Pengalaman Makan Di Skymaze Bistro, Dungun, Terengganu

Hai semua. Bertemu lagi kita di The Wonderful Jannah. Dalam entri kali ini, saya ingin kongsikan pengalaman saya makan di Skymaze Bistro, Dungun, Terengganu. 

Restoran ini terletak di Jalan Pantai, Sura Hujung Dungun. Sepanjang perjalanan ke Skymaze Bistro anda akan nampak laut di tepi jalan. Tak susah sangat untuk cari lokasinya cuma ruang parkir di depan kedai sangat terhad kerana kedainya betul-betul di sebelah jalan raya utama. 

Memandangkan saya dan keluarga singgah di sana ketika bukan waktu puncak, kedai memang kosong. Tiada pelanggan lain. Ada dua pilihan tempat duduk, bahagian dalam yang berhawa dingin atau bahagian luar yang ditemani pemadangan cantik laut. 

Kami memilih untuk duduk di luar. Sejuk juga di luar kerana ada kipas. 

Pemandangan Dari Skymaze Bistro

Memang cantik pemandangan laut di Terengganu ni, kan. 

Untuk pengetahuan anda, menu di Skymaze Bistro ini terbahagi kepada dua slot. Set nasi seperti nasi ayam berempah, nasi talapia berempah dan nasi daging masak lemak boleh dipesan bermula dari waktu kedai dibuka hingga 4 petang kalau tak salah. Menu masakan barat dan nasi goreng pula hanya boleh dipesan bermula pada pukul 3 petang.

Kami sampai lebih kurang pada pukul 2.45. Saya kena tunggu selama 15 minit untuk pesan makanan barat. Jadi, mari kita lihat set nasi yang dipesan ibu dan nenek saya terlebih dahulu.

Nasi Kukus Talapia Berempah

Nasi Kukus Ayam Berempah

Set nasi kukus didatangkan dengan timun, kari, papadom dan sambal. Harga untuk nasi kukus ayam berempah ialah RM 8 manakala harga bagi nasi kukus talapia berempah ialah RM 15. Ikan talapia tu memang besar saiznya dan boleh kongsi dengan yang lain.

Akhirnya, makanan yang dinanti telah tiba. Jom kita lihat.

Fish and Chips

Ini dia menu yang saya pesan, iaitu fish and chips. Satu hidangan ini berharga RM 16. Yang paling sedap ialah ikan dan fries. Apabila digandingkan dengan salad tu, memang satu kombinasi yang menarik. Cuma sos kurang kena sikit dengan cita rasa saya.

French Fries

Kami pesan french fries juga. Fries di Skymaze Bistro ini besar saiznya dan didatangan dengan sos. Fries ini juga sedikit unik kerana ditaburkan dengan serbuk paprika kalau tak silap). Dalam gambar nampak sedikit, tapi banyak sebenarnya dan terpaksa bungkus sebab tak dapat nak habiskan. Fries ini berharga RM 8.

Sebenarnya, kami ada pesan nasi goreng juga tapi lupa nak ambil gambar. Jadi, marilah lihat air yang saya pesan.
Coconut Creme

Kami pesan coconut creme dan strawberry creme. Dua-dua sedap dan tidak terlalu manis. Setiap satunya berharga RM13. Bagi yang tak minum manis sangat macam saya, tak mampu nak habiskan air ni seorang diri. Jadi, saya kongsi dengan adik. 

Kalau yang nak minum ais kosong saja, boleh ambil secara percuma. Air tersebut diletakkan di satu sudut bersebelahan dengan tempat tisu diletakkan. 

Tandas pun disediakan di Skymaze Bistro ni. Boleh dikatakan sesuai untuk yang ingin datang dengan anak-anaknya. Nak makan menggunakan tangan pun ada sinki untuk cuci tangan. 

Secara keseluruhannya, saya berpuas hati dengan makanan dan perkhidmatan yang ditawarkan. Staf di sini juga mesra pelanggan. Kalau tak habis makan, boleh minta untuk bungkus.

Sesiapa yang jalan-jalan ke Dungun, Terengganu, bolehlah singgah ke Skymaze Bistro.

Sekian sahaja untuk entri lagi. Jumpa lagi😊.

Comments