Tips Nak Score Untuk Biologi SPM

Hai semua. Mesti ramai yang risau dan berdebar-debar untuk menduduki peperiksaan SPM bagi subjek biologi. Jadi, akak akan kongsikan sedikit tips untuk score subjek biologi SPM.

1. Fahamkan konsep sesuatu topik
Kalau adik-adik faham konsep untuk sesuatu topik, adik-adik tidak perlu menghafal semua benda untuk menjawab soalan. Hanya hafal isi penting dan olah jawapan menggunakan ayat sendiri. Harus diingatkan juga bahawa sesetengah soalan memerlukan pelajar untuk mengaplikasikan konsep yang telah dipelajari. Contohnya, soalan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) yang soalannya lebih kompleks.

2. Belajar melalui rajah
Tidak dapat dinafikan bahawa subjek biologi melibatkan banyak rajah seperti sel, DNA, mikroorganisma dan lain-lain. Apabila adik-adik melihat sesuatu rajah, cuba jadikan amalan untuk menulis nota/penerangan untuk rajah tersebut. Selain itu, adik-adik boleh membuat latihan melabel rajah sama ada menggunakan soalan tahun-tahun lepas ataupun latihan dalam Internet.

3. Aplikasikan dalam kehidupan seharian
Salah satu kelebihan belajar subjek biologi adalah banyak perkara yang berkaitan dengan kehidupan seharian kita. Oleh itu, lebih mudah untuk adik-adik ulang kaji sebenarnya. Cuba untuk gunakan konsep dan istilah biologi dalam perbualan seharian (tapi janganlah gunakan istilah yang terlalu complicated dengan orang yang bukan dari aliran sains sehingga mereka tidak faham apa yang diperkatakan).

4. Buat sesi soal jawab
Bagi menguji tahap pemahanan dan ingatan adik-adik, boleh buat sesi soal jawab dengan rakan. Pastikan adik-adik catat topik mana yang belum dikuasai dan buat lebih banyak latihan untuk topik tersebut.

5. Fahamkan maksud bagi istilah-istilah penting
Memahami maksud bagi istilah biologi adalah sangat penting terutamanya jika ada soalan yang bertanyakan maksud/definisi. Salah satu cara untuk mengingati maksud bagi istilah biologi adalah dengan membuat nota sendiri. Adik-adik boleh buat kamus mini untuk istilah biologi dan bawa ke mana-mana sahaja. Jadi, lebih mudah untuk ulang kaji ketika ada masa terluang seperti semasa menunggu bas untuk pulang ke rumah.

6. Baca nota banyak kali
Pelajar yang mengambil subjek biologi sememangnya tidak dapat "lari" dari membaca. Rahsia utama untuk score subjek biologi adalah membaca nota berulang-ulang kali. Sebenarnya, lebih mudah untuk kita faham dan ingat apabila kita membaca perkara yang sama berkali-kali. Terpulang sama ada adik-adik nak baca nota sendiri, nota dari guru ataupun buku teks. 

7. Belajar melalui audio/video
Bagi yang kurang minat membaca atau selalu rasa mengantuk apabila membaca, adik-adik boleh cuba belajar melalui audio/video. Pada masa kini, banyak audio/video pembelajaran boleh diakses secara atas talian. Adik-adik boleh cari di YouTube atau Google. Namun, pastikan isi kandungan audio/video tersebut selaras dengan silibus SPM.

Sebenarnya, tips di atas bukan sahaja boleh digunakan untuk peperiksaan SPM tapi adik-adik boleh juga gunakan untuk subjek biologi di universiti. Jangan berputus asa kalau belum dapat keputusan yang diinginkan. Teruskan berusaha sehingga adik-adik berjaya. 

Semoga dipermudahkan urusan untuk menjawab kertas peperiksaan biologi dan semoga lulus dengan cemerlang.

Baca tips lain:

Comments

  1. Ni subjek kegemaran cheq ni... sebab minat, bolehlah cheq score A1 untuk paper Bio masa SPM dulu 🤓

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kalau ada minat, lebih mudah nak skor kan😊.

      Delete
  2. Bagus perkongsian tips Jannah nie..

    ReplyDelete

Post a Comment