SELEPAS SPM: Minat vs Peluang vs Kemampuan

Sebelum ini saya ada kongsikan tentang tips untuk membuat permohonan UPUOnline (klik sini untuk baca) dan juga hala tuju selepas SPM (klik sini untuk baca). Bagi para pelajar yang memilih untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, ada beberapa faktor yang perlu diteliti ketika membuat pilihan, iaitu minat, peluang dan kemampuan.

Minat merupakan faktor yang paling utama serta merangkumi minat untuk belajar dan minat terhadap bidang yang dipilih. Salah satu perkara yang akan membantu anda untuk bertahan adalah minat anda kerana apa yang anda akan pelajari adalah lebih susah berbanding ketika SPM. Jika anda tiada minat terhadap bidang yang anda pilih, kemungkinan untuk anda berputus asa apabila keputusan peperiksaan anda kurang memberangsangkan adalah agak tinggi. 

Kadangkala anda sudah tahu bidang yang anda minati tetapi tiada peluang untuk anda. Peluang terdiri daripada pilihan dalam UPU serta tawaran daripada institusi pendidikan yang anda peroleh. Sebagai contoh, tawaran matrikulasi, tawaran IPG (Institut Pendidikan Guru) dan tawaran universiti. Bukanlah sesuatu yang mustahil untuk seseorang pelajar langsung tidak mendapat tawaran UPU. Antara tawaran yang pelajar selalunya akan peroleh jika keputusan memenuhi syarat yang ditetapkan tanpa perlu memohon ialah tingkatan 6.

Selain daripada minat dan peluang, anda juga perlu mengambilkira faktor kemampuan. Kemampuan merangkumi kemampuan diri untuk belajar dalam sesuatu bidang dan juga kemampuan dari segi kewangan. Anda harus ingat bahawa anda tidak semestinya anda minat sesuatu bidang, anda mampu untuk mengikuti pembelajaran dalam bidang tersebut. Pastikan anda nilai kemampuan diri dengan melihat keputusan  SPM anda. Dari segi kewangan, lihatlah kemampuan kedua ibu bapa anda dalam memilih tempat pengajian anda. Jika anda tidak datang daripada keluarga yang senang, mungkin anda perlu fokuskan untuk belajar di Semenanjung Malaysia berbanding di Sabah/Sarawak bagi pelajar Semenanjung dan sebaliknya. Anda harus memikirkan kos untuk anda pergi dan pulang setiap semester.

Kesimpulannya, anda perlu melihat daripada pelbagai aspek dalam memilih bidang pengajian dan tempat pengajian. Perkara yang paling utama ialah minat anda. Namun, jika peluang anda dalam bidang yang lain, rebutlah peluang tersebut kerana mungkin rezeki anda dalam bidang tersebut. Jika anda mempunyai masalah kewangan tapi masih ingin melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi, cubalah cari tempat pengajian yang lebih rendah kosnya seperti tingkatan 6, matrikulasi atau universiti awam. Anda juga boleh cuba mendapatkan biasiswa ataupun pinjaman pelajaran.

Buatlah pilihan yang tepat untuk masa depan anda. Jika ada apa-apa pertanyaan, anda boleh tinggalkan komen di bawah. Semoga berjaya dalam apa-apa bidang yang anda ceburi. 




Comments

  1. Betul tu Jannah. Minat adalah salah satu faktor penting untuk diambilkira. Tp dalam waktu era skrg yg makin mencabar ni, kdg2 kita just go with the flow. Apa2 pun buatlah keputusan yg terbaik untk masa depan :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kalau tak ada banyak pilihan, rebutlah jelah peluang yang ada kat depan mata. Sebab kalau nak tunggu, tak tahu bila lagi peluang yang lain akan datang.

      Delete
  2. semoga adik2 berjaya dan dipermudahkan segala urusan..

    ReplyDelete

Post a Comment