EXPERIENCE: Pengalaman Membuat Biskut Brownies Dan Resepinya

Hai semua. Hari ini saya akan kongsikan pengalaman membuat biskut brownies dan juga resepinya.

Sebenarnya dah lama merancang untuk buat biskut brownies dengan adik saya, tapi sekarang baru berpeluang untuk buat. Memandangkan adik saya lagi pakar dalam baking, dialah yang beri bimbingan untuk membuat biskut brownies ni.

Sebelum anda lihat hasilnya, mari kita baca resepi terlebih dahulu.

Bahan-bahan
4 bar coklat masakan-dipotong saiz sederhana
1/2 cawan serbuk koko
1 cawan tepung naik sendiri
Gula kastor-bergantung pada tahap kemanisan yang diinginkan
2 biji telur
Mentega
Garam-sedikit

Cara-cara memasak
1. Didihkan air dalam periuk. Gunakan kaedah double boiler untuk cairkan coklat. (boleh buat langkah 6 dalam masa yang sama)

2. Setelah coklat cair, tambahkan mentega sehingga coklat kelihatan cair dan berkilat.

3. Pukul telur bersama gula kastor. 

4. Masukkan coklat yang telah dicairkan ke dalam telur yang sudah dipukul. 

5. Masukkan tepung naik sendiri, serbuk koko dan garam ke dalam campuran tadi. Gaul hingga sebati.

6. Panaskan oven pada suhu 170 darjah Celcius selama 15 minit.

7. Alaskan dulang dengan baking paper. Letakkan adunan atas baking paper (1/2 sudu kecil untuk setiap satu). Untuk satu dulang, saya letakkan 4x3 adunan. Jadi, dapat 12 keping biskut brownies untuk satu dulang.

8. Bakar dalam oven pada suhu 170 darjah Celcius selama 15 minit.

9. Setelah biskut masak, buka pintu oven dan biarkan seketika. Keluarkan dari oven dan biarkan biskut sejuk pada suhu bilik sebelum disimpan dalam bekas.

Jom kita lihat biskut brownies versi kami. 

Biskut Brownies

Biskut brownies tu sebenarnya warna coklat tapi disebabkan pencahayaan yang berlebihan, nampak macam warna hitam😂. Kami saja buat saiz kecil sebab boleh dapat banyak dan lagi rangup. Kami dapat 2 bekas biskut brownies (1 bekas kecil, 1 bekas besar).

Untuk yang baru menceburi dunia baking, hasilnya boleh dikira agak baik. Walaupun rupanya biasa-biasa je, rasanya agak sedap😂. Sekian sahaja untuk perkongsian hari ini. Nantikan menu lain yang saya akan cuba masak. 

Tips
-Sentiasa periksa keadaan biskut brownies di dalam oven.
-Masa untuk bakar biskut brownies mungkin berbeza bergantung kepada saiz biskut tersebut.

Comments

Post a Comment