Patut Ke Ambil Kelas Aliran Sains Kalau Lemah Dalam Matematik?

Hai semua. Memandangkan ada yang bertanya sama ada patut ke ambil aliran sains walaupun lemah dalam matematik, saya tulis entri khas untuk menjawab pertanyaan tersebut.

Sebenarnya ada seorang pengunjung TWJ yang meninggalkan komen tentang dilema yang beliau sedang alami. Pelajar itu meminati bidang sains dan ingin mengambil pakej tiga subjek sains tulen dan matematik tambahan semasa di tingkatan 4 nanti.

Namun, beliau lemah dalam subjek matematik dan takut tidak dapat sesuaikan diri dengan pakej subjek tersebut. Sebagai seorang yang pernah mengalami kesukaran dengan subjek matematik tambahan, saya faham apa yang beliau rasakan. 

Sebelum saya ulas isu ini dengan lebih lanjut, ingin saya tegaskan di sini bahawa apa yang akan saya katakan adalah berdasarkan apa yang saya tahu. Mungkin sistem pendidikan sekarang sudah berubah dan berbeza dengan apa yang pernah saya lalui.

Selalunya apabila seorang pelajar lemah dalam subjek sains dan matematik semasa tingkatan 3, mereka tidak digalakkan untuk memilih aliran sains. Hal ini kerana kemungkinan besar mereka tidak dapat survive untuk subjek sains tulen dan matematik tambahan.

Walaupun saya dapat keputusan yang baik untuk matematik semasa tingkatan 3, saya tetap merasakan matematik tambahan adalah subjek yang mencabar. Hebat dalam subjek matematik tidak bermakna kita akan hebat dalam subjek matematik tambahan juga. 

Jujur saya katakan, mereka yang ingin mengambil subjek aliran sains tulen perlu letakkan usaha yang lebih banyak terutamanya kalau lemah dalam matematik. 

Matematik tambahan bukanlah subjek yang anda boleh hafal fakta sahaja, Anda perlu tahu mengekstrak maklumat yang diberikan, menentukan formula yang harus digunakan dan memasukkan maklumat yang betul ke dalam formula.

Namun, kalau ada kerajinan dan usaha yang berterusan, tidak mustahil pelajar yang lemah dalam subjek matematik boleh survive untuk matematik tambahan. Motivasi untuk belajar kena tinggi dan tak boleh harapkan pembelajaran di dalam kelas sahaja. Kena rajin ulangkaji sendiri di rumah atau buat study group.

Memandangkan SPM merupakan peperiksaan yang penting kerana sijilnya akan diperlukan untuk kita memohon kerja dan melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, amatlah penting untuk memilih subjek yang betul untuk SPM.

Pelajar yang ambil subjek sains tulen dan matematik tambahan mempunyai lebih banyak pilihan di universiti kerana mereka boleh pergi ke bidang sains atau kemanusiaan. Tapi jangan buat keputusan terburu-buru.

Fikirkan tentang minat dan kemampuan diri anda. Susah untuk bertahan jika ada hanya salah satu tapi tidak mustahil. Semuanya bergantung kepada anda sama ada anda sanggup meletakkan usaha yang lebih banyak berbanding orang lain yang ada kedua-dua minat dan kemampuan.

Saya tidak dapat membuat keputusan untuk anda kerana hanya anda yang tahu kemampuan diri dan minat anda. Apa-apa pun pilihlah aliran yang sesuai dengan minat dan kemampuan diri.

Semoga adik itu dan pelajar-pelajar lain dipermudahkan segala urusan untuk memilih subjek elektif bagi tingkatan 4.

Comments

  1. betul tu, disebabkan kita jugak lemah dlm math, kita amik subjek akaun. akaun ni hanya hafal formula, inshallah tak susahpun

    ReplyDelete
  2. Yes...do what you think you can. Jangan ambil subject berat sekadar untuk rasa diri hebat tapi ambil apa yg kita mampu buat. Rezeki Allah tu luas

    ReplyDelete
  3. Kena muhasabah diri.. tapi pada pengalaman saya, lemah dalam math tu blh di atasi dengan giatkan lagi belajar dlm subjek tu..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Setuju. Kena usaha untuk perbaiki kelemahan diri.

      Delete
  4. Satu perkongsian yang sangat bagus..

    ReplyDelete

Post a Comment