10 Masalah Yang Sering Terjadi Dalam Tugasan Berkumpulan

Hai semua. Memandangkan ramai yang sudah mendaftar masuk ke universiti dan memulakan semester baru, pasti ada pensyarah yang sudah membahagikan tugasan berkumpulan.

Bagi pelajar baru, mungkin anda belum mengetahui tentang masalah yang sering terjadi dalam tugasan berkumpulan. Oleh itu, saya akan kongsikan dengan anda supaya anda boleh bersedia jika anda harus berhadapan dengannya nanti.

*Tidak semestinya anda akan mengalami semua masalah yang akan saya nyatakan di bawah. Namun, tidak salah untuk kita menambah pengetahuan baru kan.

1. Ahli kumpulan gagal dikesan
Jangan terkejut jika anda tidak dapat berjumpa dengan ahli kumpulan di dalam kelas atau gagal menghubungi mereka. Ada masanya anda mungkin tidak begitu mengenali ahli kumpulan sendiri terutamanya apabila pensyarah menetapkan ahli kumpulan secara rawak. Pelajar sebegini mungkin ada masalah yang serius dan tidak dapat fokus kepada pengajian mereka.

2. Lewat atau tidak hadir ke perbincangan
Untuk sesetengah subjek seperti subjek IT, lebih mudah jika perbincangan diadakan secara bersemuka. Tapi bukan semua orang boleh memberikan komitmen. Jika ahli kumpulan anda sering lewat untuk perbincangan, mungkin mereka orang yang tidak menepati masa. Kalau lewat sekali sahaja atas alasan yang kukuh, boleh dimaafkan lagi.

3. Tiada respon di Whatsapp group
Pada masa kini terutamanya semasa kelas atas talian, pasti ramai yang berhubung melalui Whatsapp. Namun, ada sesetengah ahli kumpulan yang hanya beri bluetick. Kadang-kadang tak tahulah mereka mark as read atau mereka baca tapi tak balas apa-apa. 

4. Ahli kumpulan tidak tahu apa-apa
Terdapat juga ahli kumpulan yang seolah-olah tidak tahu apa-apa tentang tugasan yang diberikan. Mungkin mereka tidak fokus di dalam kelas atau semasa perbincangan. Ada juga yang hanya scroll down mesej di Whatsapp dan mengatakan mereka faham. Kadang-kadang, semua benda mereka tak tahu buat tapi tak ada usaha untuk belajar.

5. Kerja tidak siap tepat pada masanya
Apabila seorang ahli kumpulan tidak menyiapkan bahagian mereka tepat pada masanya, pasti akan ada masalah yang timbul. Hal ini kerana pelajar yang akan compile dan buat semakan akhir tidak dapat menjalankan tugas mereka selagi ahli kumpulan yang lain belum menyiapkan tugasan masing-masing.

6. Beban kerja yang tidak seimbang
Salah satu keburukan tugasan berkumpulan ialah markah yang diperoleh oleh setiap ahli kumpulan adalah sama walaupun beban kerja berbeza. Memang kesian dengan ahli kumpulan yang harus menyiapkan tugasan sendiri dan pada waktu yang sama harus menyiapkan kerja orang lain. Hal ini sering terjadi apabila terdapat free rider (nak markah tapi tak nak buat kerja) dalam kumpulan.

7. Sukar untuk kawal ahli kumpulan
Apabila ada terlalu ramai ahli kumpulan (lebih daripada 5 orang), agak sukar mengawal keadaan. Ketua kumpulan mempunyai tanggungjawab yang besar untuk memastikan setiap ahli melakukan tugas mereka dengan baik. Untuk tetapkan waktu bagi perbincangan pun susah kerana setiap orang mungkin mempunyai jadual kelas yang berbeza.

8. Masalah komunikasi
Komunikasi yang berkesan merupakan antara faktor penting untuk tugasan berkumpulan. Jika terdapat halangan daripada segi bahasa ataupun ahli kumpulan mempunyai masalah peribadi antara satu sama lain, agak sukar untuk mendapatkan komunikasi yang berkesan. Akibatnya, banyak salah faham yang akan berlaku.

9. Perbezaan pendapat yang berlebihan
Memang bagus untuk bertukar-tukar pendapat dalam tugasan berkumpulan. Namun, jika perbezaan pendapat terlalu berlebihan dan tiada persetujuan dapat dicapai, banyak masalah yang akan timbul. Kadangkala hal kecil seperti template untuk presentation slides pun boleh jadi isu yang besar apabila masing-masing tak nak mengalah.

10. Sukar untuk konsisten
Apabila membuat tugasan berkumpulan, amatlah penting untuk konsisten dari segi penulisan, format dan topik yang ingin dibincangkan. Ada masanya sukar untuk menyelaraskan cara penulisan laporan dan editor perlu bekerja lebih keras untuk memastikan  semuanya konsisten. Jika ada sesetengah bahagian mempunyai kesalahan tatabahasa yang banyak manakala bahagian lain pula hampir tiada kesalahan tatabahasa, hal ini tidak menggambarkan anda bekerja sebagai satu kumpulan.

Kebiasaannya, masalah di atas sering terjadi apabila anda berada dalam satu kumpulan dengan orang yang tidak dikenali. Ada juga terjadi dengan mereka yang anda sudah kenal selama beberapa semester tapi sekurang-kurangnya lebih mudah untuk anda berhubung dengan mereka.

Dalam entri akan datang, saya akan kongsikan pula cara untuk anda mengatasi masalah yang telah saya nyatakan di atas. 

Jumpa lagi.

Comments