E-NOVEL: Cinta Terlarang Bab 1

Hai semua.
Bertemu kembali kita dalam karya saya yang terbaru, iaitu e-novel Cinta Terlarang. Bagi yang belum membaca prolog e-novel ini, dijemput untuk baca terlebih dahulu. Anda boleh klik page E-Karya untuk membaca karya-karya saya. Selamat membaca😊.

E-NOVEL: Cinta Terlarang

Jessica terjaga daripada tidur apabila terdengar deringan telefonnya. Dia mengambil telefon pintarnya yang diletakkan di atas meja belajar. Kelihatan nombor rakan sekelasnya, Eshal terpapar di skrin telefon.

Kenapa pula Eshal telefon aku? Takkan dia nak ajak pergi buka puasa? Baru pukul 3 petang. Awal lagi kalau nak pergi berbuka. Baik aku angkat sajalah.

“Helo, Eshal. Ada apa kau telefon aku?” tanya Jessica dengan suara yang serak.

“Jess, kau memang lupa atau buat-buat lupa? Hari ni kan kita ada event.” Geram pula rasanya apabila Jessica bertanya kenapa Eshal menelefonnya.

“Betul, aku tak tahu apa-apa. Ada apa ya hari ni? Eh, jap. Program sediakan makanan untuk sahur tu kan? Aku betul-betul lupa, Eshal.” Jessica turun dari katil dan segera melihat kalendar di atas meja belajarnya untuk mendapatkan kepastian. Ternyata memang benar dia ada satu event hari ini.

“Betullah tu. Aku dah ada kat dataran masjid ni. Semua dah nak mula buat kerja. Cepat sikit turun, Jess. Nasib baik aku ni penolong pengarah event ni. Kalau dengan orang lain, mesti kau dah kena marah. ”

Okay, kau bagi aku 10 minit. Aku nak cuci muka jap. Ada apa-apa yang kau nak aku bawa ke?”

“Rasanya macam tak ada apa-apa. Cepat siap, Jess.”

Jessica terus menamatkan panggilan dan menuju ke bilik air untuk mecuci muka. Kemudian, dia menukar pakaiannya agar lebih sesuai dengan program yang akan disertai.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
            Aduhai, macam mana aku boleh terlupa ni? Apa nak jadi dengan kau ni, Jess? Nasib baik aku tinggal di hostel je. Tak adalah jauh sangat nak ke dataran masjid. Jessica kelam-kabut menuju ke dataran masjid sambil memikirkan tentang apa yang akan terjadi apabila dia tiba di sana. Dia geram dengan diri sendiri kerana terlupa dengan event pada hari itu.

            Setelah hampir tiba di dataran masjid, dia terus berlari tanpa menoleh ke kiri dan kanan. Tanpa disedarinya, terdapat seorang pelajar lelaki yang juga berlari menuju ke dataran masjid lalu mereka bertembung dan kedua-duanya terjatuh.

            “Aduh, sakitnya.” Jessica mengadu kesakitan sambil mengusap bahunya. Dia terkejut apabila melihat terdapat seorang lelaki yang juga terjatuh sepertinya.

            “Kau ingat kau seorang saja ke sakit. Bahu aku pun sakit juga. Lain kali kalau jalan tu tengok kiri dan kanan, amoi. Menyusahkan orang je.” Adib meluahkan rasa tidak puas hati dan geram dengan sikap gadis itu yang terburu-buru dan tidak melihat keadaan sekeliling.

            “Yang kau nak marah-marah ni kenapa? Kau pun bersalah dalam hal ni. Untuk pengetahuan kau, aku bukan Cina. Jadi, tolong jangan panggil aku amoi. Aku bumiputera Sabah.” Jessica memang pantang kalau orang sesuka hati memanggilnya amoi kerana dia bukanlah orang Cina. Dia hairan mengapa orang ramai sering keliru antara orang Cina di Semenanjung dan orang Sabah.

            “Eh, cik adik. Kalau nak menipu pun agak-agaklah. Cara kau bercakap pun tak ada bunyi macam orang Sabah bercakap. Loghat kau macam orang KL je. Aku ni orang KL. Kau jangan nak tipu akulah.” Adib tidak percaya bahawa gadis itu orang Sabah kerana cara percakapannya tidak seperti orang Sabah.

            Dia ingat aku ni bodoh sangat ke sampai tak tahu bezakan cara pertuturan orang Sabah dan orang Semenanjung. Amoi ni saja nak kenakan aku.

            “Kalau aku bercakap dalam loghat Sabah, kau faham ke? Untuk pengetahuan kau, mak dan ayah aku dah berpindah ke Semenanjung sebelum aku lahir lagi. Aku dibesarkan di Kuala Lumpur dan aku menggunakan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris di rumah. Keturunan dalam sijil lahir aku ialah bumiputera Sabah dan IC aku pun 12,” dengan panjang lebar Jessica menjelaskan tentang latar belakang dirinya. Geram pula dia dengan lelaki itu.

            “Tak kisahlah kau nak cakap apa pun, amoi. Aku masih tak percaya.” Adib tetap dengan pendiriannya.

            “Kau nak aku tunjukkan IC ke, Encik KL?” kata Jessica sambil mencari dompet di dalam begnya.

Adib menanti Jessica yang sedang mencari kad pengenalannya. Dia ingin melihat buktinya barulah dia akan percaya. Belum sempat Jessica menujukkan kad pengenalannya kepada Adib, mereka berdua disapa oleh seseorang.

“Adib, Jess, apa yang korang buat kat sini? Semua orang dah mula buat kerja.” Eshal hairan melihat mereka berdua berdiri berhampiran dataran masjid tetapi tidak membuat apa-apa kerja.

“Aku dah berusaha sehabis baik untuk sampai lebih awal tapi amoi ni langgar aku tadi. Lepas tu, nak bertekak pula dengan aku,” jelas Adib kepada Eshal.

“Hei, Encik KL. Cakap baik-baik sikit ya. Kau yang provok aku. Siapa suruh kau guna perkataan yang sensitif? Lepas tu, kau tak percaya apa yang aku cakap. Jadi, jangan nak salahkan aku.” Jessica segera membidas tuduhan yang dilemparkan oleh Adib.

“Apa yang Adib cakap pada kau, Jess?” tanya Eshal. Dia ingin tahu punca perang mulut antara mereka berdua.

“Encik KL ni panggil aku amoi,” kata Jessica dengan wajah geram.

“Oh, patutlah. Kau ni pun satu Adib. Yang kau pergi panggil Jess ni amoi kenapa? Dia memang sensitif kalau ada orang yang panggil dia amoi. Dia ni bumiputera Sabah walaupun tak tahu bertutur dalam bahasa ibunda sendiri,” jelas Eshal kepada Adib sambil tergelak. Sudah banyak kali Jessica sering disalah anggap sebagai orang Cina dari Semenanjung.  
   
“Manalah aku tahu, Eshal. Aku baru je jumpa dia tadi. Kalau aku tahu, tak adalah aku guna perkataan yang dia tak suka. Lagipun dia…” Belum sempat Adib menghabiskan ayatnya, mereka dikejutkan dengan bunyi nada dering telefon Eshal.

“Sekejap ya, aku nak jawab call.” Eshal bergerak menjauhi mereka berdua sebelum menjawab panggilan tersebut.

Jessica memulakan bicara setelah Eshal pergi menjawab panggilan. Dia ingin melihat reaksi Adib apabila mengetahui tentang statusnya.

“Macam mana sekarang ni? Kau percaya tak apa yang aku cakap?” tanya Jessica kepada Adib.

Okaylah. Aku percaya apa yang kau cakap. Maaf kalau aku berkasar dengan kau tadi.” Adib memohon maaf atas kata-katanya yang kasar tadi.

“Muka aku ni nampak macam penipu ke sampai kau kena dengar daripada orang lain baru nak percaya?” Jessica masih tidak berpuas hati dengan Adib walaupun Adib telah meminta maaf.

“Eh, tak. Bukan macam tu. Aku nak cepat tadi. Lepas tu, bertembung pula dengan kau. Biasalah emosi tengah tak stabil sebab rushing nak ke dataran masjid. Sorry sangat-sangat.”

            Belum sempat Jessica meneruskan bicaranya, Eshal menuju ke arah mereka dengan wajah yang tertekan.

            “Eshal, boleh aku tahu apa tugas aku?” tanya Jessica. Dia tidak mahu membazir masa lagi dan ingin segera memulakan tugasan.

            “Kau dan Adib ditugaskan untuk goreng ikan masin,” jawab Eshal.

            “Aku dengan dia berdua je?” Jessica bertanya untuk meminta kepastian.

            “Yalah. Hanya kau dan dia akan goreng ikan masin. Setakat goreng ikan masin, buat apa aku nak letak ramai ahli dalam satu pasukan. Kalau ramai-ramai pun, bukan semua akan buat kerja.”

            “Semua barang dah sedia ke? Tak awal sangat ke untuk goreng ikan masin sekarang ni?” tanya Adib.

            “Peralatan memasak dan minyak masak dah ada tapi ada satu masalah. Orang yang sepatutnya bawa ikan masin ke sini ada emergency. Adik dia kemalangan dan ada kat ICU. Dia ada di Hospital Melaka sekarang dan aku tak rasa dia dalam keadaan yang stabil untuk drive ke sini. Jadi, aku yang kena pergi ambil ikan masin tu. Korang tolonglah orang lain sementara aku keluar.”

            “Kalau macam tu, biar kitaorang yang pergi ambil ikan masin tu. Lagipun kau kena monitor budak-budak lain buat kerja. Awal lagi untuk goreng ikan masin tu. Kalau ada barang-barang lain yang kena beli atau ambil, kau beritahu jelah.” Adib kasihan melihat Eshal yang terpaksa mengambilalih tugas orang lain kerana hal yang tidak dapat dielakkan.

            “Eh, Encik KL. Kenapa kau buat keputusan tanpa bincang dengan aku? Kita kan satu pasukan.” Jessica tidak berpuas hati kerana Adib tidak meminta pendapatnya.

            “Korang berdua ni asyik nak bergaduh je? Kita dah tak ada masa ni. Korang nak pergi ke tak ni?” Geram pula Eshal dengan sikap Adib dan Jessica.

            “Okay, kitaorang pergi ambil ikan masin tu. Kau jangan nak gembira sangat, Encik KL. Aku setuju ni sebab nak tolong Eshal je.” Jessica risau Adib akan salah faham dengan persetujuannya lalu dia menyatakan sebab dia bersetuju.

            “Tak kisahlah kau setuju sebab apa atau siapa. Yang penting kerja kita siap. Jadi, kitaorang nak kena ambil ikan masin tu kat mana?” Adib meminta maklumat yang lebih terperinci tentang tugasan mereka.

            “Korang pergi ambil di Hospital Melaka. Epul tu dah on the way ke sini masa dia tahu adik dia kemalangan. Semua ikan masin tu ada dalam kereta dia. Nanti aku hantarkan nombor dia pada korang. Tadi aku beritahu dia aku yang akan pergi ambil. Jadi, aku akan Whatsapp dia untuk beritahu yang korang akan pergi sana,” jelas Eshal dengan panjang lebar.

            “Baiklah. Nanti kitaorang telefon dia bila dah nak sampai ke Hospital Melaka. Ada apa-apa lagi tak?” Adib melihat Jessica yang hanya memandang dia yang sedang bercakap dengan Eshal.

            “Sekejap. Aku pergi tanya pengarah program,” kata Eshal.

            Adib dan Jessica hanya diam sementara menunggu Eshal. Adib ingin berbual dengan Jessica tetapi apabila dia melihat Jessica sibuk dengan telefon pintarnya, dia membatalkan hasratnya.

            Tidak lama kemudian, Eshal kembali dengan sehelai kertas di tangannya.

            “Aku dah bincang dengan pengarah program. Ni senarai barang yang tak cukup. Rasanya aku dah kira betul-betul masa beli tu. Macam-macam masalah pula yang timbul. Korang tolong beli boleh? Tapi cepat sikit sebab kita nak siapkan semua bahan-bahan petang ni. Malam nanti kita cuma masak je.”

            “Okay, tak ada masalah,” jawab Adib dan Jessica serentak.

*Terima kasih kerana meluangkan masa anda untuk membaca karya saya. Saya harap anda dapat memberikan komen yang membina agar saya dapat meningkatkan lagi mutu penulisan saya. Jangan lupa untuk terus mengikuti kisah Adib dan Jessica. 

Comments