Review Novel Magisnya Cinta Karya Syamnuriezmil

Hai semua. Setelah sekian lama tidak membuat review novel Syamnuriezmil, hari ini saya ingin membuat review Magisnya Cinta.

Sebenarnya dah lama saya beli novel ni, tapi kesibukan menyebabkan hasrat untuk membaca tertunda. Kebetulan terjumpa novel ni beberapa hari lepas. Kalau tak, mungkin terus terlupa tentang kewujudan novel ni😅.

Magisnya Cinta Karya Syamnuriezmil

Selalunya apabila beli buku dengan Syanuriezmil akan dapat free gift. Tapi saya tak ingat free gift apa saya dapat sebab dah terlalu lama. Saya beli pada Januari 2019. Dah lebih dari 2 tahun baru baca. Nampaknya lepas ni kena simpan rekod novel yang dibeli supaya tak terlepas pandang😂.

Judul: Magisnya Cinta
Penulis: Syamnuriezmil
Genre: Cinta
Tahun terbitan: 2015
Penerbit: Penulisan2U
Harga: RM 29
Mukasurat: 738

Review:
Novel Magisnya Cinta ini memfokuskan kepada bagaimana cinta dapat mengubah hidup seseorang. Tak mustahil dari benci boleh bertukar kepada cinta. Boleh dikatakan agak klise lah tapi cara penulisan Syamnuriezmil membuatkan saya ingin baca novel ini sehingga habis dan tidak rasa bosan.

Terdapat dua watak utama, iaitu Adib Haiman dan Cik Rose Khadeeja (CRK). Isu utama yang dipaparkan adalah cinta tiga segi antara Adib, CRK dan rakan baik mereka, Natasha Erynna. Selain itu, Adib dan CRK juga terjebak dengan cinta tiga segi antara mereka dan Megat Waiz (sepupu CRK).

Namun, Megat Waiz mengundurkan diri dan membawa diri ke luar negara setelah ditolak oleh CRK. Jadi, konflik berterusan hanyalah dengan Natasha. Tak tenang kehidupan Adib dan CRK disebabkan ugutan Natasha jika CRK berkahwin dengan Adib.

Bahagian yang mendebarkan adalah apabila Natasha hilang ingatan dan cuba mendapatkan kembali ingatannya. Memang berdebar menanti reaksi Natasha setelah ingatannya kembali. Pada waktu yang sama, penulis juga memaparkan kisah cinta yang tidak begitu pasti antara Megat Waiz dan Cinta Alana serta Megat Razeen dan Natasha.

Novel ini mungkin nampak macam ringan dan sesuai untuk pembacaan santai tapi jika kita hayati betul-betul, banyak perkara yang dapat kita jadikan pengajaran. Jalan ceritanya klise. Namun, jalan cerita sebeginilah yang terjadi dalam kehidupan seharian kita. Isu persahabatan dan cinta memang tidak dapat dielakkan.

Pengajaran:
- Dengar penjelasan daripada semua pihak. CRK seharusnya mendengar penjelasan daripada Adib sebelum membuat kesimpulan tentang diri Adib berdasarkan apa yang diceritakan oleh Natasha.
- Menerima takdir dengan hati terbuka. Megat Waiz dan Natasha kedua-duanya bertepuk sebelah tangan kerana orang yang mereka cintai tidak mencintai mereka. Namun, Megat Waiz memilih untuk menerima takdir yang telah ditetapkan dan menjalani hidup dengan tenang. Perkara yang sebaliknya berlaku kepada Natasha kerana dia tidak dapat menerima yang Adib bukan untuknya.
-Berbincang jika ada masalah. Natasha tidak seharusnya menjauhkan diri dan memburukkan Adib hanya kerana cintanya tidak kesampaian. Dia sepatutnya berbincang dan menyelesaikan masalahnya dengan Adib dan bukannya membalas dendam.

Secara keseluruhannya saya memberi 8/10 bintang kepada novel ini. Boleh dikatakan novel Magisnya Cinta ini tidak mempunyai konflik yang begitu berat. Namun, masih banyak pengajaran yang boleh kita ambil dan pelajari. 

Baca review novel yang lain:
-Yang Lebih Sempurna karya Umie Liza

Comments