terasa kesusahannya kerana yurannya lebih mahal dan tak semua biasiswa akan tanggung semua yuran dan bayaran tempat tinggal. Kalau nak minta duit lebih dengan parents, rasa macam menyusahkan mereka pula.

Saya tak nafikan mungkin ada mahasiswa yang terpaksa ikat perut sebab gaya hidup yang mewah. Tapi berdasarkan pemerhatian saya selama tiga tahun ni, saya tak pernah jumpa lagi mahasiswa yang macam tu. Semua yang saya jumpa berjimat-cermat disebabkan faktor kewangan yang cukup-cukup makan atau tak mencukupi. Kalau ada mahasiswa yang membuatkan kenyataan bahawa terpaksa ikat perut, saya percaya. Sekarang ni pun, harga ayam dah jadi RM 3 seketul. Selepas dua tahun di universiti, saya boleh nampak peningkatan harga bagi makanan di dalam kampus. Kalau makanan di kampus yang seharusnya bersesuaian dengan faktor kewangan mahasiswa pun dah naik harga, apatah lagi makanan di luar.

Jadi, janganlah kecam atau buruk sangka dengan mahasiswa yang memberitahu bahawa mereka terpaksa ikat perut di universiti. Kita tak berada di tempat mereka dan kita tak tahu apa yang mereka lalui. Jangan bandingkan zaman kita belajar dengan zaman orang lain belajar sebab bukan semuanya sama. Kita juga datang daripada latar belakang keluarga yang berbeza. Bukan semua orang boleh telefon  parents untuk minta duit lebih. Banyak faktor kita kena lihat sebelum kita membuat andaian. Semoga lebih banyak yang menghulurkan bantuan bagi mahasiswa yang memerlukan. Apa yang penting ialah sentiasa beringat dalam berbelanja dan jangan kedekut untuk berkongsi jika ada rezeki lebih.

*Sesiapa yang ingin berkongsi pengalaman di universiti, bolehlah kongsikan di ruangan komen. Semoga kisah mahasiswa yang terpaksa mengikat perut membuatkan kita bersyukur dengan nikmat yang kita ada. 

Comments

  1. sama lahhh, duit habis beli buku teks sebab cechah ratus ringgit, makan memang kena berjimat habis.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Betul tu, Kak Farhana. Perbelanjaan untuk buku memang banyak. Belum campur kos untuk print nota dan assignment lagi.

      Delete
  2. Pendapat mama.. kena pandai uruskan duit.. Kalau dot biasiswa atau pinjaman kena pandai uruskan.. jgn la beli brg mahal

    ReplyDelete
    Replies
    1. Betul tu, Mamapp. Kena pandai uruskan duit dan berbelanja ikut kemampuan. Cuma mungkin kadang-kadang ada situasi yang memerlukan kita gunakan duit lebih. Yang ni memang tak boleh dielakkanlah.

      Delete

Post a Comment