Review Novel Love, Elsa Karya Acik Lana

Hai semua. Hari ini saya akan review novel Love, Elsa karya Acik Lana.

Baru-baru ini, saya terbaca tentang drama Love, Elsa yang diadaptasi dari novel karya Acik Lana dan bakal ditayangkan tidak lama lagi. Memandangkan sinopsisnya menarik, saya buat keputusan untuk beli novel Love, Elsa. 

Novel ini limited edition dan rasanya cuma dijual secara atas talian. Saya beli melalui Acik Lana di Shopee. Kebetulan pula ada promosi RM 50 untuk kombo Love, Elsa dan Love, Elsa II (saya akan review dalam entri yang lain). Jadi, saya beli kedua-keduanya.

Tanpa melengahkan masa, jom kita baca review bagi novel ini.

Love Elsa Karya Acik Lana

Judul: Love Elsa 
Penulis: Acik Lana
Genre: Cinta/Kekeluargaan
Tahun terbitan: 2018
Penerbit: Booku Enterprise
Harga: RM 30
Mukasurat: 530

Review:
Tajuk novel Love, Elsa ini menarik sebab mesti teringat watak Elsa dalam filem Frozen. Mungkin diinspirasikan daripada filem tersebut tapi versi yang lebih logik. Dalam novel ini, tiada pun watak yang bernama Elsa sebenarnya. 

Bunga dan sarung tangan di cover novel pula berkaitan dengan watak-watak dalam novel tersebut. Penulis juga menyelitkan sedikit dialog dalam bahasa Korea. Dah lama rasanya tak baca novel Melayu yang ada penggunaan bahasa asing selain daripada bahasa Inggeris.

Watak utama ialah Ammara yang mempunyai kuasa istimewa tapi membebankan dirinya. Apabila dia bersentuhan dengan orang lain (sentuhan kulit ke kulit), dia akan mengembara ke masa silam individu tersebut. Kesian dengan Ammara kerana ramai menganggap dia ada masalah mental.

Salah satu faktor menarik dalam novel ini ialah latar tempat di Mini London City (MLC). MLC ialah sebuah bandar yang dikhaskan untuk golongan elit dan bukan semua orang boleh masuk ke sana. Mesti menarik apabila drama Love, Elsa ditayangkan nanti.

Ammara mempunyai masalah kemurungan, perfectionist dan obssessive-compulsive disorder (OCD). Sejak ibunya meninggal dunia, hubungan Ammara dengan bapanya semakin renggang. Ditambah pula dengan kehadiran ibu tirinya, Ramona yang tidak sukakan Ammara.

Namun, kehidupan Ammara berubah setelah Ridza Kim, jejaka kacukan Korea-Malaysia menjadi jirannya. Ammara semakin yakin untuk keluar dan berjumpa dengan orang lain. Kim berjaya membantu Ammara untuk mengawal kuasanya dan Ammara bersetuju untuk membantu Kim menyiasat misteri pembunuhan Adam Kim (bapa Ridza Kim).

Ketika Ammara dan Ridza Kim keliru dengan perasaan masing-masing, terdapat dua orang yang menyimpan perasaan terhadap Kim, iaitu Sofea dan Ji Hyun. Semakin lama, semakin banyak konflik dan persoalan yang dibangkitkan oleh penulis.

Apabila membaca novel Love, Elsa ini, memang sudah dijangka akan ada buku kedua kerana masih banyak persoalan yang belum terjawab dan masih ramai watak antagonis yang belum insaf atau mengalah. Hubungan Ammara dan Ridza Kim juga masih di peringkat permulaan.

Pengajaran:
- Jangan terlalu percayakan seseorang. Serapat mana pun kita dengan seseorang, jangan terlalu percayakannya. Hal ini kerana sesetengah orang lebih memilih kekayaan berbanding kasih sayang dan kebaikan yang kita berikan.
- Berikan sokongan kepada ahli keluarga. Sebagai seorang bapa, Tuan Elias sepatutnya memberikan sokongan moral kepada Ammara dan bukannya membiarkan dia kemurungan dan mempunyai keyakinan diri yang rendah.
- Berterus-terang tentang perasaan. Memendam perasaan boleh membuatkan kita berasa tidak tenang dan hidup dalam ketidakpastian. Jika seseorang tidak mempunyai perasaan yang sama seperti kita dan menolak, sekurang-kurangnya kita boleh berhenti berharap dan belajar untuk move on.

Secara keseluruhannya saya ingin beri 9.6/10 bintang kepada novel ini. Novel ini menarik kerana konsep kuasa istimewa yang diketengahkan oleh penulis. Jika anda suka novel Sweet Dreams karya Acik Lana, anda mungkin suka novel ini.

Comments

Post a Comment