Perlu Ke Mohon Biasiswa/Pinjaman Pelajaran Untuk Sambung Belajar?

 Melanjutkan pelajaran ke universiti sememangnya memerlukan banyak persediaan. Salah satunya adalah persediaan dari segi kewangan untuk pembayaran yuran dan kos sara hidup selama di universiti. Persoalannya sekarang perlu ke anda memohon biasiswa/pinjaman pelajaran untuk sambung belajar ke universiti? Jadi, mari kita lihat faktor-faktor yang perlu diambil kira sebelum anda membuat keputusan.

Faktor pertama yang perlu diambil kira adalah latar belakang kewangan keluarga. Berdasarkan jumlah pendapatan keluarga, anda boleh tahu sama ada keluarga anda dari kategori B40, M40 atau T20. Kalau keluarga anda mampu untuk membiayai pengajian anda, tiada keperluan untuk memohon biasiswa/pinjaman pelajaran (beri peluang kepada yang lebih memerlukan). Bagi yang berasal dari keluarga yang kurang berkemampuan, bolehlah cuba untuk mohon biasiswa/pinjaman pelajaran. 

Selain itu, lihat kelayakan untuk memohon. Proses untuk mendapatkan biasiswa/pinjaman pelajaran bukanlah mudah. Sebelum membuat permohonan, semak dahulu kelayakan anda untuk memohon. Kriteria kelayakan yang sering digunakan adalah keputusan peperiksaan, pendapatan keluarga, umur dan sebagainya. 

Di samping itu, kursus yang ingin dipilih juga perlu diambil kira sebelum membuat permohonan. Sesetengah penaja/pemberi pinjaman hanya memberikan bantuan kewangan untuk kursus tertentu dan universiti tertentu. Jika anda mendapat biasiswa/pinjaman pelajaran, pilihan kursus dan universiti agak terhad berbanding mereka yang membiayai pengajian secara sendiri.

Faktor yang terakhir dan yang paling penting adalah kesediaan anda untuk membayar semula bantuan kewangan yang diberikan. Biasiswa biasanya memerlukan pelajar untuk bekerja dengan sesuatu organisasi untuk tempoh masa tertentu. Pinjaman pelajaran pula selalunya memerlukan pelajar membayar semula pinjaman yang telah diberikan. Bagi pinjaman boleh ubah, biasanya pelajar bebas untuk memilih sama ada ingin berkhidmat untuk organisasi tersebut atau membayar balik pinjaman.

Jadi, perlu ke memohon biasiswa/pinjaman pelajaran? Jawapannya ada pada anda. Usah terburu-buru dalam membuat keputtusan. Buatlah pilihan yang terbaik agar tidak menyesal di kemudian hari.J angan lupa untuk dengar pendapat dari orang yang dekat dengan anda juga seperti ibu bapa, guru dan rakan.

Semoga dipermudahkan urusan untuk belajar di universiti. 

Comments

  1. semua pun bergantung kepada kemampuan keluarga untuk membiayai kos pengajian dan sara hidup kan Jannah, sekarang ni pun biasiswa kebanyakannya buka bantuan penuh , lebih kepada perjanjian boleh ubah.

    ReplyDelete
  2. Bergantung kepada kemampuan.. Perlu untuk mereka yang tidak berkemampuan..

    ReplyDelete
  3. Bagus info ni. Sebaikny Cuba apply biasiswa jgn pinjaman..nanti kesian nak membayar

    ReplyDelete

Post a Comment