Tips Memilih Rumah Sewa Untuk Pelajar Universiti

Memiliki tempat tinggal merupakan salah satu keperluan bagi seorang pelajar universiti. Tidak dapat dinafikan bahawa pelajar baru kebiasaannya tidak mempunyai masalah untuk mendapatkan tempat di hostel. Hal yang sebaliknya berlaku kepada pelajar senior. Ramai yang harus mencari tempat tinggal di luar kampus. Jadi, saya akan kongsikan tips memilih rumah sewa untuk pelajar universiti.

Untuk pengetahuan semua, rumah sewa yang selalunya disewa oleh pelajar universiti adalah rumah teres atau pangsapuri. Untuk rumah teres, selalunya pelajar harus berhubung secara langsung dengan pemilik rumah manakala untuk pangsapuri, pelajar mungkin harus berhubung dengan pihak pengurusan atau pemilik rumah.

1. Periksa jarak rumah sewa dengan kampus
Sebaik-baiknya pilih rumah sewa yang berdekatan dengan kampus. Kalau jaraknya sangat dekat, anda boleh berjalan kaki saja untuk ke kelas. Hal ini dapat menjimatkan kos pengangkutan. Kalau terbangun lewat sedikit pun, masih ada harapan anda dapat sampai ke kelas sebelum kelas tamat.

2. Periksa kelengkapan rumah yang disediakan
Sangat disarankan untuk sewa rumah yang fully furnished atau partially furnished . Walaupun sewanya mungkin mahal sedikit, tetapi anda dapat jimatkan duit untuk membeli kelengkapan rumah. Selain itu, anda dapat mengurangkan bilangan barang untuk dibawa pulang selepas tamat belajar.

3. Lihat keadaan rumah
Bagi memastikan anda tidak tertipu dengan gambar yang disiarkan dalam iklan, sila luangkan masa untuk melawat rumah yang bakal disewa. Sebaik-baiknya ajak rakan untuk menemani anda supaya keselamatan anda lebih terjamin dan mereka juga boleh memberikan pendapat. Selain itu, kalau ada rakan-rakan yang pernah menyewa di kawasan kejiranan yang sama, tanya pendapat mereka. Pastikan rumah dalam keadaan bersih dan selamat sebelum anda membuat keputusan untuk menyewanya.

4. Cari maklumat tentang pemilik rumah atau pihak pengurusan
Untuk memudahkan urusan anda semasa menyewa rumah, selidik terlebih dahulu tentang pemilik rumah atau pihak pengurusan. Pastikan mereka terbuka untuk sebarang rundingan dan bertimbang rasa. Pemilik atau pihak pengurusan yang menjaga kebajikan penyewa juga adalah satu kelebihan untuk anda.

5. Tanya tentang kemudahan tambahan yang disediakan
Selain daripada kelengkapan rumah seperti katil. almari dan meja belajar, Internet juga salah satu keperluan penting bagi pelajar universiti. Pastikan anda tanya sama ada WiFi disediakan ataupun tidak. Kemudahan tambahan lain adalah servis membersihkan rumah, pengutipan sampah dan penyelenggaraan.

6. Selidik tentang bakal jiran
Selidik sama ada bakal jiran anda adalah pelajar universiti, keluarga dengan anak-anak kecil, individu bujang yang bekerja dan sebagainya. Jika jiran anda adalah individu bujang yang bekerja, suasana mungkin sunyi dan tidak ramai orang. Jika jiran anda adalah keluarga dengan anak-anak kecil, suasana mungkin agak bising. 

7. Lihat tahap keselamatan rumah
Lihat sama ada kawasan kejiranan dilengkapi dengan pengawal keselamatan dan CCTV. Jangan lupa juga untuk periksa sama ada pintu dan tingkap rumah dalam keadaan baik. 

8. Nilai kadar sewa yang ditetapkan
Setelah anda lakukan tips pertama hingga tips ketujuh, nilai sama ada kadar sewa yang ditetapkan berbaloi dengan apa yang ditawarkan. Kadar sewa yang sudah termasuk WiFi dan bil (air dan elektrik) lebih bagus untuk mengelakkan anda harus bayar lebih sedangkan rakan serumah yang menggunakan air dan elektrik dengan lebih banyak. Di samping itu, pastikan kadar sewa sesuai dengan bajet anda sebagai seorang pelajar. 

Walaupun entri ini memfokuskan kepada pelajar universiti, individu yang baru dapat kerja dan ingin memilih rumah sewa pun boleh gunakan tips di atas. Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk semua.

Comments

  1. anak kak ana dua kali hilang deposit rumah sebab lepas bayar depo dapat keputusan kolej. Betul tu banyak faktor yang perlu di ambil kira dalam mencari rumah sewa untuk anak-anak ni.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ruginya. Tapi kalau tak bayar, risau tak dapat kolej pula kan.

      Delete
  2. Tetiba teringat pula zaman u mama dulu

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tak sengaja throwback kenangan lalu kan, Mamapp.

      Delete

Post a Comment