Faktor Yang Perlu Dipertimbangkan Semasa Memilih Pekerjaan

Berjaya menamatkan pengajian di universiti dengan jayanya menandakan bermulanya perjalanan seorang graduan untuk mencari pekerjaan. Namun, bukan mudah untuk melepasi tapisan dan peringkat penilaian yang ditetapkan oleh syarikat.

Banyak usaha dan tenaga yang diperlukan untuk seorang graduan berjaya mendapat satu pekerjaan. Kebanyakan graduan hanya menerima tawaran kerja yang diperoleh kerana mereka sedar betapa sukarnya untuk mendapatkan pekerjaan sekarang.  

Namun, ramai yang mula merasakan pekerjaan yang dimiliki tidak sesuai dengan diri selepas suatu ketika. Oleh itu, TWJ kongsikan beberapa faktor yang perlu dipertimbangkan semasa memilih pekerjaan.


1. Minat
Walaupun tujuan utama seseorang bekerja adalah untuk mendapatkan wang bagi menyara kehidupan, minat memainkan peranan penting dalam memotivasikan seseorang untuk datang kerja setiap hari. Kadang-kadang kita nampak sesuatu pekerjaan tu macam susah, tetapi dengan adanya minat yang mendalam seseorang itu akan rasa seronok bekerja dan kerja dapat disiapkan tanpa perlu dipantau dengan kerap.

2. Lokasi syarikat
Untuk menjimatkan duit sewa rumah, pilih pekerjaan di kawasan kos hidup yang rendah atau berdekatan dengan keluarga. Bagi yang ulang-alik dari rumah ibu bapa, tak perlu fikirkan tentang kesesakan lalu lintas jika ingin pulang semasa musim perayaan. 

Anda juga dapat meluangkan lebih banyak masa dengan ibu bapa berbanding dengan mereka yang berada di perantauan. Tapi tanggungjawab anda lebih besar kerana adik-beradik yang tinggal berjauhan mungkin akan mengharapkan anda menguruskan keperluan ibu bapa sepenuhnya.

3. Gaji
Kebiasaanya gaji yang diberikan menggambarkan beban kerja yang harus ditanggung. Lebih tinggi gaji yang ditawarkan, lebih berat beban kerja dan risiko yang harus dihadapi. Namun, ada juga pekerjaan yang beban kerjanya berat tetapi gajinya terlalu rendah. Jadi, pastikan anda memilih pekerjaan yang sesuai dengan beban kerja yang anda mampu tangani dan cukup untuk perbelanjaan bulanan.

4. Waktu bekerja
Bagi yang bujang, waktu pekerja bukanlah faktor utama untuk dipertimbangkan. Terdapat juga anak muda yang membuat beberapa pekerjaan bagi menyara kehidupan. Berbeza pula bagi yang sudah berkahwin dan memiliki anak, pastinya anda inginkan waktu kerja yang lebih fleksibel dan anda mempunyai lebih banyak masa terluang terutamanya pada hujung minggu.

5. Budaya syarikat
Budaya syarikat memberikan kesan terhadap kesihatan mental anda. Oleh itu, pilihlah syarikat yang budayanya sesuai dengan diri anda. Tak semestinya syarikat yang besar mempunyai budaya syarikat yang baik dan sebaliknya. Mungkin anda boleh bertanyakan tentang budaya syarikat semasa sesi temuduga.

6. Kemudahan
Memandangkan anda menghabiskan masa yang banyak di tempat kerja, kemudahan adalah amat penting dalam memberikan keselesaan dan meningkatkan produktiviti. Antara kemudahan yang mungkin disediakan adalah Wifi, pantri, komputer riba, ruang solat dan sebagainya.

7. Cuti
Sebagai seorang manusia, sememangnya anda perlu berehat dan mengambil cuti. Sama ada cuti rehat atau cuti kerana urusan keluarga seperti kenduri kahwin. Namun, setiap pekerjaan mempunyai peruntukan cuti yang berbeza. Contohnya, ada yang perlu bergilir-gilir untuk memohon cuti perayaan. Maksudnya, kalau tahun ini anda sudah cuti pada hari pertama perayaan, tahun depan adalah giliran orang lain pula.

8. Perkembangan kerjaya
Matlamat kerjaya setiap orang adalah berbeza. Sesetengah orang menginginkan kerjaya yang membolehkan mereka naik pangkat sehingga bahagian pengurusan tertinggi. Ada pula yang ingin mengembangkan kerjaya mereka sehingga ke luar negara. Jadi, selidik terlebih dahulu apakah perancangan syarikat untuk jangka masa 5 hingga 10 tahun akan datang.

Buatlah keputusan yang bijak dalam memilih pekerjaan. Memang betul kita tidak boleh terlalu memilih kerana bukan mudah untuk mendapatkan pekerjaan pada masa sekarang.

Hanya anda yang tahu kemampuan diri dan komitmen yang anda miliki. Sesetengah orang tidak mampu memilih kerana mereka lah sumber kewangan utama keluarga. Tidak kira apapun pilihan yang anda buat, terimalah pekerjaan anda dengan hati yang terbuka.

Jangan membandingkan pekerjaan kita dengan orang lain. Terima kelebihan dan kekurangan pilihan yang kita buat.

Buat graduan yang baru ingin melangkah ke dunia pekerjaan atau bagi yang ingin menukar pekerjaan, fikir masak-masak sebelum membuat pilihan. 

Comments

  1. how true bagus utk adik2 yg sedang mecari kerja tu

    ReplyDelete
    Replies
    1. Semoga entri ni bermanfaat kepada sesiapa yang membacanya.

      Delete

Post a Comment