EXPERIENCE: Cabaran sebagai Orang Asli Semenanjung Malaysia

Hai semua pengunjung blog The Wonderful Jannah.
Hari ini saya ingin berkongsi dengan anda kehidupan sebagai Orang Asli. Jika anda merupakan pengunjung setia blog ini, pasti anda tahu bahawa saya merupakan Orang Asli seperti yang tertulis di profil Blogger. Bagi yang tidak tahu siapakah Orang Asli, anda boleh baca entri saya sebelum ini untuk mendapatkan sedikit gambaran sebelum meneruskan pembacaan anda (klik sini untuk baca).

Terus-terang saya katakan dugaan dan cabaran sebagai Orang Asli sangatlah banyak. Ramai yang tidak mengetahui bahawa Orang Asli merupakan sebahagian daripada rakyat Malaysia. Boleh dikatakan lebih daripada separuh daripada orang yang saya jumpa agak membuat muka blur apabila saya memberitahu bahawa saya merupakan Orang Asli. Setiap kali berjumpa orang baru mesti nak kena terangkan tentang Orang Asli kepada mereka terutamanya kepada yang ada zero knowledge tentang kami.

Selain itu, saya selalu menjadi satu-satunya Orang Asli di dalam kelas dan ketika mengikuti sesuatu program. Rasanya satu-satunya Orang Asli di universiti saya juga. Agak sukar untuk mencari isu yang sama untuk dibicarakan dengan orang lain kerana mereka daripada kaum yang berbeza. Kebiasaannya, pelajar lain lebih selesa untuk mencari kawan yang satu bangsa dengan mereka. Jadi, saya memang kena usaha lebih untuk mencari kawan ketika berada di mana-mana. Antara puncanya mungkin kerana faktor bahasa, budaya dan cara hidup.

Salah satu perkara yang paling meyedihkan adalah ada sesetengah pihak sering mengaitkan perkara yang negatif dengan Orang Asli. Penghinaan di media sosial dan juga ejekan di sekolah adalah sesuatu yang sering terjadi kepada Orang Asli. Baru-baru ini sahaja, terdapat kes penghinaan Orang Asli di Facebook. Malahan, ada pihak yang memberikan salah informasi tentang Orang Asli. Perkara ini tidak seharusnya berlaku apatah lagi jika kenyataan itu diberikan oleh golongan profesional kerana dapat mengelirukan anggota masyarakat.

Kepada semua, saya harap sangat anda tidak menggunakan perkataan seperti jakun untuk merujuk kepada seseorang yang hairan apabila melihat sesuatu atau sakai untuk mempersendakan orang lain. Kedua-dua perkataan tersebut akan mengguris perasaan Orang Asli terutamanya orang-orang tua. Untuk pengetahuan anda, Jakun merupakan salah satu daripada 18 suku kaum Orang Asli manakala perkataan sakai pula sering digunakan untuk merujuk kepada orang yang ketinggalan zaman/tidak bertamadun. Walaupun anda tiada niat untuk menghina, tetapi perkataan sebegitu boleh menimbulkan salah faham. Jadi, sebaik-baiknya elakkanlah.

Walaupun pelbagai cabaran yang saya hadapi, tetapi saya bersyukur dan berbangga dilahirkan sebagai Orang Asli. Saya tak rasa saya akan ada kawan daripada pelbagai bangsa kalau saya merupakan kaum majoriti. Disebabkan saya daripada kaum minoriti, saya memang harus keluar daripada zon selesa dan mencari kawan yang berbeza kaum. Hal ini membantu saya untuk lebih mengetahui tentang budaya dan cara hidup kaum lain supaya dapat menyesuaikan diri dalam hidup bermasyarakat.

Semoga perkongsian saya ini dapat membantu anda untuk lebih mengenali Orang Asli di Semenajung Malaysia. Mudah-mudahan kita dapat mengekalkan keharmonian negara dan saling menghormati antara kaum.

Jumpa lagi dalam entri yang akan datang.

Comments

  1. Positive mindset! Macam ni lah good attitude 💪🏻😎✨
    Cheq ni berkawan ja dengan semua orang yang sudi berkawan dengan cheq tau, janji ikhlas dan tiada udang di sebalik mee 🤣

    ReplyDelete
    Replies
    1. 👍. Betul, yang penting orang tu ikhlas nak berkawan dengan kita dan bukan sebab ada agenda tertentu.

      Delete

Post a Comment