Persediaan Untuk Belajar Di Universiti

Melangkah ke alam universiti umpama melangkah ke fasa baru dalam kehidupan. Banyak persediaan yang harus dilakukan sebelum anda belajar di universiti. Persediaan ini dapat dibahagikan kepada beberapa kategori. Jom kita lihat.

1. Kewangan
Duit bukan segala-galanya tetapi banyak perkara memerlukan duit termasuklah untuk belajar di universiti. Duit yang anda wajib ada adalah duit untuk membayar yuran pendaftaran, yuran hostel (asrama) dan yuran pengajian.  Duit belanja untuk makan minum juga perlu diambil kira dalam mengatur perbelanjaan.

Ada sesetengan pelajar yang terpaksa ikat perut kerana elaun lambat masuk atau duit habis disebabkan perbelanjaan untuk tugasan yang diberikan oleh pensyarah. Buku-buku teks juga adalah mahal dan bukannya percuma seperti di sekolah. Ramai yang tidak dapat menyambung pelajaran ke universiti walaupun mendapat keputusan yang cemerlang kerana faktor kewangan. Jadi, pastikan anda ada sedikit simpanan untuk menampung perbelanjaan di universiti kelak.


2. Borang dan dokumen yang berkaitan
Untuk melancarkan proses pendaftaran di universiti, pastikan anda melengkapkan borang dan menyediakan dokumen yang diperlukan. Pastikan anda betul-betul membaca panduan yang diberikan oleh pihak universiti. Jangan bergantung kepada pengalaman orang lain sahaja kerana peraturan dan proses pendaftaran mungkin sedikit berbeza di universiti yang berbeza atau pada tahun yang berbeza.

Bagi salinan dokumen seperti kad pengenalan dan sijil lahir, pastikan anda mendapatkan pengesahan daripada pihak yang sepatutnya. Letakkan dokumen dan borang yang diminta oleh pihak universiti dalam satu fail dan terus masukkan ke dalam beg yang anda akan bawa semasa hari pendaftaran. Jangan lupa untuk bawa salinan asal dan fotokopi bersama anda. Hal ini untuk memudahkan urusan anda andai pihak universiti tiba-tiba meminta salinan tambahan. Tidak perlulah anda pulang ke kampung semata-mata untuk ambil salinan asal dokumen.


3. Barang keperluan
Kebanyakan pelajar mendapat tawaran belajar di universiti jauh dari rumah mereka. Jadi, banyak barang keperluan harus dibeli untuk dibawa ke hostel. Kebiasaannya tilam disediakan tetapi anda perlu membawa bantal sendiri ke hostel.

 Selain itu, sabun, ubat gigi, berus gigi dan baldi juga perlu dibawa. Sebagai pelajar baru di universiti, memang banyak barang keperluan yang anda perlu beli. Kalau anda mempunyai adik-beradik yang baru habis belajar di universiti, sebaik-baiknya guna semula sahaja barang keperluan tertentu seperti hanger, penyapu dan baldi. Dari segi harga, tak perlulah membeli barang keperluan yang terlalu mahal kerana tidak mustahil berlaku kes kecurian di hostel. Kenali dulu rakan-rakan hostel anda.


4. Mental
Selain daripada persediaan dari segi barang-barang, anda juga perlu bersedia dari segi mental. Belajar di universiti adalah lebih mencabar dari sekolah. Sesetengah orang mungkin melayan anda sebagai orang dewasa bukanlah sebagai pelajar yang baru saja habis SPM dan ingin mengenal dunia baru. Jika ada masalah dalam tugasan berkumpulan, anda harus menyelesaikan sendiri kerana sesetengah pensyarah tidak peduli dengan masalah dalaman kumpulan anda. Mereka lebih berminat dengan hasil kerja bagi tugasan yang diberikan. Jangan terkejut jika anda harus menyiapkan tugasan berkumpulan secara sendiri kerana ahli kumpulan lepas tangan.

Bagi pelajar yang merupakan kelompok minoriti pula, anda mungkin struggle untuk menyesuaikan diri dengan kelompok majoriti. Perlu diingatkan juga tugasan di sekolah tidak sama dengan universiti. Ada dateline dan format tertentu yang anda harus ikut. Jika di sekolah, kerja sekolah tidak akan menentukan gred anda untuk peperiksaan. Namun, tugasan di universiti adalah sebahagian daripada penilaian untuk gred sesuatu subjek. Walaupun subjek yang diambil adalah sedikit berbanding di sekolah, tahap kesukarannya lebih tinggi dan pelajar biasanya mempunyai masalah dari segi masa sehingga masa tidur dan makan terjejas.

Semoga perkongsian ini dapat membantu anda semua untuk membuat persediaan. Hargailah peluang untuk belajar di universiti dan berusaha sebaiknya kerana anda adalah antara orang yang bertuah.

Baca juga:
Hala Tuju Selepas SPM
Minat VS Peluang VS Kemampuan

Comments