Hakikat Kehidupan Pelajar Universiti

Ketika masih di alam persekolahan, ramai yang teruja untuk melanjutkan pelajaran ke universiti. Namun, suasana berbeza apabila mereka sudah menjadi seorang pelajar universiti. 

Kenapa ada yang tidak mampu bertahan sebagai pelajar universiti dan memilih untuk berhenti? Hal ini kerana, gambaran yang mereka dapat tentang kehidupan di universiti agak berbeza dengan realiti. Tiada yang sempurna di dunia ini, begitu juga dengan kehidupan sebagai pelajar universiti. 

1. Kawan baru

Gambaran masyarakat: Pelajar bakal mendapat ramai kawan baru yang terdiri daripada pelbagai latar belakang. Jadi, pelajar dapat lebih mengenali budaya dan cara hidup orang lain.

Realiti: Sesetengah pelajar mengalami masalah untuk mendapat kawan kerana menjadi golongan minoriti dan tidak dapat menyesuaikan diri dengan cara hidup orang lain. Sesetengah pelajar pula sudah mempunyai kumpulan mereka sendiri dan tidak terlalu bersosial dengan pelajar lain.


2. Banyak masa terluang

Gambaran masyarakat: Kelas di universiti tidak berterusan dari pagi ke tengah hari/petang seperti di sekolah. Oleh itu, pelajar boleh berehat ketika time gap antara kelas.

Realiti: Ada pelajar yang ada kelas secara berterusan sehingga tiada masa untuk makan. Time gap antara kelas digunakan untuk makan, menyiapkan tugasan, tidur (sebab pelajar univeristi tak cukup tidur) dan sebagainya. Jangan terkejut ada juga yang harus hadir ke kelas pada waktu malam. Kelas juga perlu diganti kerana cuti umum atau apabila terdapat topik yang masih belum habis diajar.


3. Perbelanjaan

Gambaran masyarakat: Pelajar universiti tidak perlu mengeluarkan perbelanjaan yang banyak kerana mereka tidak mempunyai banyak tanggungan dan tanggungjawab.

Realiti: Pelajar universiti adalah golongan yang memerlukan perbelanjaan yang tinggi tetapi tidak mempunyai sumber pendapatan tetap. Ada yang bergantung kepada ibu bapa, ada yang bergantung kepada duit biasiswa/pinjaman. Buku teks, komputer riba, kuota Internet, makanan, yuran pengajian, sewa tempat tinggal dan keperluan peribadi adalah perbelanjaan wajib. Itu belum termasuk kos mencetak tugasan dan kos pengangkutan.


4. Makan makanan mahal

Gambaran masyarakat: Pelajar universiti sering menghabiskan duit untuk keluar berjalan-jalan dan makan makanan mahal.

Realiti: Pelajar universiti selalu keluar berjalan-jalan selepas menyiapkan tugasan/habis peperiksaan. Orang lain hanya nampak saat pelajar universiti makan makanan mahal. Tapi orang lain tidak tahu sudah beberapa hari/minggu pelajar tersebut tidak makan secara teratur kerana sibuk menyiapkan tugasan. Makan roti/jajan/mi segera/makanan segera adalah perkara biasa ketika minggu yang sibuk. Untuk pengetahuan, pelajar universiti selalunya kongsi duit dengan rakan-rakan agar lebih jimat.


5. Pembelajaran di universiti

Gambaran masyarakat: Pembelajaran di universiti adalah lebih mudah kerana subjek yang diambil dalam setiap semester adalah lebih sedikit berbanding di sekolah.

Realiti: Tahap kesukaran satu subjek saja sudah sangat tinggi. Jadi, walaupun hanya mengambil 3-6 subjek sahaja setiap semester sudah sangat mencabar sebenarnya. Contoh yang paling mudah ialah final year project (fyp). FYP tanpa subjek-subjek lain pun sudah susah. Bayangkan bagaimana apabila pelajar universiti harus menyiapkan FYP, mengambil 4 subjek lain dan mencari tempat praktikal dalam waktu yang sama.


Kehidupan sebagai pelajar universiti memang tidak mudah. Namun, jangan fokus kepada perkara yang susah sahaja. Fikirkan tentang ilmu dan kemahiran yang ditawarkan oleh universiti. Kesusahan yang kita alami akan membawa kepada kesenangan pada masa akan datang.

Semoga semua pelajar universiti dapat melengkapkan pengajian dengan jayanya. Ingatlah pepatah "berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian".

*Entri ini ditulis berdasarkan pengalaman penulis. Pelajar di universiti dan bidang pengajian yang berbeza mungkin melalui pengalaman yang berbeza. Apa lagi gambaran yang anda pernah dengar tentang kehidupan di universiti tetapi realitinya berbeza apabila anda sudah berada di universiti? Boleh kongsikan di ruangan komen😊.

Comments

  1. Betul tu Jannah, perubahan ini memndewasakan kita. hehe

    ReplyDelete
    Replies
    1. Betul tu. Banyak pengalaman yang kita dapat di universiti.

      Delete
  2. Kadang-kadang rasa macam best jadi pelajar universiti sebab tengok macam semuanya senang dan mudah. Tapi realiti nya tiada siapa tahu.

    ReplyDelete
  3. Totally agree dengan tulisan jannah. Inilah reality budak uni. Bab makan tu, mmg tak menentu..kadang sempat makan roti je pun.😅

    ReplyDelete
    Replies
    1. Thank you😊. Betul lah tu. Kadang-kadang makan roti je.

      Delete

Post a Comment