Selamat Bersara, Datuk Lee Chong Wei

Pada 13 Jun 2019, kita dikejutkan dengan berita persaraan jaguh badminton negara, iaitu Datuk Lee Chong Wei. Selama 19 tahun berkecimpung dalam arena badminton, begitu banyak sumbangan beliau kepada pencapaian sukan di Malaysia.

Antara sumbangan Datuk Lee Chong Wei adalah tiga pingat perak dalam Sukan Olimpik. Beliau sering menjadi harapan peminat sukan tanah air bagi membawa pulang pingat kemenangan dalam mana-mana kejohanan. Beliau juga dikenali oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama. Hal ini dapat dibuktikan melalui kutipan filem Lee Chong Wei yang menjadikan filem mengenai kisah kehidupan Lee Chong Wei itu sebagai salah satu filem Box Office Malaysia bagi tahun 2018. Saya antara rakyat Malaysia yang pergi menonton filem tersebut dan memang terinspirasi dengan usaha dan susah payah beliau sebelum dapat menjadi seorang pemain badminton yang berjaya.

Selain itu, Datuk Lee Chong Wei terkenal di seluruh dunia kerana pencapaian yang menakjubkan dalam sukan badminton. Beliau pernah menjadi pemain ranking no.1 dunia dan merupakan pemain badminton paling lama memegang ranking pertama tersebut.

Sebagai seorang peminat Datuk Lee Chong Wei, memang amat sedih apabila beliau harus melupakan hasrat untuk menyertai Sukan Olimpik 2020 dan tidak dapat meneruskan misi untuk meraih pingat emas olimpik pertama bagi Malaysia. Namun, apa yang lebih penting adalah kesihatan beliau. Beliau dinasihatkan oleh doktor untuk berehat bagi mengelakkan kanser hidung yang dihidapinya menyerang kembali.

Sememangnya sumbangan dan jasa Datuk Lee Chong Wei terhadap sukan negara kita begitu besar dan tidak terbalas. Hanya ucapan terima kasih dan doa yang mampu kita semua berikan kepada beliau.

Selamat bersara, Datuk Lee Chong Wei. Semoga terus diberikan kesihatan yang baik dan berjaya dalam apa-apa bidang yang diceburi selepas ini.

Comments

  1. Memang sedih sgt...seorg yg humble dan baik...xde pengganti dh...btw sy dh masukkan blog saudari jannah ke bloglist sy . 😀

    ReplyDelete
    Replies
    1. Betul tu, bukan senang nak cari pengganti beliau. Terima kasih sudi masukkan blog ni dalam bloglist😊.

      Delete
  2. Replies
    1. Tak sangka Datuk Lee Chong Wei dah bersara. Tiba-tiba je beliau umumkan tentang persaraan.

      Delete

Post a Comment