Bercuti Di Melaka | Panduan Untuk Melancong Ke Bandaraya Bersejarah

Tidak dapat dinafikan bahawa Melaka merupakan salah satu destinasi pelancongan yang popular di Malaysia. Bandaraya bersejarah itu sentiasa dipenuhi dengan pelancong dari dalam dan luar negara. Bagi yang ingin bercuti ke Melaka, TWJ telah menyediakan panduan untuk anda.

1. Sewa hotel berhampiran dengan/di bandar
Salah satu cabaran di Melaka khususnya, Bandar Hilir adalah kesesakan lalu lintas. Anda boleh tersangkut dalam kesesakan lalu lintas selama berjam-jam terutamanya semasa cuti umum, cuti sekolah dan hujung minggu. Bagi menjimatkan masa untuk sampai ke destinasi, sewa hotel yang berhampiran dengan bandar atau di tengah-tengah bandar. Jadi, anda boleh berjalan kaki saja untuk ke destinasi seperti Jonker Street dan A Famosa. 

2. Pilih masa dan hari yang sesuai
Cuba elakkan bercuti di Melaka semasa cuti sekolah, cuti umum dan hujung minggu. Sebaik-baiknya pilih hari orang bekerja (Isnin-Jumaat) kerana kurang orang dan pergerakan trafik lebih lancar. Selain itu, elakkan memandu pada waktu puncak, iaitu waktu orang keluar bekerja dan pulang dari kerja. 

3. Kurangkan penggunaan kereta (jalan kaki/gunakan pengangkutan awam)
Jika anda pergi ke Bandar Melaka pada hari yang sibuk, agak sukar untuk mendapatkan tempat letak kereta. Berjalan kaki/menaiki pengangkutan awam lebih mudah kerana tidak perlu mencari tempat untuk meletakkan kenderaan. Tapi kalau anda merancang untuk membeli banyak barang, lebih baik pandu kereta sendiri. Di samping itu, anda boleh letakkan kereta di suatu tempat dan berjalan kaki untuk ke kedai-kedai yang berhampiran. 

4. Bawa kad pelajar/kad pengenalan
Banyak tempat yang menawarkan potongan harga bagi pelajar universiti dan juga warga emas. Selain itu, harga tiket untuk warganegara dan bukan warganegara juga mungkin berbeza. Jadi, pastikan anda bawa bersama kad pelajar/kad pengenalan. 

5. Bawa shopping bag/beg plastik
Ketika penulis tinggal di Melaka, penggunaan beg plastik telah dikurangkan dan penulis sentiasa membawa shopping bag jika keluar membeli barang. Sesetengah tempat ada menyediakan beg kertas dan beg plastik yang mudah terbiodegradasi. Untuk lebih selamat, bawalah shopping bag bersama.

6. Semak status halal sesebuah kedai
Jika anda makan di pusat membeli-belah, biasanya mudah untuk mengetahui status halal sesebuah restoran kerana terdapat banyak restoran franchais seperti KFC, Boat Noodle dan Pizza Hut. Namun, jika anda berkunjung ke Jonker Street, terdapat banyak kedai tempatan yang anda mungkin tidak pernah tahu pun akan kewujudannya sebelum ini. Oleh itu, semak dahulu status halal sesebuah kedai sebelum membeli apa-apa makanan. 

7. Sediakan duit kecil
Untuk memudahkan anda membayar tiket untuk parkir kenderaan, sediakan duit kecil. Begitu juga bagi yang menaiki pengangkutan awam. 

Semoga panduan yang dikongsikan bermanfaat dan dapat membantu semasa percutian anda di Melaka.

*Panduan di atas ditulis berdasarkan pengalaman penulis ketika tinggal di Melaka. Perubahan mungkin berlaku dengan peredaran masa. 

Comments

  1. Bila la nak ke Melaka. Dulu masa kursus di Negeri Sembilan berangan nak ke Melaka terus. Disebabkan kekangan Masa, akhirnya keinginan tak tercapai. Harap satu hari nanti, sampailah jugak ke sana. 🙂

    ReplyDelete
    Replies
    1. Semoga ada rezeki untuk Kak Fiza untuk ke Melaka nanti.

      Delete
  2. teringin nak pergi melaka, tapi sampai skrg tak sampai sampai haha insyaAllah nanti sampai!

    ReplyDelete
    Replies
    1. Suatu hari nanti mesti sampai juga ke sana😊.

      Delete
  3. Nak pergi Melaka kalau boleh memang kena elakkan public holiday atau cuti sekolah.. Sesak ya amat tapi kalau pergi hari biasa ada kedai yang tak beroperasi..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kena semak dulu waktu operasi sebelum pergi supaya dapat pergi ke semua kedai yang diinginkan.

      Delete

Post a Comment