E-NOVEL: Kan Kutunggu Kau Kembali Teaser 1

Hai semua. Rasanya lama dah saya tak update novel di blog ni. Untuk yang belum pernah baca, boleh baca di E-Karya. Hari ni saya nak kongsikan sedikit teaser untuk novel Kan Kutunggu Kau Kembali.

Dalam bab-bab yang saya dah kongsikan sebelum ni, semuanya tertumpu kepada kisah watak utama, iaitu Eshal dan Aqil. Namun, hari ini saya akan perkenalkan lebih mendalam tentang Rania, rakan sekerja Eshal. Saya tak letak cover novel untuk entri ni sebab saya nak design semula. Kalau dah siap nanti, saya akan letakkan. Selamat membaca.


            “Sayang, I betul-betul minta maaf. I bukan sengaja nak datang lewat.” Kedengaran suara Rania yang agak terketar-ketar meminta maaf atas kelewatannya.

            “You pergi mana, Rania? Kita dah janji nak makan malam pukul 8 malam. You tahu tak sekarang ni pukul berapa? Sekarang ni dah pukul 8.30 malam. You bukan lewat 10 atau 15 minit tapi you lewat 30 minit.” Haziq cuba mengawal nada suaranya dan perasaan marah yang membuak-buak dalam hati. Dia tidak mahu pelanggan lain mendengar perbualan mereka. Jelas kelihatan riak kekecewaan di wajahnya.

I betul-betul tak sengaja, sayang. Ada beberapa perkara yang I kena selesaikan di pejabat hari ni. I dah cuba yang terbaik untuk habiskan kerja awal tapi tiba-tiba I dapat tugasan tambahan secara mengejut dan I kena selesaikan hari ni juga. I rushing datang sini lepas selesaikan semua kerja tu. Dari office terus datang sini tahu tak. Tak ada singgah mana-mana pun.” Rania cuba memberikan penjelasan dan mempertahankan dirinya.

I tahu you sibuk. Lagipun sekarang ni you ada dua bos untuk dijaga. Tapi you tahu tak betapa susahnya untuk I aturkan makan malam kita hari ni. Bukan senang family I nak luangkan masa untuk benda-benda macam ni. I memang betul-betul bersyukur apabila diaorang setuju. Tapi you dah rosakkan semuanya. I tak tahu sama ada akan ada next time ataupun tak. I betul-betul kecewa dengan you. Takkanlah I seorang je yang kena usaha untuk hubungan kita ni.” Haziq meluahkan segala yang terbuku dalam hatinya. Usahanya untuk mengeratkan lagi hubungan Rania dah ahli keluarganya gagal kerana kelewatan Rania.

Rania yang mendengar kata-kata Haziq menitiskan air mata tanpa dia sedari. Begitu sakit rasanya apabila Haziq seolah-olah meletakkan 100% kesalahan di atas bahunya. Kata-kata maaf dan penjelasan yang diberikan umpama tidak bermakna apa-apa buat Haziq.

“Maksudnya you nak cakap yang I ni punca keluarga you balik awal? You nak kata yang I hancurkan rancangan you untuk dekatkan I dengan keluarga you? You nak kata yang I tak letak effort dalam hubungan kita? Macam tu ke, Haziq?”

“Bukan macam tu, Rania. I cuma kecewa sebab I memang sangat berharap yang makan malam ni boleh beri kesan yang positif untuk kita semua. Tapi sekarang ni, keadaan bukan jadi semakin baik malah semakin teruk.” Haziq cuba membetulkan keadaan apabila dia menyedari bahawa Rania sudah salah faham dengan kenyataan yang dia berikan.

“Tak apalah, Haziq.” Perkataan ‘sayang’ sudah ‘hilang’ dari bibir Rania. Tidak guna lagi dia menggunakan perkataan itu untuk orang yang sudah melukakan hatinya sebegitu. “I rasa lebih baik kita berdua balik dulu. I tak rasa emosi kita stabil untuk berbincang. Kita jumpa lain kali. I balik dulu.” Rania terus bangun dan menuju ke pintu keluar restoran dengan air mata yang masih mengalir. 


Haziq hanya melihat Rania melangkah pergi. Dia ingin mengejar Rania tetapi hati kecilnya mengatakan bahawa dia harus membiarkan Rania bertenang terlebih dahulu. 


*Terima kasih buat yang sudi membaca karya saya. Anda rasa kenapa keluarga Haziq terus balik sebelum makan malam? Agak-agaknya Rania dengan Haziq berbaik semula ke tak? Tinggalkan komen di bawah. Kalau ada apa-apa cadangan, jangan segan untuk beritahu di ruangan komen.

Comments