5 Kelebihan Tinggal Di Hostel Berbanding Di Rumah Sewa

Sebagai seorang pelajar universiti, mendapatkan tempat tinggal adalah satu perkara yang penting semula bermulanya sesi kuliah. Bagi mereka yang melanjutkan pengajian jauh dari rumah, hostel dan rumah sewa adalah pilihan yang ada.

Dalam entri ini, saya akan kongsikan kelebihan tinggal di hostel berbanding di rumah sewa bagi pelajar universiti.

1. Sambungan Internet yang bagus
Tidak dapat dinafikan bahawa sambungan Internet yang bagus memainkan peranan yang penting dalam kehidupan seorang pelajar universiti. Kawasan kampus selalunya mempunyai sambungan Internet yang baik dan kuota Internet juga tidak terhad (boleh gunakan banyak peranti pada satu masa). Andai kata sambungan Internet di hostel agak lemah, mudah untuk anda ke tempat lain seperti perpustakaan.

2. Mudah untuk buat perbincangan
Tinggal di hostel memang sangat membantu kalau anda ingin mengadakan perbincangan berkumpulan pada waktu malam. Selain itu, banyak tempat yang tersedia untuk sesi perbincangan. Jika anda memerlukan bahan rujukan pula, anda boleh terus ke perpustakaan.

3. Lebih selamat
Disebabkan oleh kawalan yang lebih ketat di hostel, tidak mudah untuk orang luar memasuki hostel. Sesetengah universiti membenarkan pelawat untuk masuk ke hostel tetapi perlu mendaftar di kaunter terlebih dahulu. Masalah rakan sebilik membawa rakan lain ke bilik hostel juga dapat dikurangkan. Di samping itu, perjalanan untuk ke kelas lebih selamat kerana anda sentiasa di kawasan kampus.

4. Tak perlu risaukan kerja penyelenggaraan dan pembersihan
Apabila tinggal di hostel, terdapat pekerja yang bertanggungjawab untuk membersihkan kawasan persekitaran seperti menyapu, mengemop dan membersihkan tandas. Jika ada masalah berkaitan apa-apa kemudahan, anda hanya perlu melaporkan kepada pihak hostel untuk tindakan lanjut.

5. Mudah untuk ke kelas
Bagi yang ada masalah untuk bangun awal, tinggal di hostel memang sangat membantu. Kalau kelas anda sangat hampir dengan hostel, anda sempat sampai ke kelas walaupun anda keluar dari hostel 5 minit sebelum kelas bermula.

Sekian sahaja untuk entri ini. Nantikan entri kelebihan tinggal di rumah sewa berbanding di hostel pula. Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk semua.

*Entri ini ditulis berdasarkan pengalaman penulis dan orang terdekat. Pengalaman di universiti yang berbeza mungkin berbeza dengan apa yang dikongsikan di sini. Jadi, pastikan anda dapatkan nasihat daripada senior dan keluarga juga.

Comments

  1. Kadang2 kekosongan hostel terhad
    Terpaksa juga cari rumah sewa.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Betul tu, WP. Kalau permohonan hostel tak diluluskan, terpaksalah cari rumah sewa.

      Delete
  2. Keselamatan lah paling best kalau duduk hostel.. Satu lagi disiplin lebih terjaga.. Tapi tu lah terhad..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Betul tu, Kak Sha. Tapi bergantung pada universiti juga.

      Delete

Post a Comment