Review Novel Menebus Rindu Karya Hany Hisham Musa

Hai semua. Hari ini saya ingin membuat review bagi novel Menebus Rindu karya Hany Hisham Musa.

Sejujurnya, ini kali pertama saya membaca karya beliau. Untuk pengetahuan semua, Menebus Rindu merupakan karya kedua penulis. Novel ini juga merupakan novel self-published (diterbitkan sendiri oleh penulis). 

Tak sangka rezeki bulan Mac adalah dapat hadiah novel. Mula-mula saya ingatkan penulis novel ini perempuan kerana nama Hany. Rupa-rupanya, beliau seorang lelaki. Maaf, encik penulis😅. Kalau nak tahu maklumat lanjut tentang penulis, boleh ke Goodreads

Seperti biasa, perkara yang saya suka kalau dapat novel terus dari penulis ialah ada tandatangan penulis pada novel. Dari segi pengeposan, masa yang diambil untuk buku sampai tidak terlalu lama.

Tanpa melengahkan masa, jom kita baca review.

Novel Menebus Rindu Karya Hany Hisham Musa

Judul: Menebus Rindu
Penulis: Hany Hisham Musa
Genre: Cinta/Kekeluargaan
Tahun terbitan: 2021
Penerbit: Infiniti Publishing
Harga: RM 32
Mukasurat: 415

Review:
Watak utama dalam novel Menebus Rindu ini terdapat dua orang, iaitu Azim dan Khadija. Mereka berdua saling tidak mengenali sehingga takdir menemukan mereka di bumi Sri Lanka. Mereka datang dengan tujuan yang berbeza dan terpisah selama beberapa tahun sebelum bertemu kembali.

Cara penceritaan pada permulaan memfokuskan kepada Azim dan melibatkan penggunaan pelbagai gaya bahasa. Susah nak jumpa gaya penulisan sebegitu yang digunakan dalam novel-novel pada masa kini. Menuju ke pertengahan novel, gaya penulisan lebih santai.

Selain itu, terdapat banyak perkataan baru yang saya pelajari. Sememangnya membaca novel ini membantu saya untuk menambah kosa kata (vocabulary).

Kemudian, pertengahan novel memfokuskan kepada kisah hidup Azim dan Khadija sebelum mereka ke Sri Lanka. Azim merupakan ahli perniagaan yang sibuk sehingga mengabaikan keluarganya. Namun, kejayaan dan kekayaannya lenyap sekelip mata setelah satu peristiwa yang membuatkan isterinya, Azura meminta cerai. Memang berat dan menyedihkan dugaan yang mereka hadapi.

Khadija pula ditinggalkan oleh kekasihnya kerana dia tidak menepati definisi cantik yang diberikan oleh masyarakat, iaitu kurus dan putih. Kisah hidup Khadija agak menyedihkan. Dia dibesarkan di rumah anak yatim dan satu-satunya orang yang dicintai pergi meninggalkannya. 

Pada awalnya, saya tertanya-tanya kenapa Azim bersungguh-sungguh mencari pemilik foto yang diperoleh di Sri Lanka. Rupa-rupanya, Khadija adalah pemilik foto tersebut. Setelah beberapa pertemuan di Malaysia, mereka kembali ke Sri Lanka untuk menyelesaikan misi yang tertangguh. Sekembalinya ke Malaysia, Khadija mendapat tawaran pekerjaan di luar negara yang membuatkannya berada dalam dilema.

Selain daripada watak utama, saya kagum dengan watak Azura yang sanggup meninggalkan kerjayanya untuk menjadi suri rumah tangga sepenuh masa. Bukan mudah untuk seseorang yang sudah biasa bekerja untuk tinggal bersendirian di rumah kerana suami terlalu sibuk dengan kerja. 

Perkara yang saya suka tentang novel ini ialah penceritaan penulis tentang perjalanan Azim dan Khadija di Sri Lanka. Butiran yang diberikan agak terperinci termasuklah dari segi kawasan tumpuan pelancong, pengangkutan dan makanan. Saya tidak pasti sama ada penulis bercerita berdasarkan pengalaman sendiri, pembacaan atau pengalaman orang lain.

Dapatkah Azim dan Khadija menyelesaikan misi mereka? Adakah Khadija akan menerima tawaran kerja di luar negara? Kalau anda ingin tahu pengakhiran kisah Azim dan Khadija, kena dapatkan dan baca novel Menebus Rindu karya Hany Hisham Musa. 

Pengajaran:
- Seimbangkan masa untuk kerja dan keluarga. Azim seharusnya bijak dalam membahagikan masa untuk keluarga dan kerja.
- Ketua keluarga kunci kebahagian keluarga. Novel ini menunjukkan betapa besarnya pengaruh ketua keluarga dalam menentukan hala tuju sesebuah keluarga. Azim dibesarkan oleh seorang bapa yang mementingkan kerja dan dia tinggal jauh dari keluarga sejak dari usia yang muda. Hal itu membuatkan dia tidak sedar kepentingan meluangkan masa dengan keluarga.
- Terima takdir yang sudah tertulis. Kehidupan Azim dan Khadija lebih tenang setelah mereka belajar untuk menerima takdir yang sudah tertulis untuk mereka.

Secara keseluruhannya saya ingin beri 9/10 bintang kepada novel ini. Penulis mengetengahkan pelbagai isu yang tidak asing lagi dalam masyarakat kita tapi tidak selalu dibicarakan. Antaranya adalah isu kesihatan mental suri rumah tangga, cara didikan ibu bapa terhadap anak-anaknya, body shaming dan kasih sayang seorang ayah. Selepas baca novel ini juga, saya jumpa kaitan antara design cover buku dengan jalan cerita.

*Bagi yang ingin dapatkan novel Menebus Rindu karya Hany Hisham Musa, boleh dapatkan di Popular Bookstore, Shopee, Bookcafe atau DM beliau di Instagram @mhanyhisham

Comments

  1. Suka betul baca novel ini.. Isi dalam dia mampu buat kita sebagai pembaca berfikir..

    ReplyDelete
  2. jarang baca novel dari publisher ni. nampak menarik juga jalan cerita dia :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Saya pertama kali baca novel dari publisher ni😅.

      Delete

Post a Comment