Review Novel Aura Cinta Karya Aina Emir

Hai semua. Kembali lagi dalam entri review novel. Untuk hari ini, saya ingin membuat review bagi novel Aura Cinta karya Aina Emir.

Sebenarnya, novel Aura Cinta ni sudah lama saya beli, iaitu pada tahun 2012 (8 tahun lepas). Tapi pada masa tu tiada blog lagi. Jadi, tak dapatlah nak buat review😂. Bagi yang ingin mendapatkan novel ini, saya tidak pasti sama ada novel ini masih dijual di kedai buku ataupun tidak.

Saya beli novel ni kerana tertarik dengan jalan ceritanya. Kalau nak tahu apa yang menarik, pastikan anda baca review ini sehingga habis.  

Aura Cinta Karya Aina Emir

Judul: Aura Cinta
Penulis: Aina Emir
Genre: Cinta, kekeluargaan
Tahun terbitan: 2005
Penerbit: KarnaDya Solutions
Harga: RM 19.90
Mukasurat: 568

Review:
Novel Aura Cinta membuatkan saya tertarik untuk membacanya kerana novel ini berlatar belakangkan perkampungan Orang Asli di Kuala Lipis, Pahang. Sebagai Orang Asli, saya teruja untuk melihat bagaimana kehidupan Orang Asli dipaparkan dalam novel tersebut.

Dua watak utama dalam novel ini ialah Aisya Hanan dan Azraai. Pertemuan mereka bermula apabila Azraai ke Kuala Lipis untuk membuat penggambaraan di sana. Pada masa yang sama, dia cuba membantu rakan baik merangkap adik iparnya, Khairul untuk mecari seseorang.

Perkara lain yang menarik adalah kepelbagaian bahasa yang digunakan dalam novel ini, iaitu bahasa Semai (bahasa suku kaum Orang Asli), bahasa Melayu dan bahasa Indonesia. Untuk pengetahuan semua, Aisya sering menggunakan bahasa Indonesia kerana dia pernah melanjutkan pelajaran di sana.

Dalam novel ini, kita juga dapat melihat hubungan baik seorang guru berbangsa Melayu (Cikgu Sally, ibu kepada Aisya) yang tinggal di perkampungan Orang Asli dengan masyarakat di situ. Walaupun tinggal di kawasan pedalaman, rumah Cikgu Sally serba lengkap dan dia tidak berkira untuk membantu individu yang memerlukan.

Konflik terjadi dalam novel ini apabila Azraai mula mendapat petunjuk tentang individu yang dicari oleh Khairul. Ada satu rahsia yang melibatkan Khairul dan keluarga Cikgu Sally sehinggakan Cikgu Sally terpaksa berpindah apabila beliau merasakan keluarganya tidak selamat lagi di perkampungan Orang Asli tersebut.

Selain itu, terdapat juga konflik antara Khairul dan Azraai terutamanya setelah Azraai menyimpan perasaan terhadap Aisya. Azraai ni boleh dikira sebagai watak yang banyak membantu dalam perjalanan cerita. Dia tersepit antara rakan baiknya dan Aisya.

Apabila lebih ramai yang tahu tentang rahsia yang disimpan bertahun-tahun, makin banyaklah konflik yang terjadi. Kesian pada Azraai kerana secara tak sengaja terlibat dengan masalah orang lain. Kalau nak tahu apakah rahsia tersebut dan bagaimanakah pengakhiran untuk Azraai dan keluarga Aisya, kenalah baca novel Aura Cinta ni.

Pengajaran:
- Berbuat baik kepada semua orang. Cikgu Sally ialah contoh yang baik untuk diteladani agar kita sentiasa menjalinkan hubungan yang baik dengan semua orang tanpa mengira kaum.
- Bertimbang rasa. Azraai membuat keputusan bagi menggantikan Khairul untuk membuat penggambaran kerana isteri Khairul sedang sarat mengandung.
-Bersikap jujur dalam hidup. Konflik yang melibatkan banyak pihak mungkin tidak terjadi jika Cikgu Sally dan keluarga Khairul tidak menyimpan rahsia.

Secara keseluruhannya saya memberi 8.9/10 bintang kepada novel ini. Pasti lebih menarik jika lebih banyak perkataan daripada bahasa Semai digunakan dalam novel ini.

Baca review novel yang lain:

Comments

  1. zaman sekolah dulu rajin baca novel aina emir, banyak juga yg best.
    rasanya novel aura cinta ni belum baca lagi sebab tahun 2012 memang dah slow down beli novel baru..hehe

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ooh. Rasanya tak pernah lagi karya beliau selain Aura Cinta ni.

      Delete

Post a Comment