Hai semua. Kembali lagi dalam entri review novel. Hari ini saya akan review novel Hani karya Nurulsham Saidin & Zabidi Mohamed.
Sebenarnya, buku ini saya beli 10 tahun lepas, iaitu pada tahun 2011. Masa tu saya baru lagi mula membeli novel. Novel ini merupakan antara novel yang saya beli semasa tahun pertama rutin ke kedai buku.
Apabila saya baca semula novel ini, baru saya perasan yang novel ini diinspirasikan daripada drama Hani. Drama tersebut disiarkan pada tahun 2010 di slot Lestary TV3.
Namun, saya tidak menonton drama tersebut kerana saya masih di sekolah rendah pada waktu itu😂. Tanpa melengahkan masa, jom kita baca review bagi novel ini.
Hani Karya Nurulsham Saidin & Zabidi Mohamed |
Penulis: Nurulsham Saidin, Zabidi Mohamed
Genre: Kekeluargaan/Cinta
Tahun terbitan: 2011
Penerbit: Galeri Ilmu
Harga: RM 19
Mukasurat: 403
Review:
Novel Hani mengisahkan tentang Hani, calon SPM yang sering migrain. Masalah tersebut sudah bertahun-tahun dihadapi tetapi dia tidak membuat pemeriksaan kesihatan dan hanya bergantung kepada ubat yang diperoleh ibunya, Puan Mariam.
Hani sebenarnya merupakan seorang pelajar cemerlang di sekolah dari segi akademik dan kokurikulum. Disebabkan migrain, dia terpaksa mendapatkan cuti sakit dan tidak hadir ke sekolah dengan kerap.
Suatu hari, rakan-rakan Hani, Aliah dan Jalilah memberitahunya tentang Irfan. Irfan baru berpindah ke sekolah mereka. Hubungan Hani dan Irfan semakin rapat lalu ibu Irfan, Puan Shafinaz meminta bantuan Hani untuk memulihkan hubungan Irfan dengan ayahnya, Dr. Adib.
Namun, semakin hari, masalah migrain Hani semakin teruk sehingga dia pengsan. Puan Mariam yang bekerja sebagai jururawat merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan Hani. Lalu, beliau memutuskan untuk membawanya berjumpa doktor.
Tapi kesian dengan Puan Mariam dan Hani kerana ayah Hani, Encik Mokhtar, memandang remeh terhadap masalah tersebut dan dia yakin yang anaknya sihat. Akibat lewat didiagnosis, barah otak Hani sudah sampai ke tahap kronik.
Setelah pembedahan dijalankan oleh Dr. Adib, Hani kehilangan penglihatannya. Memang sukar untuk dia menerima kenyataan. Keluarga Irfan pula mahu memisahkan mereka kerana orang kaya seperti mereka menganggap Hani sudah tiada masa depan.
Yang paling menyedihkan, Aliah juga meninggalkan Hani demi kepentingan diri sendiri. Tapi yang paling menyakitkan hati ialah keluarga Irfan tidak mengenang budi Hani. Mereka juga pernah kehilangan anak kerana penyakit berbahaya, iaitu leukimia tetapi seolah-olah tiada sifat empati dalam diri.
Namun, saya kagum dengan Puan Mariam dan Niza (adik Hani). Mereka betul-betul memberikan sokongan agar Hani dapat bangkit semula. Bukan senang untuk mengembalikan keyakinan diri seseorang yang baru kehilangan antara nikmat terbesar dalam hidup, iaitu penglihatan.
Saya suka dengan isu yang diketengahkan dalam novel ini kerana masih ramai lagi yang belum ada kesedaran tentang potensi orang seperti Hani. Ramai yang memandang perbezaan itu sebagai kekurangan tetapi perbezaan itu boleh menjadi keunikan.
Pengajaran:
- Peka dengan kesihatan diri. Hani dan keluarganya seharusnya lebih peka dengan kesihatan diri. Apabila terlalu kerap mengalami migrain, pemeriksaan kesihatan patut dilakukan.
- Semai sifat empati. Memandangkan kita hidup bermasyarakat, amat penting bagi kita untuk menyemai sifat empati dalam diri. Jangan bersikap pentingkan diri.
-Jangan memandang rendah terhadap orang lain. Keluarga Irfan tidak sepatutnya memandang rendah terhadap Hani kerana setiap orang ada kelebihan dan kekurangan masing-masing.
Secara keseluruhannya saya memberi 9.5/10 bintang kepada novel ini. Macam-macam emosi yang dapat dirasakan ketika membacanya. Banyak juga pengajaran yang dapat kita peroleh. Penulis juga menyedarkan kita bahawa orang seperti Hani juga dapat berjaya seperti orang lain.
Secara keseluruhannya saya memberi 9.5/10 bintang kepada novel ini. Macam-macam emosi yang dapat dirasakan ketika membacanya. Banyak juga pengajaran yang dapat kita peroleh. Penulis juga menyedarkan kita bahawa orang seperti Hani juga dapat berjaya seperti orang lain.
menarikkkkk .
ReplyDeleteMenarik :)
Delete