8 Tanggapan Masyarakat Terhadap Orang Asli

Pernahkah anda mendengar tentang masyarakat Orang Asli di Semenanjung Malaysia? Jika ya, adakah anda mendengar perkara yang positif atau negatif? Dalam entri ini, saya akan kumpulkan tanggapan masyarakat terhadap Orang Asli yang sering saya dengar. Memandangkan ramai yang tidak dapat meneka bahawa saya merupakan Orang Asli apabila melihat wajah saya, ada yang dengan selambanya bercakap perkara negatif tentang Orang Asli di hadapan saya. Jadi, mari kita lihat tanggapan yang sering dikaitkan dengan Orang Asli berdasarkan pengalaman saya.

1. Tinggal dalam hutan
"Tinggal dalam hutan" atau "tinggal di kawasan kampung" merupakan antara jawapan yang akan diberikan jika seseorang diminta menyatakan fakta tentang Orang Asli. Hal ini terjadi kerana seseorang itu tidak bergaul dengan Orang Asli dan hanya mendengar cakap-cakap orang. Untuk pengetahuan semua, ramai orang Asli yang sudah berhijrah ke bandar sama ada kerana kerja, pelajaran mahupun perkahwinan. Orang Asli yang tinggal di kampung juga, ramai yang tinggal di rumah batu, bukan rumah papan atau rumah buluh lagi. Cuma jika anda pergi ke kawasan perkampungan Orang Asli yang terletak lebih jauh di kawasan pedalaman, anda mungkin melihat suasana yang berbeza. Sejujurnya, saya tidak pernah ke kampung Orang Asli yang terletak jauh di pedalaman kerana tinggal di kawasan perumahan dan kampung juga terletak berdekatan dengan jalan besar.

2. Berkulit gelap dan berambut kerinting
Apabila saya memberitahu bahawa saya merupakan Orang Asli, ramai yang tidak percaya kerana dalam fikiran mereka Orang Asli berkulit gelap dan berambut kerinting. Cara mereka bercakap seola-olah kulit saya ni terlalu cerah untuk dikatakan sebagai Orang Asli. Kadangkala ayat mereka tergantung. Mungkin mereka risau saya terasa hati jika mereka mengatakan bahawa rupa fizikal saya tidak seperti gambaran Orang Asli dalam fikiran mereka. Hanya individu yang mempunyai kawan Orang Asli yang berkulit cerah seperti saya akan percaya bahawa saya Orang Asli. Jadi, kita dapat mengetahui bahawa seseorang itu mempunyai kenalan Orang Asli atau tidak berdasarkan reaksi mereka.

3. Tidak suka bergaul dengan orang luar
Bagi saya, pernyataan ini tidak boleh diaplikasikan kepada semua Orang Asli. Hal ini kerana, kalau Orang Asli tidak suka bergaul dengan orang luar, tidak akan wujudlah perkahwinan campur antara masyarakat Orang Asli dan kaum lain. Sebagai contoh, di daerah Pekan, Pahang, ramai Orang Asli yang berkahwin dengan orang Cina dan melahirkan generasi Asli-Cina. Mungkin ada pihak yang tidak diterima baik kehadirannya kerana mereka mempunyai agenda yang tersembunyi. Jika seseorang itu berniat baik, pasti urusan mereka dipermudahkan dan Orang Asli juga akan bersikap terbuka untuk menerima kehadiran mereka. Hal ini dapat dilihat di Pulau Carrey, Selangor (Perkampungan Orang Asli Mah Meri) yang menjadi kawasan pelancongan.

4. Kurang pandai berbanding kaum lain
Perkara ini selalu juga terjadi kepada saya. Apabila saya mengatakan bahawa saya mengambil aliran sains di sekolah, ada yang tidak percaya. Walaupun saya selalu menjadi satu-satunya Orang Asli di dalam kelas ataupun di universiti di mana saya belajar sekarang, tetapi itu tidak bermakna anda boleh mengatakan bahawa Orang Asli kurang pandai berbanding kaum lain. Memang bilangan Orang Asli yang melanjutkan pelajaran ke universiti dan kadar keciciran dalam kalangan murid Orang Asli lebih rendah berbanding kaum-kaum lain tetapi bilangan Orang Asli di universiti semakin bertambah setiap tahun dan ramai juga yang belajar di IPG. Apabila saya menyertai mana-mana pertandingan juga, ramai yang tidak sangka. Takkanlah nak kena keluarkan semua sijil yang ada baru orang nak percaya. Nanti orang kata riak pula๐Ÿ˜‚.

5. Pengotor
Isu ini sebenarnya lebih kepada isu individu berbanding kaum kerana pengotor ini melibatkan sikap seseorang. Yang menentukan sikap kita adalah diri sendiri dan bukanlah kaum kita. Setiap kaum pasti ada individu seperti ini. Cubalah berkawan dengan Orang Asli sebelum anda membuat penilaian. Disebabkan saya daripada kaum minoriti, saya sudah biasa bergaul dengan kaum lain dan tinggal sebilik dengan mereka. Jadi, saya sedar bahawa yang tidak semestinya kita jumpa seorang yang pembersih dari satu kaum, orang lain dari kaum yang sama juga mempunyai tahap kebersihan yang sama.

6. Tidak tahu menghargai teknologi dan kemodenan
Saya memang geram kalau ada yang mengeluarkan penyataan seperti di atas. Jangan sampai saya keluarkan laptop dan tunjukkan kemahiran programming  saya. Kalau saya sebagai Orang Asli tidak tahu menghargai teknologi dan kemodenan, blog The Wonderful Jannah tidak akan wujud. Yang cakap macam ni memang dia tak pernah jumpa Orang Asli. Untuk pengetahuan semua, kebanyakkan Orang Asli yang saya kenal ada telefon pintar. Malah, ada yang guna Iphone. Sekarang ini juga, sudah ramai Orang Asli yang ada televisyen, komputer riba dan kenderaan. Kalau anda lihat di Facebook pula, ramai kumpulan Orang Asli diwujudkan untuk menyampaikan berita yang berkaitan Orang Asli. Kami juga mempunyai siaran radio yang tersendiri, iaitu Asyik FM yang boleh juga didengari di saluran Astro 875.

7. Tidak tahu berbahasa Inggeris
Rasanya yang ni perkara biasa. Saya tidak nafikan bahawa warga-warga tua biasanya tidak boleh bertutur dalam bahasa Inggeris. Namun, bagi generasi yang lebih muda, mereka boleh memahami bahasa Inggeris sedikit-sedikit tetapi tidaklah lancar untuk bertutur dalam bahasa Inggeris. Setakat nak sebut "Good morning", "Thank You", "Chicken" dan perkataan yang mudah tu bolehlah.  Jika anda lihat di media sosial, ada juga Orang Asli yang mengupdate status dalam bahasa Inggeris. Saya sendiri pun bertutur dalam bahasa Inggeris (terpaksa sebenarnya๐Ÿ˜‚) di universiti kerana bahasa utama adalah bahasa Inggeris. Cuma kalau di kampung, takkanlah nak bercakap bahasa Inggeris 24 jam. Nanti orang kata buang tebiat pula.

8. Tidak menyedari kepentingan pendidikan formal
Kadar keciciran sekolah yang lebih tinggi serta bilangan lepasan SPM yang menyambung pelajaran di universiti yang lebih rendah berbanding kaum lain menyebabkan banyak pihak yang menganggap Orang Asli tidak menyedari kepentingan pendidikan formal. Namun, hakikatnya bukan begitu. Sesetengah Orang Asli tidak melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi kerana masalah kewangan, kurangnya pengetahuan tentang tindakan yang harus dilakukan untuk membuat permohonan dan sebagainya. Bagi murid sekolah pula, ada yang diejek dan dibuli di sekolah. Bukan senang untuk menjadi minoriti dalam kalangan majoriti. Ramai yang tak mampu bertahan. Bukan hendak kata saya tidak terkesan dengan kata-kata negatif yang dikeluarkan tetapi saya kuatkan diri. Hal ini kerana, saya sedar yang pendidikan itu penting untuk merubah kehidupan kami ke arah yang lebih baik. Saya mahu ubah tanggapan negatif masyarakat terhadap Orang Asli, menggembirakan ibu bapa saya dan mencapai impian saya.

Ingin saya tegaskan di sini bahawa entri ini bukanlah untuk memburukkan nama sesiapa. Entri ini ditulis untuk membetulkan tanggapan yang salah terhadap Orang Asli. Sebagai Orang Asli yang mempunyai kemampuan dan kemudahan untuk berkongsi maklumat, saya merasakan bahawa saya seharusnya memanfaatkan kelebihan ini untuk membetulkan tanggapan yang salah tentang kaum saya. Semoga perkongsian ini bermanfaat kepada semua.

Comments

  1. masa jadi practicum teacher dapat ngajar sek yang ada pelajar OA.. tak adalah mereka seperti diatas tapi duduk dalam keadaan rumah serba daif ya. cuma sangaaat lengkap. tapi bab pendidikan tu macam skeptical cuma macam iyaaa pun ada. jenuh nak pujuk parents diorang suruh hantar anak ke sekolah. padahal pendidikan untuk diorang adalah percuma.

    mengajar di boarding school.. ada juga OA.. OA yang terbuka sikit menerima pendidikan yang better.. cantik and handsome !! tengok xde pun ciri ciri OA.. hehe.. apa apa pun.. sayang semua pelajar-pelajar OA saya =)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tak tahu pula yang SYM ni cikgu. Teruskan mendidik anak bangsa tanpa mengira kaum๐Ÿ‘๐Ÿป.

      Delete
  2. that is normal in our community... bercakap tanpa usul periksa. In fact semua yang Jannah pinpoint kat atas tu juga applicable untuk lain-lain bangsa di Malaysia sebab bukan semua orang Melayu pandai berbahasa Inggeris, bukan semua pandai berteknologi dan duduk dibandar.

    Di office ammi deal dengan OA Seletar (Johor) untuk kes pampasan tanah. boleh tonton disini (https://ms-my.facebook.com/BuletinTV3Official/videos/335724583976015/). Pernah juga berurusan dengan OA Semaq Beri dan satu di Perak..lupa pulak apa nama suku kaumnya.

    ReplyDelete
  3. Sy dh masukkkan dlm bloglist..dh lama kita brtukar bloglist ye hehe

    ReplyDelete
  4. Tanggapan dan stigma masyarakat yang annoying dan bajet elitists ni memang agak susah untuk diubah. Bagus JR tulis artikel untuk share info yang macam ni ๐Ÿ˜Ž๐Ÿ‘๐Ÿป

    ReplyDelete
    Replies
    1. Betul tu, susah nak ubah stigma masyarakat. Tapi tak bermakna kita tak perlu berusaha.

      Delete
  5. Pertama kali Mrs. A tahu pasal OA sewaktu bersekolah ke sekolah STAD di form 4. Kat sekolah tu ada OA ramai jugaklah mereka kebanyakkannya yang berdaftar dengan JHEOA. Mrs. A memang tak dapat bezakan dari segi rupa pertama kali dapat tahu pun time nak solat Mrs. A tanya kenapa H tu tak solat hahahaha... kemudian kawan lagi sorang cakap dia OA la free thinker oh! baru Mrs. A tahu.

    Dalam famili H ada jugak kakak dia yang kembali kepada islam adik-beradik H ramai je yang cerdik pandai. Mrs. A dan H sehingga sekarang masih keep in touch dia cikgu di KV Rembau.

    Bukan H sahaja yang Mrs. A kenal ada jugak lain-lain OA pendapat Mrs. A semua point di atas tu agak konflik untuk diterima.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kadang-kadang susah nak tentukan apabila kita tengok paras rupa je๐Ÿ˜….

      Delete
  6. zaman moden sekrg
    org asli lebih maju dari dulu
    dah tak malu bila berjumpa,
    malah bertegur sapa...
    contoh org asli kwn sek2 saya
    hihi...

    ReplyDelete
  7. now. kena tukar dah anggapan kita terhadap sesuatu.
    zaman da moden.
    jgn dok ingat benda masih kolot, kan...

    ReplyDelete

Post a Comment