Resepi Rendang Ayam Yang Mudah Dan Sedap

Hai semua. Bersempena dengan hari raya yang bakal tiba tak lama lagi, saya akan kongsikan resepi rendang ayam yang mudah dan sedap.

Kebanyakan bahan untuk perapan saya tumbuk sahaja. Tapi kalau anda nak kisar pun boleh. Resepi saya ni adalah untuk 2 pinggan rendang seperti dalam gambar di bawah. Jom kita baca resepinya.

Bahan-bahan A
3 sudu bawang kisar (bawang merah, bawang putih & bawang besar)
2 sudu lada kering kisar
1 inci lengkuas-ditumbuk (sesuaikan dengan kuantiti ayam)
1 inci halia-ditumbuk (sesuaikan dengan kuantiti ayam)
2 batang serai-ditumbuk (potong kecil-kecil sebelum tumbuk)

Bahan-bahan B
Ayam-dipotong
Santan-secukupnya
Kerisik-secukupnya(saya letak 1 sudu)
Daun kunyit-dihiris (kuantiti terpulang kepada anda)
Gula kabung/gula biasa-secukupnya
Garam-secukupnya
Minyak masak

Cara memasak
1. Perap ayam dengan bahan A selama 1-2 jam (lagi lama, lagi sedap).

2. Panaskan minyak di dalam kuali. Masukkan ayam yang telah diperap. Kacau seketika dan biarkan sehingga mendidih.

3. Setelah kuah mendidih, masukkan santan, kacau dan biarkan seketika.

4. Masukkan kerisik dan kacau hingga sebati.

5. Masukkan gula kabung dan kacau.

6. Masukkan garam lalu kacau hingga sebati.

7. Tutup api dan taburkan hirisan daun kunyit. Kacau sehingga daun kunyit layu. 

8. Hidangkan rendang ayam yang sudah siap dimasak.

Rendang Ayam

Dari segi rupa, nampak macam sama dengan yang mak saya selalu masak dan rasa pun tak jauh beza. Bagi saya, cara untuk masak tak adalah rumit sangat cuma yang susah adalah nak tentukan kuantiti santan dan kerisik tu😅.

Setiap orang mesti ada resepi rendang tersendiri kan. Yang saya kongsikan ini adalah resepi daripada mak saya. Kami memang suka letakkan banyak hirisan daun kunyit kalau masak rendang. Kalau anda pula, rendang versi macam mana yang anda suka? Jangan lupa jawab di ruangan komen.

Selamat mencuba dan selamat memasak.

Comments

Post a Comment