10 Cara Mengatasi Masalah Dalam Tugasan Berkumpulan

Hai semua. Sebelum ini saya sudah berkongsi tentang masalah yang sering terjadi dalam tugasan berkumpulan. Oleh itu, hari ini saya akan berkongsi cara-cara untuk mengatasi masalah tersebut pula.

*Cara-cara yang disenaraikan hanya cadangan sahaja. Hanya anda tahu cara yang terbaik untuk mengatasi masalah yang anda hadapi. Apa-apa pun anda harus bersedia untuk bertanggungjawab sendiri ke atas setiap tindakan yang anda ambil.

1. Meminta pertolongan pensyarah
Jika anda tidak dapat berjumpa ahli kumpulan di dalam kelas dan tiada nombor mereka, anda boleh meminta nombor telefon/ emel mereka daripada pensyarah. Kalau tetap gagal dikesan juga, mungkin anda boleh minta untuk menukar ahli kumpulan. Sesetengah pensyarah mungkin tidak mahu masuk campur dengan masalah sebegini, jadi kenali pensyarah anda sebelum anda berjumpa mereka. 

2. Sentiasa ingatkan tentang perbincangan
Untuk mengelakkan ahli kumpulan terlupa tentang perbincangan yang akan diadakan. Ketua kumpulan atau mana-mana ahli kumpulan, boleh berikan peringatan tentang hari dan masa untuk perbincangan tugasan. Sejam sebelum perjumpaan pun boleh ingatkan ahli kumpulan lagi sekali.

3. Hantar mesej peribadi
Sesetengah orang mungkin terlepas pandang mesej di Whatsapp group. Sebagai alternatif, anda boleh hantar mesej peribadi kepada mereka. Mungkin anda boleh nasihatkan mereka agar lebih peka dengan perbincangan di dalam Whatsapp group.

4. Prihatin terhadap ahli kumpulan
Jika ada ahli kumpulan yang tidak begitu faham tentang tugasan yang diberikan, jangan sesekali biarkan mereka ketinggalan. Jelaskan kepada mereka dan beri cadangan yang bersesuaian. Hal ini kerana hasil kerja mereka memberi kesan kepada hasil akhir tugasan berkumpulan.

5. Sentiasa follow up
Untuk memastikan tugasan siap sebelum tarikh akhir, pastikan anda sentiasa follow up dengan ahli kumpulan yang lain. Sentiasa tanya progress mereka dan minta mereka kongsikan dengan ahli yang lain jika ada apa-apa masalah yang dihadapi supaya semua ahli boleh saling membantu.

6. Ikut pembahagian kerja yang diberikan
Bagi mengelakkan ahli tertentu terbeban dengan kerja yang berlebihan, jadilah seorang yang bertanggungjawab dan siapkan tugasan yang diberikan kepada anda. Kalau ada pengalaman dengan free rider, tak perlulah terima mereka ke dalam kumpulan anda untuk tugasan berkumpulan yang lain. Bukan bermakna anda harus terima orang yang cerdik sahaja tetapi carilah ahli yang boleh buat kerja dengan baik.

7. Ambil tahu tentang jadual setiap ahli kumpulan
Untuk memudahkan anda menetapkan masa untuk perbincangan, minta semua ahli kumpulan untuk hantar jadual kelas mereka. Jadi, mereka tiada alasan untuk mengelak daripada hadir semasa perbincangan. Takkanlah mereka tak boleh luangkan masa langsung untuk hadir. Namun, kalau keadaan sudah terlalu tidak terkawal, mungkin anda patut nerjumpa dengan pensyarah.

8. Bersikap profesional
Ketika menyiapkan tugasan, pastikan semua ahli kumpulan melupakan apa-apa salah faham atau persengketaan. Jangan sesekali campur adukkan urusan kerja dan peribadi. Jadilah seorang yang profesional dan berbincang dengan baik.

9. Bersikap terbuka
Semasa perbincangan, beri peluang kepada setiap ahli kumpulan untuk mengemukakan pendapat mereka. Bersikap terbuka untuk menerima pendapat orang lain dan hormati persetujuan yang sudah dicapai. 

10. Ikut format dan topik yang telah ditetapkan
Dalam tugasan kumpulan, pastikan semua ahli bekerja sebagai satu kumpulan. Semasa menyiapkan tugasan, semua ahli harus mengikut apa yang telah dipersetujui. Jangan ubah sesuka hati melainkan telah mendapat persetujuan semua ahli kumpulan. 

Sebenarnya, tugasan berkumpulan ini bagus sebab pelajar boleh belajar untuk berkomunikasi dengan orang lain dan bekerja secara berkumpulan. Hal ini kerana perkara yang sama perlu dilalui apabila memasuki dunia pekerjaan.

Namun, sikap sesetengah ahli kumpulan yang tidak bertanggungjawab menyebabkan ada pelajar yang terbeban dengan kerja yang berlebihan terutamanya pelajar yang ingin mengekalkan CGPA yang baik. Bukan mereka saja-saja ingin beri muka tetapi jika mereka tidak mengambil tanggungjawab tersebut, markah mereka mungkin terjejas.

Semoga perkongsian di atas bermanfaat untuk semua. Jangan mudah mengalah walaupun banyak cabaran yang harus dihadapi dalam tugasan berkumpulan.

Comments

  1. most of all paling boring and geram bila ada ahli kumpulan yang nak buat finishing je, sedangkan org lain bertungkus lumus dari mula tapi bila part nak dapat nama dia lak yg lelebih nak buat

    ReplyDelete

Post a Comment