Review Novel Love, Elsa II Karya Acik Lana

Hai semua. Seperti yang dijanjikan, hari ini saya akan review novel Love, Elsa II karya Acik Lana. Bagi yang belum baca review Love, Elsa yang pertama, boleh baca review tersebut dulu.

Setelah baca novel yang pertama, tidak sabar rasanya untuk baca novel yang kedua. Saya menjangkakan bahawa persoalan yang menjadi tanda tanya di penghujung novel Love, Elsa bakal terjawab dan rasanya mesti lebih banyak konflik. 

Novel Love, Elsa II ini lebih tebal dan lebih mahal harganya dari Love, Elsa. Dari segi cover novel pula, terdapat satu perbezaan yang ketara. Walaupun konsep bunga dikekalkan, gambar sarung tangan sudah tidak kelihatan.

Jom kita baca review untuk tahu lebih lanjut tentang kisah Ammara dan Ridza Kim.

Love, Elsa II Karya Acik Lana

Judul: Love Elsa II
Penulis: Acik Lana
Genre: Cinta/Kekeluargaan
Tahun terbitan: 2019
Penerbit: Booku Enterprise
Harga: RM 35
Mukasurat: 700

Review:
Ketika membaca novel yang pertama, mungkin ada yang pelik siapakah Elsa sebenarnya. Dalam Love, Elsa II, penulis memberikan penjelasan tentang Elsa. Dari segi timeline pula, novel ini bersambung dengan babak terakhir dalam novel pertama. Biasanya penulis lain akan memfokuskan kepada kehidupan selepas beberapa tahun dalam novel kedua tetapi bukan dalam Love, Elsa II.

Novel ini memfokuskan kepada perjalanan kisah cinta Ammara dan Ridza Kim. Walaupun pada awalnya Ammara risau tentang penerimaan Kim terhadap kuasa yang dimiliki, Kim berjaya meyakinkan Ammara bahawa mereka boleh mencari penyelesaian kepada masalah tersebut.

Untuk novel kedua ini, terdapat lebih banyak babak menggunakan bahasa Korea terutamanya apabila Ammara dan Kim ke Pulau Jeju. Agak lucu membaca babak Ammara dan nenek Kim cuba berkomunikasi kerana masing-masing tidak bertutur dalam bahasa yang sama. Tapi jangan risau penulis ada sertakan maksud dalam bahasa Melayu.

Selain itu, kisah cinta Ammara dan Kim dipenuhi dengan pelbagai konflik. Antaranya adalah Ji Hyun dan Sofea yang masih tak move on serta kehadiran Hairi. Konflik antara Ammara dan Tuan Elias (bapa Ammara) juga difokuskan.

Dalam novel yang kedua ini juga, pembaca dapat lihat bahawa Ammara sudah dapat menerima kuasa yang dimiliki dan dia menggunakannya untuk tujuan yang baik walaupun ada kalanya dia terpaksa berdepan dengan kebenaran yang menyakitkan.

Boleh dikatakan bahawa novel kedua ini banyak berkisahkan tentang konflik dan rahsia dalam keluarga Ammara. Hanya ada sedikit babak berkaitan dengan keluarga Kim. Saya ingatkan ada lebih banyak kisah tentang pendakwaan kes kematian bapa Ridza Kim.

Di samping itu, Novel Love, Elsa II ini banyak menunjukkan emosi bagi setiap watak, iaitu sedih, marah, gembira, cemburu dan penyesalan. Semestinya Ammara lah yang paling banyak beremosi terutamanya apabila banyak rahsia berkaitan dengan kematian ibunya terbongkar. 

Sejujurnya, saya rasakan terdapat lebih banyak konflik yang diperkenalkan dalam novel kedua ini tetapi bukanlah konflik yang begitu berat. Sekejap sahaja setiap konflik sudah berjaya diselesaikan. 

Pengajaran:
- Menerima ketentuan takdir. Setelah Ammara dapat menerima kuasa yang dimiliki dengan hati yang terbuka, dia berasa lebih tenang dan berjaya memanfaatkannya untuk tujuan yang baik.
- Kepercayaan terhadap pasangan. Kisah Ammara dan Kim menunjukkan betapa pentingnya kepercayaan terhadap pasangan dalam menjalani kehidupan berumahtangga.
- Hargai ahli keluarga. Tuan Elias sedar kepentingan menghargai keluarga setelah dia semakin tua dan diduga dengan macam-macam ujian.

Secara keseluruhannya saya ingin beri 9.0/10 bintang kepada novel ini. Banyak persoalan dalam novel pertama sudah dijawab dalam novel kedua. Tapi saya menjangkan lebih banyak lagi kisah yang dikupas dan diberikan pengajaran seperti pembunuh bapa Ridza Kim dan keluarga Ramona (ibu tiri Ammara).

Comments

  1. Adoi.. lebih banyak konflik ye.. Tapi bila dah baca buku pertama mesti nak habiskan juga buku kedua kan Jannah..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Betul tu, Kak Sha. Memang kena baca sambungan dari novel pertama tu.

      Delete

Post a Comment