EXPERIENCE: Tips Untuk Menyiapkan Final Year Project

Hai semua. Hari ini saya akan kongsikan tips untuk menyiapkan final year project (FYP). 

Bagi yang sedang menghadapi masalah dengan FYP atau tidak yakin dapat menyiapkan FYP mengikut tarikh yang telah ditetapkan, jangan berputus asa. Semoga tips di bawah dapat membantu.

*Tips yang dikongsikan adalah berdasarkan pengalaman saya sebagai seorang pelajar bioinformatik. Mungkin terdapat perbezaan pengalaman bagi pelajar dari jurusan dan universiti yang berbeza.

1. Kerap jumpa supervisor (SV)
Bagi memastikan kelancaran proses menyiapkan FYP, pastikan anda selalu luangkan masa untuk berjumpa SV. Kalau tak dapat jumpa pun, sekurang-kurangnya berhubung melalui emel atau Whatsapp. Saya berjumpa SV sekali setiap minggu dan ada pembentangan setiap 2-3 minggu. Jangan lupa beritahu perkembangan terkini anda dan minta mereka cadangkan penambahbaikan.

2. Cari rakan yang nak siapkan FYP juga
Rakan sebaya memainkan peranan penting dalam kehidupan seorang pelajar universiti. Untuk membuatkan saya lebih berdisiplin dalam menyiapkan FYP, saya membuat FYP di kampus bersama rakan. Hal ini dapat mengelakkan daripada tertidur atau terlayan drama masa tengah siapkan FYP. Sebaik-baiknya cari rakan dari jurusan yang sama supaya mudah untuk berbincang tentang FYP. Kalau salah seorang rasa nak putus asa, pihak yang satu lagi bagi kata-kata semangat dan sebaliknya.

3. Minta pertolongan senior
Saya bersyukur kerana dikelilingi oleh senior yang friendly dan tidak kedekut ilmu. Apabila saya menghadapi masalah semasa menggunakan sesuatu perisian, mereka tidak keberatan untuk memberikan cadangan berdasarkan pengalaman mereka. Jika anda kenal mana-mana senior, jangan segan untuk minta tips tentang FYP daripada mereka.

4. Cari rujukan dari pelbagai sumber
Apabila mencari rujukan untuk FYP, jangan hadkan kepada satu sumber sahaja. Manfaatkan Internet untuk mencari seberapa banyak rujukan yang berkait dengan projek anda. Cari banyak rujukan supaya anda boleh dapat gambaran yang lebih jelas tentang projek anda dan lebih banyak idea untuk menulis. Untuk FYP, saya sudah mula mencari rujukan sebaik sahaja saya memilih tajuk walaupun semester baru belum bermula. Saya cetak dan highlight isi penting supaya mudah untuk siapkan laporan nanti. 

5. Buat rangka untuk laporan FYP
Bagi memastikan saya memasukkan semua maklumat yang diperlukan dalam laporan, saya membuat rangka terlebih dahulu. Contohnya, Introduction, Literature Review, Methodology, Result, Discussion, dan Conclusion. Isi kandungan untuk laporan bergantung kepada format yang ditetapkan oleh fakulti masing-masing.

6. Pastikan ada perkembangan setiap minggu
Memandangkan saya wajib berjumpa SV tiap-tiap minggu, jadi memang saya kena ada progress walau sesibuk mana pun. Bagi yang tak perlu berjumpa SV setiap minggu, anda kena ada disiplin diri yang tinggi dan inisiatif lebih untuk tidak bertangguh dalam menyiapkan FYP. 

7. Letak target
Saya meletakkan target berapa banyak bab yang harus disiapkan dalam tempoh masa tertentu. Biasanya bab yang mengambil masa lama adalah Literature Review, Result dan Discussion. Jadi, lebih banyak masa perlu diperuntukkan. Apabila dah letakkan target, pastikan kita berusaha untuk mencapai target tu.

8. Buat sesuatu yang dapat lepaskan tekanan
Tidak dapat dinafikan yang FYP sangat mencabar dan membuatkan pelajar rasa stres. Kalau kita terlalu stres dan badan penat, mungkin kita tak dapat membuat kerja dengan baik. Jadi, luangkan sedikit masa untuk lepaskan stres tu. Mungkin anda boleh pergi ke pusat membeli-belah dengan rakan, menonton drama atau makan makanan yang digemari.

Setiap orang mempunyai cara yang tersendiri. Yang paling penting adalah cari tips yang sesuai dengan diri anda. Semoga berjaya menyiapkan FYP dalam tempoh masa yang ditetapkan😊. Boleh tinggalkan komen kalau ada sebarang pertanyaan.

Comments

Post a Comment