Review Novel Rumah Di Hidden Hill Karya Zura Anwar

Hai semua. Bertemu lagi kita dalam review novel di TWJ. Dalam entri kali ini, saya akan review novel Rumah Di Hidden Hill karya Zura Anwar.

Novel ini telah saya preorder pada bulan November tahun lalu. Akhirnya sampai juga pada bulan Mac 2022.

Pembelian kali ini lebih istimewa kerana saya dapat beg dengan tulisan Rumah Di Hidden Hill. Kalau tak silap, beg tersebut hanya untuk 100 orang pembeli terawal. Pen dalam gambar tu tak termasuk ya. Saya saja letakkan untuk cantikkan gambar😂.

Untuk pengetahuan semua, novel ini diposkan dari Sabah. Jadi, kos penghantaran lebih mahal sedikit tapi tetap berbaloi sebab ada tandatangan penulis. 

Novel Rumah Di Hidden Hill ini agak tebal dan mengetengahkan genre seram dan psikologi thriller. Memang masih mengekalkan identiti penulisan Zura Anwar.

Jom kita lihat gambarnya.

Rumah Di Hidden Hill karya Zura Anwar

Judul: Rumah Di Hidden Hill
Penulis: Zura Anwar
Genre: Seram / Psikologi thriller
Tahun terbitan: 2022
Penerbit: Siti Syazurah
Harga: RM 30
Mukasurat: 310

Review:
Novel ini dimulakan dengan babak kumpulan paranormal melakukan siasatan di sebuah rumah misteri di Hidden Hill. Mungkin nama tersebut diperoleh kerana lokasi rumah yang agak jauh dan tersembunyi. 

Namun, tumpuan utama dalam novel ini bukanlah kisah kumpulan paranormal tersebut. Watak utama ialah Kamal dan Liana. Sepasang suami isteri yang baru sahaja berpindah ke rumah misteri tersebut. Bagi saya, memang mencurigakan kalau rumah yang besar dan cantik dijual dengan harga yang murah. Mesti ada sesuatu yang tidak kena.

Memandangkan Liana merupakan seorang gadis moden dan tidak mempercayai kejadian mistik, dia tidak berasa risau untuk tinggal di rumah itu. Namun, semakin hari semakin banyak kejadian aneh yang dilaluinya.

Disebabkan sifat ingin tahu yang mendalam, Liana cuba menyiasat sendiri. Dia juga meminta pertolongan Pak Samad. Pak Samad sudah beberapa kali menasihati Liana supaya berpindah keluar tetapi tidak diendahkan.

Memang pelik kalau Pak Samad tidak tahu apa yang berlaku di rumah tersebut kerana Pak Samad sudah bekerja di situ sejak zaman pemilik yang lama. Nasib baik ada bantuan daripada diari yang ditinggalkan oleh bekas orang gaji di situ, iaitu Kirana. 

Penceritaan melalui diari membuatkan saya tidak sabar untuk mengetahui rahsia apa lagi yang akan dibongkarkan. Semakin banyak juga watak-watak baru yang diperkenalkan seperti Dato' Herman, Datin Nora, Nana, Nazrin dan Harith.

Tetapi misteri pembunuhan ahli keluarga Dato' Herman dan dua orang gajinya masih kekal. Dato' Herman pula merupakan suspek utama kes tersebut dan masih gagal dikesan. 

Plot twist kali ini memang tidak saya jangkakan. Pembaca dimanipulasi dengan fakta yang diubahsuai. Liana pun tertipu juga. Semuanya kelihatan masuk akal kerana kejadian pembunuhan itu berlaku berpuluh-puluh tahun yang lepas dan tiada bukti untuk menidakkan teori yang Dato' Herman bersalah. Jika plot masa pada zaman sekarang, pasti misteri ini lebih pantas terjawab.

Pengajaran:
- Jujur terhadap pasangan. Kamal sepatutnya jujur terhadap Liana tentang hubungkait dirinya dan rumah misteri di Hidden Hill.
- Jangan mudah mempercayai seseorang. Liana tidak seharusnya mempercayai 100% apa yang tertulis di dalam diari tersebut.
- Berfikir secara rasional. Liana sepatutnya berfikirn secara rasional dan tidak perlu masuk campur secara berlebihan tentang apa yang pernah berlaku di rumah tersebut.

Secara keseluruhannya saya ingin beri 10/10 bintang kepada novel ini. Jalan ceritanya menarik dan plot twist kali ini memang saya tak dapat jangka langsung. Sebagai pembaca, saya tidak sabar untuk baca bab-bab seterusnya untuk mengetahui siapakah dalang di sebalik semua misteri tersebut. 

Comments

  1. a kind of novel yang saya suka, perlu memerah otak sikit tuk berfikir

    ReplyDelete
  2. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  3. ammi perasan letak pen atas novel yang di"review" adalah trademark awak..

    btw...macam best je novel ni. mesti membaca sambil berfikir kan

    ReplyDelete

Post a Comment