Review Novel Bicara Cinta Karya Missa J

Hai semua.
Baru-baru ini saya telah meminjam novel Bicara Cinta karya Missa J dari perpustakaan awam. Sebenarnya tujuan saya ke sana bukanlah untuk meminjam novel tetapi hanya menemani orang lain. Namun, apabila saya terlihat banyak novel yang menarik, saya mengambil keputusan untuk mendaftar sebagai ahli dan meminjam beberapa buah buku.

Sejujurnya, saya tidak pernah membaca karya penulis Missa J dan saya tidak meletakkan harapan yang tinggi untuk novel ini. Saya meminjamnya kerana sinopsis novel ini nampak menarik. Jadi, jom baca review novel ini untuk tahu novel ini betul-betul menarik ataupun tidak.

Novel Bicara Cinta Karya Missa J
Judul: Bicara Cinta
Penulis: Missa J
Genre: Cinta, kekeluargaan
Tahun terbitan: 2017
Penerbit: SR Publication
Harga: RM 27.90
Mukasurat: 606

Review:
Jalan cerita novel ini boleh dikatakan agak klise, iaitu tentang kahwin paksa ataupun boleh kita katakan sebagai perkahwinan antara dua insan yang tidak saling mencintai. Namun, penceritaan yang dibawakan oleh penulis membuatkan saya ingin terus membaca hingga ke muka surat terakhir. Watak utama dalam novel ini ialah Anis Sofea. Dia datang daripada keluarga yang berada dan hidup bahagia dengan keluarga kecuali dengan neneknya, Puan Sri Mahzan yang tidak merestui perkahwinan ibu bapa Anis. Biasanya kalau dah ada cucu, hubungan antara menantu dan mentua akan bertambah baik tetapi bukan dalam keluarga Anis.

Bagi saya, kalau nenek Anis itu bersikap dingin dengan orang yang tidak disukai adalah perkara biasa. Namun, apabila sudah sampai tahap menghalau Anis daripada rumah selepas kematian ibu bapanya adalah sesuatu yang kejam dan tidak bertimbang rasa. Saya dapat merasakan betapa susahnya Anis untuk meneruskan hidup memandangkan dia masih bersekolah dan tiada pekerjaan. Nasib baik ada Ustazah Zaharah yang sanggup membantu Anis.

Sebenarnya, sebelum ibu Anis meninggal, dia telah memberikan sebentuk cincin kepada Anis. Cincin tersebut merupakan cincin yang diwarisi secara turun-temurun. Saya memang tidak sangka yang ibu Anis menyimpan begitu banyak rahsia tentang keluarganya. Setelah membaca surat yang ditinggalkan oleh ibunya, Anis pergi mencari keluarga ibunya. Saya ingatkan lepas dah jumpa keluarga ibunya, Anis akan hidup bahagia. Tapi ada masalah lain yang timbul. Tok Ali dan Nenek Humairah bukanlah orang berada dan tak mampu nak tanggung pembelajaran Anis. Adee, anak angkat mereka merangkap jejaka yang pernah menyimpan perasaan kepada ibu Anis ingin menanggung perbelanjaan bagi pembelajaran Anis tetapi Anis tidak mahu menyusahkannya.

Rasa kesian juga dengan Anis sebab dia nak melanjutkan pelajaran di universiti tapi datuk dan neneknya macam tak beri galakan malah mencadangkan agar kahwin dengan Adee. Jarak umur antara Adee dan Anis agar besar dan Anis memanggilnya pak cik. Macam pelik saja apabila mereka nak berkahwin. Namun, sebab utama yang membuatkan Anis risau dengan perkahwinan ialah rahsia yang dia simpan. Anis dan Adee berkahwin hanya kerana mereka ingin menggembirakan Tok Ali dengan Nenek Humairah. Apabila mereka sudah hidup bahagia, rumah tangga mereka diuji dengan kehilangan Adee dan kehadiran bekas kekasih Anis, Zairee. Masa baca bab-bab terakhir, saya keliru sama ada Anis akan tunggu Adee atau pilih Zairee sebab sudah beberapa tahun tetapi Adee masih belum pulang. Kalau nak tahu kesudahannya, anda harus baca novel Bicara Cinta ini.

Salah satu perkara yang menjadikan novel ini unik ialah penggunaan bahasa Melayu Sarawak. Banyak perkataan baru yang saya pelajari semasa membaca novel ini. Selain itu, pembaca juga didedahkan dengan suasana kehidupan di sana. Pembaca juga dapat mengetahui bagaimana kerisauan ibu bapa di sana apabila anak mereka meluahkan hasrat untuk ke Semenanjung.

Pengajaran:
- Kasih sayang antara keluarga. Walaupun Tok Ali kecewa dengan anaknya yang pergi ke Semenanjung dan tidak pernah pulang, dia menerima kedatangan cucunya dengan hati yang terbuka. Hal ini kerana, hubungan kekeluargaan itu tidak akan pernah putus. Perselisihan mungkin terjadi tetapi pada akhirnya semua ahli keluarga akan bersatu kembali.
- Jodoh itu rahsia Tuhan. Cinta pertama tidak semestinya jodoh kita. Kita tidak dapat membuat jangkaan tentang jodoh. Sebagai contoh, Anis bercinta dengan Zairee yang hampir sebaya dengannya tetapi jodohnya bukanlah Zairee. Jodoh Anis ialah Adee yang usianya lebih kurang usia ibu Anis.
- Bersikap rasional. Puan Sri Mahzan sepatutnya bersikap rasional dan membantu cucunya yang berada dalam kesusahan. Sikapnya yang suka bertindak sesuka hati membuatkan suaminya berkahwin buat kali kedua.

Secara keseluruhannya saya ingin beri 9.8/10 bintang kepada novel ini. Tak nak bagi 10 bintang sebab watak Puan Sri Mahzan yang tidak bertimbang rasa tu.

Baca review novel yang lain:
-Free Gift Daripada Novelis Missa J
-Kembali Mencintai karya Syamnuriezmil
-Seribu Rindu karya Hani Fazuha
-Qalif: Watak Cinta Terindah

Comments

  1. tak pernh baca lg ni.. mcm best gak

    ReplyDelete
  2. Bila satu-satu novel tu menggunakan loghat daerah atau negeri, memang akan jadi menarik.. Ini pendapat kak Sha la.. hehehe..

    ReplyDelete
  3. Terima kasih sebab sudi baca karya saya... Bila google2 ternampak plak blog ni.. Terharu saya baca komen anda semua..
    Buat pengetahuan, novel ni akan di dramakan di slot AKASIA TV3 sebanyak 16 episod bermula 2/4/2020 .. Harap dapat bagi sokongan. Terima kasih banyak2..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Lupa nak cakap.. novel ni memang klise sebab atas permintaan penerbit..susah nak dapat penerbit novel kalau tak klise...

      Delete
    2. Sama-sama,kak😊. Terima kasih juga sebab sudi singgah sini. Tak sabar nak tunggu drama adaptasi ni keluar. Agak-agaknya siapalah yang pegang watak Adee and Anis🤔.

      Setuju dengan akak. Novel yang bergenre klise ni tinggi permintaan sebab tu penerbit selalu terima genre macam ni. Tapi Bicara Cinta ni lain sikit sebab pamerkan kahwin paksa antara orang biasa2 dan dari dua negeri yang begitu berbeza.

      Delete
    3. Nak dapat kelulusan novel ni pun susah juga sbb lari banyak dari genre yang diharapkan pembaca dan penerbit.. Saya memang cuba hasilkan karya lain dr yg lain, tapi itulah.. penerbit susah nak terima.. Insya-Allah, saya akan terus berkarya utk yg luar biasa.. harap ada yang suka..

      Delete
  4. Saya pernah jumpa Kak Missa di Melaka semasa praktikal..sebab saya beli zine dia..best sangat cite lawak2...tapi novel dia lum baca lagi..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Bestnya dapat jumpa penulis novel. Bolehlah baca novel beliau pula lepas ni.

      Delete
    2. Ye akak ingat... akak sendiri hantar kat Kota Cemerlang.. Terima kasih ye.. Nanti boleh baca novel ni pulak..

      Delete

Post a Comment