E-NOVEL: Kan Kutunggu Kau Kembali Bab 4

Setelah hampir sebulan saya tidak update tentang e-novel, hari ini saya akan kongsikan bab 4 untuk e-novel Kan Kutunggu Kau Kembali. Buat yang perlu baca bab-bab lain, boleh pergi ke E-Karya untuk baca. Sebenarnya, bukan tak sempat menulis tapi tak sempat nak semak balik bab yang telah ditulis. Seperti yang saya janjikan, dalam bab 4, anda akan dapat mengenali ahli keluarga Eshal. Agak-agaknya, serapat manakah hubungan Aqil dan keluarga Eshal? Kalau nak tahu, kenalah baca. Selamat membaca.

E-NOVEL: Kan Kutunggu Kau Kembali

Aqil bersiap-siap untuk ke Temerloh, Pahang untuk berjumpa dengan ibu Eshal. Dia ingin memberitahu tentang pemergiannya ke UK. Dia merasakan bahawa lebih baik dia memberitahu ibu terlebih dahulu sebelum memberitahu Eshal. Dia menghubungi Puan Aqilah terlebih dahulu sebelum memulakan perjalanan.

“Hello, ibu. Qil baru nak bertolak ni. Mungkin dalam pukul 12 nanti Qil sampai Temerloh,” beritahu Aqil kepada Puan Aqilah.

“Baiklah. Bawa kereta baik-baik. Jangan terburu-buru nak sampai ke sini,” pesan Puan Aqilah kepada anak angkatnya itu.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Puan Aqilah tertanya-tanya tujuan Aqil ingin berjumpanya seorang diri. Kebiasaannya dia akan datang bersama Eshal. Tak akan Aqil ingin meminang Eshal, ujarnya di dalam hati. Dia pergi ke dapur untuk menyediakan sedikit hidangan untuk Aqil.

Eliana yang baru pulang daripada kedai runcit berasa hairan apabila melihat ibunya sibuk memasak hidangan yang istimewa. Hal ini kerana, ibunya hanya akan memasak hidangan sebegitu jika ada majlis tertentu atau ada tetamu istimewa yang ingin berkunjung ke rumah mereka.

“Ibu, Lia dah balik. Kenapa ibu masak macam-macam ni? Kak Shal nak balik ke hari ni?”tanya Eliana.

“Bukan Kak Shal yang balik tapi Abang Aqil nak datang. Katanya ada hal penting nak diberitahu.”

“Jangan-jangan Abang Aqil nak kahwin dengan Kak Shal. Lia dah cakap dengan ibu dulu yang lelaki dan perempuan tak boleh jadi kawan baik. Bestnya nak dapat abang ipar.”

“Pandai-pandai je kamu ni buat andaian. Tapi ibu suka kalau Aqil tu jadi menantu ibu. Dah lah lebih baik kamu tolong ibu masak. Takut makanan tak siap lagi bila dia sampai nanti.”

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
“Assalamualaikum,” ucap Aqil apabila dia tiba di hadapan rumah Puan Aqilah. Eliana yang terdengar seseorang memberi salam terus bergegas untuk membuka pintu.

“Waalaikumussalam. Eh, Abang Aqil rupanya. Jemputlah masuk. Ibu ada kat dapur. Sibuk buat persiapan sebab abang nak datang,” kata Eliana sambil tersenyum.

“Ya ke? Abang rasa macam menyusahkan ibu pula,” balas Aqil lalu dia menuju ke dapur untuk mencari Puan Aqilah. Dia memang sudah mahir dengan selok-belok rumah Eshal kerana setiap tahun pasti dia akan beraya bersama keluarga Eshal.

Puan Aqilah yang sibuk menghidangkan makanan tidak menyedari bahawa Aqil sedang memerhatikannya. Dia sungguh kelam-kabut untuk membuat persiapan. Dia berasa tidak senang jika tidak membuat persiapan yang baik apabila ada tetamu yang ingin berkunjung ke rumahnya.

“Ibu, kenapa masak banyak sangat ni?” tanya Aqil.

“Kamu ni Aqil, buat terkejut ibu je. Anak angkat kesayangan ibu nak datang, jadi ibu masaklah special sikit. Marilah makan dulu. Lepas siap makan, baru kita bincang,” kata Puan Aqilah.

Aqil yang sememangnya merindui masakan Puan Aqilah terus mengambil tempat duduk. Puan Aqilah duduk bertentangan dengan Aqil manakala Eliana pula duduk di sebelahnya. Sememangnya Aqil mempunyai tempat duduk yang tersendiri di meja makan rumah tersebut seolah-olah dia merupakan ahli keluarga mereka. Jika Eshal juga ada bersama, pasti gadis itu akan duduk di sebelahnya.

“Abang Aqil, kenapa Kak Shal tak balik sekali? Tak akan dia kerja masa weekend?” tanya Eliana.

           “Sebenarnya, Kak Shal tak tahu pun abang datang sini. Kalau boleh, ibu dan Lia jangan beritahu Shal. Nanti abang cerita tujuan abang datang ke sini. Lia, lama ke cuti semester?”

           “Lama juga, dalam dua bulan. Jadi, Lia duduk rumah je masa cuti ni.”

           “Tak nak cari kerja part time ke?”

          “Lia ni asyik melayan drama Korea saja kalau balik ke rumah. Ibu pun tak tahulah apa yang best sangat dengan drama tu,” kata ibu.

“Ibu kena tengok dulu drama tu, baru ibu tahu best ke tak.”

“Kalau ibu asyik melayan drama tu, memang tak makan lah kamu kat rumah ni.” Aqil dan Eliana tergelak apabila mendengar kata-kata Puan Aqilah.

Ketika mereka rancak berbual, kedengaran ada Whatsapp yang baru diterima oleh Aqil.

Qil, kau buat apa weekend ni? Aku bosan lah. Jom keluar tengok wayang.-Eshal BFF
Sorry, Shal. Aku tak free hari ni. Esoklah kita keluar.-Aqil BFF
Ok.-Eshal BFF

Setelah membalas Whatsapp daripada Eshal, Aqil menyambung perbulannya bersama Puan Aqilah dan Eliana.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Selepas makan, Aqil ke ruang tamu untuk berehat sementara menunggu Puan Aqilah dan Eliana mengemas meja makan. Dia melihat potret keluarga yang diletakkan berhampiran dengan rak yang menempatkan trofi kemenangan Eshal dan Eliana dalam pelbagai pertandingan. Dia teringat ketika pertama kali dia mengikut Eshal pulang ke kampungnya, Eshal begitu teruja menceritakan kisah di sebalik setiap trofi kemenangannya.

Agak-agaknya dapatkah aku jejakkan kaki ke rumah ni lagi lepas Eshal tahu perkara yang sebenar? Mungkinkah ini kali terakhir aku ke sini? Aku harap jawapannya tidak, Shal. Kau dan keluarga kau sahajalah keluarga yang aku ada. 

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
“Ibu, cepatlah sikit kemas meja tu. Lia tak sabar nak tahu perkara yang Abang Aqil nak beritahu.”

“Kamu ni Lia, cuba bawa bersabar sikit. Kalau mulut kamu saja yang bergerak tapi tangan tu duduk diam saja, memang lambat lagilah kita nak siap kemaskan meja ni.”

“Baiklah, ibu. Lia lebihkan pergerakan tangan dan kaki daripada mulut,” kata Eliana sambil membawa pinggan kotor ke sinki untuk dibasuh. Dia cuba membasuh pinggan tersebut secepat mungkin kerana hatinya tidak tenteram sekali tidak mengetahui apa yang ingin diberitahu oleh Aqil.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Usai mengemas, Puan Aqilah dan Eliana terus menuju ke ruang tamu untuk mendengar perkara yang ingin disampaikan oleh Aqil. Apabila semua sudah mengambil tempat, Aqil memulakan bicara.

“Ibu, Lia, tujuan Qil datang ni untuk beritahu yang Qil…” Belum sempat Aqil menghabiskan ayatnya, Eliana sudah menyampuk.

“Lia tahu. Abang Aqil dengan Kak Shal nak kahwin, kan?” tanya Eliana dengan muka teruja. Dia sangat gembira jika kakaknya berkahwin dengan Aqil kerana dia tahu yang Aqil amat menyayangi kakaknya dan akan menjaganya dengan sebaik mungkin. Sudah lama dia mengimpikan Abang Aqil untuk menjadi abang iparnya. Nampaknya impian Eliana yang disangka bakal menjadi kenyataan musnah dengan jawapan yang diberikan oleh Aqil.

“Eh, bukan. Abang dengan Kak Shal BFF saja. Sebenarnya, abang dinaikkan pangkat.”

“Baguslah kalau macam tu. Tapi kenapa muka abang macam sedih saja?,” tanya Eliana. Dia hairan melihat wajah muram Aqil. Bukankah kenaikan pangkat adalah perkara yang diinginkan oleh setiap pekerja?

“Betul, berita kenaikan pangkat merupakan berita yang baik. Cuma masalahnya abang kena berpindah ke UK sebab ada cawangan baru bakal dibuka di sana. Tapi abang masih belum beritahu Kak Shal sebab abang risau dengan reaksi dia nanti. Jadi, abang datang ni sebab nak beritahu ibu dulu.”

“Qil, ibu rasa lebih baik kamu beritahu Shal secepat mungkin. Ibu tak nak dia tahu daripada orang lain. Ibu kenal dengan anak ibu tu. Kalau dia merajuk dan terasa dengan kamu, memang susah nak dipujuk. Ibu takut dia terasa hati sebab kamu tak bincang dengan dia dulu.”

“Qil nak beritahu dia, bu. Tapi Qil tak tahu nak mula macam mana. Kami berdua dah lama jadi kawan baik sejak universiti lagi. Jadi, Qil rasa berat hati sebenarnya untuk tinggalkan Shal kat sini.”

“Betul kata ibu tu, bang. Lia pun rasa abang kena cepat selesaikan hal ni dengan Kak Shal.”

“Nanti Qil akan cari masa yang sesuai untuk beritahu Shal. Qil sudah cuba beberapa kali untuk beritahu Shal. Tapi setiap kali Qil tengok wajah dia ceria, Qil tak sampai hati nak sampaikan berita ni,” terang Aqil kepada Puan Aqilah dan Eliana.

“Ibu faham apa yang Qil rasa sekarang ni. Bukan senang nak berpisah setelah bertahun-tahun kamu berdua selalu menghabiskan masa bersama. Ibu yakin Shal mesti dapat terima kalau Qil beritahu dia dari awal.”

“Rasanya Qil kena balik dulu, bu. Esok nak keluar jumpa Shal. Kalau Qil free nanti, Qil datang sini lagi. Lia, jaga ibu baik-baik ya. Kalau ada apa-apa masalah, telefon je abang.”

“Yalah, Qil. Ibu selalu doakan yang terbaik untuk kamu berdua.”

“Abang jangan risau. Lia akan pastikan ibu dijaga dengan baik,” kata Eliana sambil tersenyum. Sungguh prihatin Aqil terhadap keluarga Eshal.

Puan Aqilah dan Eliana menghantar Aqil sehingga ke kereta. Eliana melambai-lambai kepada Aqil sehingga kereta Honda City milik Aqil sudah tidak kelihatan. 


*Terima kasih buat yang sudi membaca karya saya. Jadi, macam mana bab 4 ni? Ada apa-apa cadangan atau penambahbaikan yang boleh dibuat? Jangan lupa tinggalkan komen di bawah. Agak-agaknya Aqil akan beritahu Eshal tak lepas balik dari kampung? Kalau anda berada dalam situasi seperti Aqil, apa yang akan anda lakukan? Berterus terang atau simpan selagi boleh?

Comments