Perlukah Wanita Tahu Memasak?

Pada masa kini, lebih ramai wanita telah berjaya dalam bidang pendidikan dan pekerjaan berbanding zaman dahulu. Ini merupakan satu pencapaian yang bagus. Namun, ada satu perkara yang sering menjadi buah mulut orang ramai tentang wanita zaman moden, iaitu mereka kurang mahir di dapur atau langsung tidak tahu memasak. Apa pendapat anda tentang isu ini? Perlukah wanita tahu memasak?

Salah satu hujah yang sering digunakan untuk menyokong betapa pentingnya wanita perlu tahu memasak adalah persediaan untuk ke alam perkahwinan. Ada yang mengatakan bahawa air tangan isteri dapat 'mengikat' suami. Tetapi betul ke? Hal ini kerana, pada hakikatnya banyak perkahwinan yang tidak bertahan lama walaupun isteri pandai memasak. Sama konsep apabila orang kata wanita kena tahu jaga penampilan dan nampak cantik sentiasa. Kita dapat lihat sekarang ni ramai ibu tunggal yang sememangnya pandai menjaga penampilan tetapi jodoh tidak panjang dan ada juga anak dara yang cantik tapi masih belum bertemu jodoh. Jadi, tahu memasak itu bukanlah faktor utama kebahagiaan.

Jika kita lihat dari sudut yang postif, wanita yang tahu memasak dapat menjimatkan kos membeli makanan di kedai. Mungkin ketika masih bujang , kita belum rasa terbeban kerana hanya perlu membeli makanan untuk diri sendiri. Namun, apabila sudah berkahwin dan mempunyai anak, kita akan mempunyai banyak tanggungan lain dan lebih menjimatkan jika kita memasak sendiri di rumah.

Selain itu, wanita yang tahu memasak dapat memastikan tahap kebersihan makanan yang dimakan berbanding makanan yang dibeli di luar. Bagi ibu-ibu, mereka dapat menyediakan menu yang lebih sihat untuk anak-anak. Jika anak-anak ingin makan sesuatu, anda dapat memasaknya dengan mudah. Ini merupakan salah satu cara untuk mengeratkan hubungan antara anak dengan ibu mereka. Masakan ibu lah yang paling dirindui apabila berjauhan dari rumah.

Pada pendapat saya, perlu atau tidak seorang wanita itu untuk tahu memasak adalah bergantung kepada latar belakang kehidupannya. Jika suami anda seorang yang kaya, mampu mengupah pembantu rumah atau makan di luar setiap hari, mungkin memasak bukanlah satu keperluan untuk anda. Namun, jika suami anda hanyalah orang biasa dan anda sekeluarga perlu menjimatkan perbelanjaan, kemahiran memasak sememangnya berguna untuk keluarga anda. Sekurang-kurangnya tahu yang asas seperti masak nasi dan menggoreng makanan.

Apa yang paling penting, berbincang dengan pasangan tentang apa yang terbaik untuk rumah tangga anda. Cuma bagi yang tidak pandai memasak, anda perlu 'kalis' dengan kata-kata negatif daripada orang sekeliling. Bagi yang baru hendak belajar memasak, jangan cepat berputus asa. Suami pula harus memberikan sokongan kepada isteri untuk belajar memasak.

Sebenarnya, saya mendapat idea untuk tulis entri ini setelah membaca komen netizen tentang video seorang wanita yang cuba belajar memasak setelah berkahwin. Ada yang melemparkan kata-kata negatif kepada beliau. Bagi saya, hal ini tidak seharusnya berlaku. Sekurang-kurangnya wanita itu mempunyai keinginan dan usaha untuk belajar memasak. Yang berkata-kata itu, belum tentu lagi pandai memasak. Berhati-hati dengan apa yang kita cakap kerana perkara itu mungkin datang kepada kita semula. Mungkin kita pandai memasak tetapi tidak mustahil ada anak-anak kita yang tidak pandai memasak seperti yang kita katakan kepada orang lain.

Sejujurnya tidak mudah untuk menjadi seorang isteri, ibu dan wanita bekerjaya dalam waktu yang sama. Walaupun saya masih belajar dan belum berkahwin, tetapi saya tahu betapa penatnya menguruskan rumah dan dalam masa yang sama ingin menguruskan kerja. Menyiapkan tugasan dan belajar serta membuat kerja-kerja rumah seperti memasak, membasuh baju dan mengemas rumah bukanlah mudah. Baru uruskan diri sendiri pun sudah terasa susah apatah lagi hendak menguruskan satu keluarga. Memang kagum dengan ibu-ibu yang dapat menguruskan keluarga dengan baik tanpa mengabaikan tanggungjawab yang lain. Jadi, para suami hargailah isteri anda sama ada yang berkerjaya atau yang menjadi suri rumah sepenuh masa.

Kongsikan pendapat anda tentang isu ini di ruangan komen. Jumpa lagi dalam entri yang akan datang.

*Jangan biarkan kata-kata anda membuatkan orang lain berputus asa untuk berubah menjadi lebih baik. Kurangkan kata-kata negatif dan lebihkan doa yang baik-baik.

Comments

  1. Pada cheq, semua manusia pun kena reti memasak tidak kiralah dia lelaki ka, perempuan ka, hatta pondan sekalipun. Memasak tu merupakan satu survival skill yang basic dan penting 😎

    ReplyDelete
    Replies
    1. Itulah. Ada kelebihan kalau tahu memasak. Yang basic pun x pe. Masa2 macam sekarang ni memang berguna skill tu kecuali ada tukang masak kat rumah😅.

      Delete
  2. kena kot.. lelaki skrng hebat depa pandai masak so kita women kena sama level hehe.. xleh xleh nanti women empowerment tak menjadi. hehe.. blaja la kan at least yang simple..

    ReplyDelete

Post a Comment