Tempat Untuk Dilawati Di Pahang: Muzium Sungai Lembing

Memandangkan saya masih dalam cuti semester sekarang ni, jadi saya mengambil peluang ini untuk berjalan-jalan di sekitar negeri Pahang bersama keluarga. Destinasi pertama pilihan kami ialah Muzium Sungai Lembing. Untuk pengetahuan anda, Sungai Lembing terkenal dengan perlombongan bijih timah.

Perjalanan kami mengambil masa lebih kurang 2 jam. Ketika perjalanan ke Muzium Sungai Lembing, kami melalui perkampungan Felda Panching, Air Terjun Sungai Pandan/Air Terjun Pelangi dan Gua Charas. Namun, kami tidak berkesempatan untuk ke Air Terjun Sungai Pandan kerana kesuntukan masa. 

Kami ke sana pada hari Jumaat. Kami bernasib baik kerana kami sampai di Muzium Sungai Lembing pada pukul 2 lebih, selepas waktu rehat bagi sembahyang Jumaat. Muzium ini beroperasi setiap hari kecuali semasa Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha dari pukul 9 pagi hingga 5 petang. Pada hari Jumaat, terdapat waktu rehat yang panjang untuk sembahyang Jumaat. Mari lihat pagar untuk masuk ke muzium tersebut. Bagi yang ingin berkunjung ke sana, anda perlu meletakkan kenderaan anda di luar kerana kenderaan pelawat tidak boleh masuk ke dalam. Tiada bayaran dikenakan untuk parkir kenderaan.

Pagar untuk masuk ke Muzium Sungai Lembing

Sebelum kami masuk ke dalam muzium, kami harus membayar tiket. Tiketnya sungguh murah dan mampu milik. Terdapat harga yang berbeza untuk warganegara Malaysia dan bukan warganegara. Bagi orang dewasa (13 tahun dan ke atas) warganegara Malaysia, tiket masuk adalah RM 2.00 sahaja. Warga emas pula dikenakan bayaran sebanyak RM 1.00 manakala kanak-kanak boleh masuk secara percuma. Bagi guru-guru yang ingin membawa murid-murid ke sini, jangan risau dengan tiket masuk kerana ada diskaun bagi murid dengan uniform sekolah.

Muzium Sungai Lembing

Untuk sampai ke pintu masuk muzium dari pintu pagar utama, pengunjung perlu melalui jalan yang berbukit. Apabila anda melihat bangunan seperti yang terdapat dalam gambar di atas, ini bermakna anda telah sampai ke Muzium Sungai Lembing. Muzium tersebut mempunyai dua tingkat.

Terdapat pelbagi maklumat tentang perlombongan bijih timah di Sungai Lembing boleh didapatkan daripada muzium tersebut. Apa yang boleh saya katakan ialah muzium tersebut sangat informatif. Sesiapa yang minat sejarah pasti suka datang ke sini. Namun, tidak tahu kenapa tidak begitu banyak orang yang ke sini. Semasa saya sampai ke muzium tersebut, hanya terdapat satu atau dua kereta sahaja. Mungkin kerana kedudukannya yang agak jauh dari bandar Kuantan dan ramai tidak meyedari kewujudan muzium tersebut. 

Sebenarnya ini bukan pertama kali saya ke Muzium Sungai Lembing. Saya pernah ke sana semasa zaman persekolahan. Cuma bezanya kali ini saya tidak masuk ke terowong bijih timah yang terletak berhampiran dengan muzium tersebut. Sesiapa yang pernah ke Muzium Sungai Lembing atau masuk ke terowong bijih timah, bolehlah kongsikan pengalaman anda di ruangan komen.

Sekian sahaja entri kali ini. Jumpa lagi.

Comments

  1. ๐Ÿ‘๐Ÿ‘๐Ÿ‘

    ReplyDelete
  2. Byk tinggalan sejarah disitu...tq info

    ReplyDelete
    Replies
    1. Welcome๐Ÿ˜Š. Semoga dengan perkongsian ini lebih ramai akan mengetahui kewujudan Muzium Sungai Lembing.

      Delete

Post a Comment