10 Tips Berguna Untuk YouTuber/Content Creator Baru

Pada masa kini, ramai yang sudah mula menjadi YouTuber/content creator. Namun, perjalanan untuk menjadi seorang YouTuber/content creator tidak semudah yang disangka. Oleh itu, saya akan kongsikan sedikit tips yang berguna untuk YouTuber/content creator baru.

1. Singgah di YouTube Channel orang lain
Sebagai seorang YouTuber/content creator baru, anda tidak boleh terlalu mengharapkan kunjungan mereka yang lebih senior. Hal ini kerana mereka tidak tahu pun kewujudan saluran YouTube anda. Jadi, cuba tonton video mereka dan tinggalkan komen untuk menunjukkan kewujudan anda. Sesetengah pemilik saluran YouTube akan membalas komen dan singgah di saluran YouTube anda. Namun, pastikan anda tinggalkan komen yang berkaitan dengan video bukannya komen yang mempromosikan saluran YouTube anda semata-mata.

2. Promosikan saluran YouTube di media sosial
Tidak dapat dinafikan bahawa media sosial seperti Instagram, Facebook dan Whastapp memainkan peranan penting dalam menaikkan populariti sesebuah saluran YouTube. Sudah ramai YouTuber/content creator yang tular di media sosial dan saluran YouTube mereka mula mendapat perhatian ramai. Oleh itu, jangan segan untuk promosikan saluran YouTube anda.

3. Subscribe saluran YouTube lain
Terdapat pemilik saluran YouTube yang sangat supportive. Mereka akan subscribe saluran YouTube anda sebagai balasan anda subscribe saluran YouTube mereka. Sebaik-baiknya cari saluran YouTube yang mempunyai niche yang sama seperti anda. Kalau anda fokus kepada video resepi, maka bina jaringan (networking) dengan mereka yang fokus terhadap video resepi juga.

4. Cari topik yang anda minati
Salah satu masalah utama pemilik saluran YouTube adalah untuk menentukan kandungan video yang akan dimuat naik.  Untuk memudahkan kerja anda, hasilkan video yang sesuai dengan minat, kebolehan dan kemudahan yang anda ada. 

5. Peka dengan topik yang dicari oleh ramai orang
Untuk memastikan video anda disyorkan oleh YouTube dan mendapat trafik dari sumber luar seperti Google Search, anda boleh menghasilkan video dengan topik yang sedang popular ataupun topik yang evergreen. Rajin-rajinkan diri untuk kaji trend topik semasa di YouTube, Google Search dan media sosial.

6. Hasilkan video yang bermanfaat
Jangan terlalu mengejar populariti dan trafik sehingga anda mengabaikan etika dalam penghasilan video. Pastikan anda tidak berkongsi tentang topik negatif atau sensitif. Fokus kepada topik yang bermanfaat untuk semua kerana ilmu yang baik jika dikongsikan, manfaatnya akan diterima oleh ramai orang.

7. Muat naik video secara konsisten
Saluran YouTube yang memuat naik video secara konsisten mempunyai kebarangkalian yang lebih tinggi untuk disyorkan oleh YouTube dan subscribers juga tahu yang anda masih aktif di YouTube. Selain itu, jika anda muat naik video pada hari yang sama setiap minggu, lebih mudah untuk subscribers anda mengetahui tentang video baru walaupun tiada notifikasi.

8. Hargai pengunjung saluran YouTube anda
Apabila terdapat pengunjung meninggalkan komen di video anda, jangan lupa untuk balas komen mereka. Kalau tak tahu nak balas apa, beri like untuk komen mereka juga sudah cukup. Anda juga boleh menulis ucapan terima kasih kepada semua pengunjung di dalam video atau di description box.

9. Minta pendapat pengunjung tentang topik yang diminati
Selain daripada menghasilkan video mengikut topik yang sedang popular, anda boleh meminta cadangan dari pengunjung tentang topik yang mereka minati. Jika cadangan mereka sesuai dengan niche saluran YouTube anda, tidak ada salahnya untuk mengikut cadangan mereka. 

10. Buat analisis tentang prestasi saluran YouTube
Salah satu kelebihan YouTube adalah terdapat data yang boleh kita analisis seperti sumber trafik dan prestasi setiap video. Manfaatkan data di YouTube Studio untuk lebih mengenali pengunjung di saluran YouTube anda dan buat penambahbaikan yang sepatutnya.

Semoga tips-tips yang dikongsikan bermanfaat untuk anda. Pastikan anda menghasilkan video yang bermanfaat kepada orang lain dan jangan berputus asa untuk mencapai impian anda.

Baca juga:

Comments

Post a Comment