Resepi Daging Masak Sambal Kicap

 Hai semua. Jumpa lagi dalam entri perkongsian resepi. Untuk entri hari ini, saya akan kongsikan resepi daging masak sambal kicap.

Disebabkan dah selalu masak daging kicap, saya inginkan sedikit kelainan. Setelah mencari resepi, akhirnya saya jumpa resepi yang menarik. Namun, saya ubah ikut citarasa sendiri dari segi bahan-bahan yang digunakan.

Untuk resepi ini, saya gunakan kicap manis cap Kipas Udang. Jadi, saya tak pasti macam mana hasilnya kalau guna kicap manis jenama lain. Jom kita baca resepi penuh.

Bahan-bahan
Daging-dihiris
2 1/2 sudu bawang kisar (bawang merah, bawang putih & bawang besar)
2 sudu lada kering kisar
2 sudu kicap manis  (cap Kipas Udang)-ubah ikut kuantiti daging
1 biji limau kasturi-dibelah dua
1/2 biji bawang besar-dihiris
Minyak masak-untuk menumis

Cara memasak
1. Perap daging dengan kicap manis dan air perahan limau kasturi selama 1-2 jam.

2. Panaskan minyak dalam kuali. Masukkan bawang kisar dan lada kering kisar. Tumis sehingga garing.

3. Masukkan daging yang telah diperap. Kacau dan biarkan air dari daging keluar. Tak perlu tambah air.

4. Apabila kuah sudah mendidih, masukkan bawang besar lalu kacau.

5.  Apabila bawang besar sudah layu, tutup api dan angkat daging yang sudah siap dimasak.

Daging Masak Sambal Kicap

Hasilnya adalah seperti yang anda lihat dalam gambar di atas. Nampak sedap tapi macam mana dengan rasanya? Sedap juga. Saya lagi suka daging masak sambal kicap ni berbanding daging masak kicap biasa. Cuma kalau nak masak sambal kicap kena perap daging tu dulu.

Mungkin yang menyebabkan rasanya lebih sedap adalah perapan. Kalau anda pernah guna kicap jenama lain untuk perap daging, boleh kongsikan kicap mana yang sesuai untuk digunakan.

Jumpa lagi dalam entri akan datang.


Comments

Post a Comment