BLOGGER CHALLENGE: How I Stay Positive?

Blogger Challenge

Hai semua. Ini merupakan entri kesembilan untuk blogger challenge. Rasanya jauh sangat saya ketinggalan ๐Ÿ˜‚. Orang lain dah siap buat challenge ni. Saya memang sibuk minggu ni dan akan terus sibuk untuk beberapa minggu akan datang. Banyak perkara perlu disiapkan termasuklah FYP, assignment, mencari sponsor dan lain-lain lagi. Jadi, macam mana saya kekal positif walaupun terdapat berbagai cabaran dan dugaan yang hadir dalam hidup? Mari saya kongsikan. 

Pertama sekali, saya selalu ingatkan diri saya bahawa setiap ujian yang hadir dalam hidup takkan sesekali melebihi kemampuan saya. Jika saya 'terpilih' untuk menjalani sesuatu ujian itu, pasti saya mampu untuk melakukannya. Tipulah kalau saya kata yang saya langsung tak terkesan. Tetapi saya akan pastikan saya tidak akan terus menyerah. 

Kedua, sentiasa bersangka baik. Kadangkala apa yang kita rancangkan tak semestinya menjadi kenyataan. Saya percaya setiap yang berlaku ada hikmahnya dan saya juga percaya pada rezeki. Kita mesti yakin yang perkara baik akan berlaku walaupun kita sendiri pun tak tahu bila. 

Ketiga, mengingati orang yang disayangi dan menyayangi saya. Tidak dinafikan bahawa cinta dan kasih sayang dapat mendorong kita untuk terus bersikap positif. Ada masanya kita melakukan sesuatu bukanlah untuk diri kita tetapi untuk orang yang kita sayangi. Setiap kali saya rasa ingin mengalah dan berputus asa, saya akan mengenangkan pengorbanan orang yang saya sayang terutamanya ibu bapa untuk membolehkan saya berada pada tahap sekarang. 

Akhir sekali dan yang paling penting ialah saya sentiasa tetapkan mindset bahawa hanya saya boleh tolong diri saya sendiri. Orang lain boleh bagi nasihat tetapi yang boleh mengaplikasikan nasihat tersebut hanyalah diri kita sendiri. Orang lain tak boleh bersama kita setiap masa kerana mereka juga ada komitmen lain. Jadi, kita tidak boleh terlalu mengharapkan dan bergantung kepada orang lain. 

Terus terang saya katakan bukan mudah untuk kekal positif tapi tak mustahil. Ada masanya emosi lebih menguasai diri daripada akal fikiran yang bernas. Membina kekuatan diri untuk kekal positif mengambil masa. Bukannya hari ni kita rasa nak bersikap positif, esoknya kita terus positif. Perkara ini perlukan latihan. Mula-mula memang susah tetapi apabila kita sudah biasakan diri dengan perkara-perkara positif, kita akan rasa lebih mudah untuk kekal positif. 

Semoga kita semua sentiasa bersikap positif dan tabah dalam menghadapi ujian dalam hidup. Jumpa lagi dalam entri yang akan datang. 

Comments

Post a Comment