EXPERIENCE: Belajar Bertutur Bahasa Inggeris Sehingga Fasih Part 1

Bertutur dalam bahasa Inggeris dan menulis dalam bahasa Inggeris adalah dua perkara berbeza. Tidak semestinya kita dapat A untuk subjek bahasa Inggeris, kita boleh bertutur bahasa Inggeris dengan fasih. Ada tak sesiapa antara anda yang ingin belajar bahasa Inggeris tapi tak tahu macam mana nak mula? Hari ini saya akan kongsikan pengalaman saya belajar bertutur bahasa Inggeris sehingga fasih.

Sebelum saya ceritakan langkah-langkah yang saya ambil untuk belajar bahasa Inggeris, saya akan ceritakan serba sedikit tentang latar belakang diri saya. Dari sekolah rendah hingga sekolah menengah, saya bersekolah di sekolah kebangsaan dan tinggal dalam komuniti yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa utama.

Jadi, bagaimana saya belajar bertutur dalam bahasa Inggeris sehingga fasih dan yakin di hadapan orang lain?

Sejujurnya, pertama kali saya betul-betul bertutur dalam bahasa Inggeris sepenuhnya adalah di universiti. Hal ini kerana, universiti saya menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama. Sama ada suka atau tidak, saya harus fasih dalam bahasa Inggeris.

Bagi saya, perkara yang paling penting adalah kita yakin untuk bertutur dalam bahasa Inggeris dengan orang lain. Abaikan dahulu aspek tatabahasa (grammar). Cuba bertutur dalam bahasa Inggeris dengan orang yang fasih berbahasa Inggeris ataupun orang yang sedang belajar bahasa Inggeris. Betul atau salah belakang cerita. Pastikan kita dapatkan keyakinan untuk bertutur dalam bahasa Inggeris terlebih dahulu.

Untuk permulaan, saya bertutur dalam bahasa Inggeris dengan ayat-ayat yang mudah. Memandangkan saya berada dalam semester pertama di universiti, saya mulakan dengan bertanya nama dan latar belakang rakan-rakan.

Selain itu, saya akan tonton filem/drama Inggeris dengan sari kata (subtitle) bahasa Melayu. Saya gunakan cara macam ni untuk tambah kosa kata (vocabulary). Walaupun bukan semua perkataan saya faham, tapi sekurang-kurangnya ada perkataan baru yang saya belajar. Harus diingat bahawa bahasa Inggeris juga ada bahasa tidak formal (bahasa pasar). Jadi, kita mungkin akan dengar ayat yang tidak digunakan dalam penulisan formal.

Bagi meningkatkan lagi keyakinan diri untuk bertutur dalam bahasa Inggeris, saya menggunakan bahasa Inggeris ketika Whatsapp atau berbual melalui telefon. Perbincangan mengenai assignment semuanya dalam bahasa Inggeris termasuklah perbincangan untuk keluar jalan-jalan. Kalau ada perkataan yang tidak difahami, saya akan cari maksudnya sebelum membalas mesej yang diterima.

Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk usaha anda belajar bahasa Inggeris. Mulakan dengan keyakinan terhadap kemampuan diri sendiri. Sekian sahaja perkongsian untuk part 1. Jumpa lagi dalam perkongsian seterusnya.

Comments

  1. Ya JR, yakin itu penting. Belasah ja cakap English selalu, lama-lama nanti akan improve ๐Ÿ˜Ž๐Ÿ‘๐Ÿป

    ReplyDelete

Post a Comment