Review Novel I Promise Karya Acik Lana

Hai semua peminat novel. Untuk entri kali ini, saya ingin review novel I Promise karya Acik Lana. 

Ini bukan pertama kali saya membaca karya penulis Acik Lana. Saya juga pernah menonton drama yang diadaptasi daripada karya beliau. 

Novel I Promise ni menarik design covernya. Mungkin gambar pokok tu menggambarkan pekerjaan watak utama dan gambar kasut tu mewakili majikannya.

Mari kita baca review bagi novel ini.

Novel I Promise Karya Acik Lana

Judul: I Promise
Penulis: Acik Lana
Genre: Cinta
Tahun terbitan: 2019
Penerbit: Penerbitan Kaki Novel Sdn. Bhd.
Harga: RM 29
Mukasurat: 706

Review:
Permulaan novel difokuskan kepada kisah kehidupan Hayla sebagai isteri Zafran. Mereka berkahwin atas pilihan keluarga. Perkahwinan yang kelihatan bahagia sebenarnya membawa derita kepada Hayla. Dia menjadi mangsa keganasan rumah tangga dan suaminya juga curang.

Memang rasa marah terhadap Zafran kerana tidak tahu menghargai isteri sebaik Hayla. Tapi geram juga dengan Hayla sebab masih kekal bersama Zafran. Dia boleh saja buat aduan ataupun minta bantuan ahli keluarga terdekat tapi dia lagi sanggup meneruskan hidup dengan Zafran.

Sebenarnya, Zafran dan Hayla masing-masing ada sebab tersendiri mengapa mereka tidak bercerai walaupun tidak saling mencintai. Namun, ugutan dari Zafran pada suatu hari membuatkan Hayla nekad untuk melarikan diri.

Kemudian, bermulalah perkenalan antara Hayla dan Anaqi. Hayla bekerja sebagai tukang kebun di rumah Anaqi. Biasanya, tukang kebun lelaki tetapi memandangkan Hayla sudah terdesak, dia tidak kisah melakukan kerja tersebut.

Anaqi ni bukan hero tipikal yang baik, romantik dan bekerja di syarikat besar. Dia bekas pembunuh upahan dan sentiasa hidup dalam ketakutan dan kerisauan atas dosa-dosanya. Dia suka menyendiri dan tidak suka orang lain tahu tentang dirinya. Waktu Zafran datang untuk ambil Hayla semula pun, dia hanya membiarkan saja.

Namun, nasib baik Hayla ada sedikit keberanian selepas satu kejadian. Dia akhirnya bebas dan dapat kembali ke kediaman Anaqi untuk bekerja. Ingatkan dah ada happy ending sebab mereka sudah mula menjalinkan hubungan yang lebih serius. 

Perjalanan cerita selepas itu agak mendebarkan dan menyedihkan. Bukan senang untuk bahagia setelah melakukan kesilapan yang besar. Kadang-kadang kita tidak sedar bahawa perbuatan kita pada hari ini kesannya hanya dapat dilihat selepas satu jangka masa panjang.

Selain itu, watak Julia pasti membuatkan pembaca marah kerana sibuk mengganggu rumah tangga Zafran. Dalam waktu yang sama, kesian juga dengan Julia sebab Zafran terus memberikan harapan kepadanya walaupun sudah bergelar suami orang. Apabila sudah berkahwin dengan Zafran pula, dia tidak dihargai oleh Zafran. 

Masalah dengan Zafran adalah dia tidak menghargai apa yang dimiliki. Dia sering merasakan apa yang bukan miliknya lebih baik dan tidak peduli jika perbuatan yang dilakukan salah asalkan hajatnya tercapai. Orang yang tidak tahu bersyukur macam Zafran ni memang tak akan pernah rasa cukup dan puas hati dengan apa yang ada.

Anda rasa apakah kesudahan novel ini. Happy ending atau sad ending? Kalau nak tahu sama ada Anaqi dan Hayla dapat bersatu atau masing-masing terpisah kerana dosa silam Anaqi, kenalah baca novel I Promise. 

Pengajaran:
- Berani mempertahankan diri. Hayla sepatutnya lebih berani mempertahankan diri dan membebaskan diri daripada keganasan Zafran.
- Hargai orang di sekeliling. Sebagai seorang suami, Zafran seharusnya menyayangi dan menghargai Hayla dan bukannya bertindak ganas.
- Jangan melibatkan diri dalam perkara negatif. Zafran dan Anaqi masing-masing tidak tenang kerana melibatkan diri dalam perkara negatif. Zafran dibenci oleh bapanya manakala Anaqi sentiasa diburu oleh musuh-musuhnya.

Secara keseluruhannya saya ingin beri 9.2/10 bintang kepada novel ini. Novel I Promise karya Acik Lana ini nampak macam klise kerana bermula dengan kahwin paksa tetapi diberikan kelainan dengan mengangkat isu keganasan rumah tangga. Bukan tipikal novel kahwin paksa yang mula-mula benci dan akhirnya cinta. 

Comments

  1. toksik betul dapat suami macam ni. geram pula dgn watak zafran ni.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Memang geram dengan watak Zafran sebab tidak menghargai isteri.

      Delete
  2. Mau sakit jiwa kalau baca novel ini.. hehehe

    ReplyDelete

Post a Comment