Loghat Pahang Part 2

Hai semua. Semasa Segmen Brainstorming TWJ 2021, blogger Naim Abdullah telah mencadangkan agar saya berkongsi lebih banyak lagi perkataan dalam loghat Pahang. Sebelum ini, saya dah pernah kongsikan sedikit tentang loghat Pahang. Kiranya ni part 2 lah.

Terus-terang saya katakan yang saya ni bukan pakar dalam loghat Pahang. Bolehlah faham apabila orang cakap tapi tak tahu sangat nak buat ayat penuh dalam loghat Pahang😅. Jadi, saya akan kongsi berdasarkan pengetahuan saya yang terhad ni. 

Buat dek
Maksud: buat tak tahu je
Huraian: Selalu digunakan apabila malas nak fikir atau tak ambil peduli tentang sesuatu perkara.

Karang
Maksud: nanti/later
Huraian: Memang berbeza maksudnya dari bahasa Melayu standard. "Karang" ni selalunya digunakan apabila orang suruh kita buat sesuatu tapi kita nak buat nanti.

Gonyoh
Maksud: sental kuat-kuat
Huraian: Perkataan ni digunakan untuk situasi semasa membasuh baju.

Sokmo
Maksud: selalu/always
Huraian: Perkataan ni orang Terengganu dan Kelantan pun guna juga. 

Wan
Maksud: nenek
Huraian: Bukan semua orang panggil nenek mereka dengan gelaran "wan". Ada juga gelaran lain untuk nenek.

Kesot
Maksud: Beralih tempat sikit/move a little bit from your position
Huraian: Selalunya perkataan ini digunakan apabila kita nak suruh orang beralih tempat sedikit semasa sedang duduk di atas lantai. 

Kabor
Maksud: beritahu/tell
Huraian: Kadang-kadang disebut khabar. Maksudnya berbeza dari perkataan khabar dalam bahasa Melayu standard.

Gamaknya
Maksud: agaknya/probably
Huraian: Perkataan ini digunakan apabila kita tidak pasti tentang sesuatu perkara. Fungsi dia macam fungsi perkataan "kot" dalam ayat, iaitu untuk menunjukkan ketidakpastian.

Kepat
Maksud: Biarkan sesuatu dalam mulut dan hisap/kemam (lebih kurang macam ni lah)
Huraian: Biasanya merujuk kepada perbuatan membiarkan ubat/gula-gula di dalam mulut tanpa mengunyahnya.

Polok
Maksud: Sumbat dengan banyak 
Huraian: Kebiasaannya merujuk kepada yang gelojoh semasa makan dengan memasukkan begitu banyak makanan ke dalam mulut.

Entoh
Maksud: Tak tahu/don't know
Huraian: Digunakan apabila kita tak tahu jawapan kepada soalan yang ditanyakan. 

Pedo'oh/bedo'oh
Maksud: cakap menipu/lie
Huraian: Selalu digunakan untuk merujuk kepada perbuatan menipu ketika bercakap. Contohnya, cakap nak datang awal tapi datang lambat juga.

Lantak
Maksud: biar/ikut suka/let them be/up to you
Hurain: Perkataan ini sesuai untuk situasi di mana kita sudah malas ambil peduli tentang sesuatu/sesesorang. Contohnya, apabila seseorang tak dengar nasihat yang kita berikan.

Maaf jika anda sebarang kesilapan. Kalau ada informasi yang kurang tepat atau anda ada informasi tambahan, boleh nyatakan di ruangan komen. Saya pun masih belajar untuk memperbaiki loghat Pahang saya. Semoga perkongsian ini bermanfaat.

Comments

Post a Comment