Salah satu perkara penting ketika berada di universiti adalah untuk mempunyai wang yang cukup untuk menampung kos pengajian dan kos perbelanjaan harian. Dalam entri ini, anda akan didedahkan tentang tips pengurusan kewangan di universiti.
1. Tetapkan jumlah simpanan
Bagi mengelakkan anda berbelanja sehingga berlebihan, pastikan anda tetapkan jumlah simpanan. Yang paling penting anda perlulah disiplin. Kalau perbelanjaan sudah mencapai had, maka anda hanya berbelanja dengan apa yang ada di tangan sahaja. Tolong jauhkan diri daripada konsep "guna dulu, bulan depan bayar semula".
Contoh:
Baki dalam akaun: RM 1000
Jumlah simpanan wajib: RM 300
Perbelanjaan maksimum: RM 700
Berdasarkan contoh di atas, baki minimum dalam akaun adalah sekurang-kurangnya RM 300. Anda juga boleh membuat tambahan simpanan setiap bulan. Mungkin 10% daripada elaun boleh disimpan untuk waktu kecemasan.
2. Bezakan keperluan dan kehendak
Dalam merancang perbelanjaan, anda haruslah tahu membezakan antara keperluan dan kehendak. Pastikan anda menggunakan wang untuk membayar (yuran pengajian, yuran tempat tinggal) atau membeli keperluan (makanan, kuota Internet) sebelum menggunakannya untuk kehendak.
3. Membeli-belah dengan bijak
Untuk menjimatkan kos ketika membeli-belah, anda digalakkan pergi membeli-belah dengan rakan-rakan. Hal ini kerana, anda dapat berkongsi kos pengangkutan. Selain itu, anda juga boleh memanfaatkan promosi "beli satu percuma satu", "10% diskaun untuk barangan kedua". Kalau kuantiti barang yang dijual melebihi keperluan anda, anda boleh berkongsi dengan rakan. Contohnya, terdapat 6 biji buah epal dalam satu paket dan anda hanya inginkan 3 biji buah epal sahaja. Anda boleh bertanya rakan sama ada mereka ingin berkongsi duit untuk membeli buah tersebut.
4. Peka dengan aliran keluar masuk wang
Salah satu cara yang mudah untuk memantau aliran keluar masuk wang adalah dengan menggunakan wang tunai berbanding kad debit. Penggunaan kad debit memang memudahkan kita tetapi kita mungkin tidak sedar jumlah wang yang telah dibelanjakan. Mungkin penggunaan kad debit boleh dihadkan untuk pembayaran yuran, pembelian atas talian atau pembelian barang dengan kos tinggi (komputer riba, telefon bimbit) sahaja.
5. Jauhkan diri daripada berhutang
Jangan sesekali biasakan diri dengan berhutang. Hal ini kerana, anda akan menambah satu lagi beban kewangan. Sebaik-baiknya latih diri anda untuk menguruskan kewangan dengan lebih baik. Biarlah anda menjalani hidup yang sederhana tapi bebas hutang.
6. Berbelanja ikut kemampuan
Jangan sesekali mengikut gaya hidup dan cara berbelanja orang lain. Bukan mudah untuk mengatasi peer pressure tapi tak mustahil. Sebaik-baiknya keluarlah dengan rakan-rakan yang datang dari latar belakang kewangan yang lebih kurang dengan anda agar anda tidak berasa segan atau terikut-terikut gaya berbelanja yang tidak sesuai dengan kemampuan diri.
7. Simpan duit yang tidak digunakan
Jika anda lebihan duit atau duit yang tidak digunakan, anda boleh jadikannya sebagai simpanan sama ada untuk jangka masa panjang atau jangka masa pendek. Contoh simpanan jangka masa panjang adalah simpanan untuk perbelanjaan selepas tamat belajar. Anda harus ingat bahawa bukan semua graduan terus mendapat pekerjaan selepas tamat belajar. Contoh simpanan jangka masa pendek adalah simpanan untuk melancong dengan rakan ketika cuti semester.
Kehidupan di universiti memerlukan belanja yang banyak. Kadang-kadang ada juga keperluan mendadak yang tidak dijangka seperti ahli keluarga sakit (tiket bas, tiket kapal terbang) atau yuran aktiviti (bengkel, kelab/persatuan). Oleh itu, pelajar universiti mestilah tahu cara pengurusan kewangan yang betul.
Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk semua.
As student ni, paling penting kena bezakan yang mana keperluan yang mana kehendak. Kita akan berbelanja yang memang perlu sahaja. InsyaAllah boleh survive :)
ReplyDeleteBetul👍🏻
Deleteduit nak simpan tu agak payah juga kalau takde side income. Nasib dulu ada pinjaman MARA takde la sesak sangat
ReplyDeleteBetul tu. Kena betul-betul plan perbelanjaan.
Deletezaman belajar memang kena pandai uruskan kewangan..
ReplyDeleteBetul tu, Kak Sha.
Delete