E-Cerpen: Kasih Yang Terlerai Bahagian 2

Hai semua.
Seperti yang dijanjikan, hari ini saya ingin berkongsi bahagian kedua untuk e-cerpen Kasih Yang Terlerai. Selamat membaca.

E-Cerpen: Kasih Yang Terlerai

Dua tahun kemudian
Aku sungguh teruja untuk berjumpa dengan Kyra kerana sudah lama kami tidak berjumpa sejak dia berkahwin. Seperti biasa, pusat membeli belah menjadi pilihan kami disebabkan kami berdua merupakan kaki shopping tetapi bukanlah sampai tahap shopaholic. Setelah lima belas minit menunggu di Tappers Cafe, aku melihat Kyra melangkah masuk ke kafe ini dengan wajah yang berseri-seri.

“Diana, rindunya saya pada awak,”kata Kyra sambil memelukku.

“Saya pun rindu awak, Kyra. Orang tu dah kahwin kan, terus lupa pada kita yang single ni,”jawabku. Aku saja ingin mengusik Kyra.

“Itulah orang suruh kahwin cepat-cepat tak nak. Kalau nak saya tolong carikan calon pun boleh. Kawan Alif masih ramai yang single,” ujar Kyra sambil tertawa.

“Apa kata kita order makanan dulu? Lepas ni, baru kita berbual dan ‘membawang’,”kataku kerana aku tahu apabila kami berjumpa memang akan bercakap tanpa henti. Malah, kami pernah berbual di tepi jalan selama satu jam ketika aku terserempak dengan Kyra yang keluar makan bersama suaminya, Alif.

Setelah kami memesan makanan, aku menanti apa yang ingin disampaikan oleh Kyra. Ketika dia menelefonku beberapa hari yang lalu, dia mengatakan ada sesuatu yang ingin diberitahu.

“Diana, saya ada berita gembira nak beritahu awak,”

“Apa dia? Cepatlah beritahu. Saya tertanya-tanya sejak awak telefon beberapa hari lepas tapi masih tak dapat agak apa yang awak nak beritahu,”kataku dengan keterujaan yang terserlah di wajah.

“Sebenarnya, awak akan jadi aunty tak lama lagi sebab…,”Belum sempat Kyra menghabiskan ayatnya, aku terus menjerit kegembiraan.

“Dah berapa bulan? Tak sabarnya nak tunggu baby ni keluar.”

“Baru masuk dua bulan. Sebelum ni, Alif minta rahsiakan dulu tentang hal ni. Sebenarnya, saya ada benda nak cerita pada awak Diana. Saya rasa sepupu Alif yang sama-sama bekerja di syarikat ayah Alif ada niat tak baik. Saya risau dia akan buat perkara yang tidak baik kepada kami kerana harta. Dari segi luaran, dia nampak baik tapi saya ada terdengar cerita yang keluarga dia pernah dihalau oleh datuk Alif dan ibunya berdendam dengan atuk.”

“Tak baik bersangka buruk pada orang, Kyra. Lagipun dia kan saudara Alif. Kita doakan yang baik-baik saja. Mudah-mudahan awak dan Alif sentiasa dalam lindungan-Nya. Ada apa-apa yang pelik terjadi ke?”

“Beberapa minggu ni, saya rasa ada orang yang ikut saya. Walaupun tak ada perkara buruk yang terjadi, tapi saya masih risau tentang keselamatan kami,” kata Kyra.

“Memandangkan saya sedang mencari kerja sekarang, apa kata saya minta kerja di syarikat keluarga Alif? Mana tahu saya boleh dapatkan apa-apa maklumat tentang sepupu Alif tu.”

“Sekejap, bukan awak terus dapat kerja ke selepas graduasi? “

“Sebenarnya saya dah berhenti kerja bulan lepas sebab tak tahan dengan sikap rakan sekerja kat syarikat yang saya kerja sebelum ni. Saya selalu kena siapkan kerja orang lain dan kerja lebih masa tapi syarikat tak bayar untuk overtime. Jadi, saya putuskan untuk berhenti kerja dan cari kerja lain. Saya dah hantar beberapa permohonan ke beberapa buah syarikat. Sekarang ni saya tengah tunggu panggilan untuk temuduga.”

Setelah tiga jam berbual, aku dan Kyra mengambil keputusan untuk pulang. Aku tekad untuk mendapatkan kerja di syarikat milik keluarga Alif untuk merungkai misteri tentang sepupu Alif.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Sungguh letih rasanya hari ini kerana seharian aku mengikut bos menghadiri mesyuarat di syarikat client. Sejak menggalas tanggungjawab sebagai setiausaha kepada Encik Adam lima bulan yang lalu, hari-hariku sentiasa dipenuhi dengan mesyuarat dan perbincangan tentang projek syarikat. Pada awalnya aku curiga dengan Encik Adam apabila mendengar cerita daripada Kyra. Namun, apabila aku bekerja dengannya, tiada perkara yang mencurigakan dan dia melayan aku dengan baik sekali. Sehingga sekarang, aku masih tidak dapat mencungkil rahsia keluarganya.

“Diana, awak tak balik ke? Dah habis waktu pejabat ni,” kata Encik Adam.

“Eh, bos. Dah lama ke berdiri kat situ?”

“Nak kata lama, tak ada lah lama sangat tapi sempatlah saya tengok awak termenung.”

“Sebenarnya saya nak kemas barang, bos. Sekejap lagi saya balik. Saya nak tengok jadual bos dulu. Mana tahu ada mensyuarat penting esok,” ujarku sambil tersenyum.

“Macam-macamlah awak ni, Diana. Saya tak pernah lagi ada pekerja macam awak ni. Setiausaha saya sebelum ni memang balik ontime. Kadang-kadang 30 minit sebelum tamat waktu kerja, dia dah sibuk kemas barang untuk balik. Tak perlu risau tentang mesyuarat. Kalau ada apa-apa yang penting, awak Whatsapp saja saya. Hari-hari nak Whatsapp pun tak apa. Saya balik dulu ya. Jumpa esok,” kata Encik Adam sambil tersenyum.

Aku seakan-akan tidak percaya dengan apa yang aku dengar sebentar tadi. Mustahil Encik Adam berkata begitu. Tidak mungkin dia suka pada aku. Tapi aku suka pada dia ke? Tidak, tidak, tidak. Aku tak boleh biarkan cinta mengganggu tujuan aku ke syarikat ni. Aku bekerja di sini untuk mengetahui sama ada Encik Adam mempunyai niat jahat terhadap keluarga Kyra. Jangan-jangan dia sudah tahu tujuan aku ke sini dan cuba mengalihkan perhatianku.

Setelah mengambil barang-barang yang perlu dibawa pulang, aku terus berjalan menuju ke tempat parkir kereta. Ketika aku ingin membuka pintu kereta, telefon pintaku berdering.

“Helo auntie, kenapa tiba-tiba telefon Diana?” Agak aneh apabila ibu mentua Kyra menelefon.

Auntie harap Diana dapat bersabar dan dengar betul-betul apa yang Auntie nak sampaikan. Kyra dan Alif kemalangan. Sekarang ni Auntie dan Uncle kat KJMC. Kalau Diana dah habis kerja, boleh lah datang ke sini.”

Air mataku terus gugur apabila mendengar berita itu. Aku bergegas ke hospital kerana ingin tahu tentang keadaan Kyra. Tambahan pula, kandungannya sudah mencecah 8 bulan. Semasa perjalanan ke hospital, aku tidak putus-putus berdoa agar Kyra dan Alif dapat diselamatkan.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Sungguh hiba rasanya apabila menghadiri majlis pengebumian rakan baikku. Tidak kusangka Kyra akan pergi meninggalkan aku secepat ini. Rasanya baru semalam aku mengenalinya sebagai roommateku.

“Sudahlah, Diana. Marilah kita balik. Mesti Alia dah tunggu Diana datang melawat dia,” kata Datin Aminah, ibu mentua Kyra.

“Baiklah, Auntie. Sekejap lagi Diana pergi ke kereta,” jawabku sambil mengelap air mata yang jatuh membasahi pipi.

Aliya Erisa merupakan anak Kyra dan Alif yang dilahirkan tidak cukup bulan. Hanya dia sahaja yang dapat diselamatkan. Aku telah diamanahkan oleh Kyra untuk menjaga anaknya seperti anakku sendiri.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Setelah berfikir selama beberapa hari, aku mengambil keputusan untuk memberitahu Auntie Aminah tentang niatku untuk menyusukan Alia. Aku merasakan hubunganku dengan Alia akan lebih terjamin jika aku menjadi ibu susuannya. Tambahan pula, aku ingin membuat permohonan untuk menjadikannya sebagai anak angkatku. Aku risau jika ibu tiri Kyra mengambil Alia daripadaku. Aku tahu dia pasti tidak akan melepaskan peluang untuk mendapatkan harta daripada keluarga mentua Kyra kerana Alia merupakan satu-satunya pewaris harta Alif.

Auntie, boleh tak Diana nak cakap sesuatu tentang Alia?”

Auntie Aminah yang sedang membaca majalah, terus meletakkan majalah tersebut ke atas meja. “Kan Auntie dah cakap dengan Diana, panggil mama saja. Lagipun mama dah anggap Diana macam anak mama sendiri. Sejak Kyra dan Alif pergi, Diana lah satu-satunya anak yang mama ada,”kata mama.

“Baiklah, mama. Diana akan cuba, bukan senang nak tukar panggilan tu dalam sekelip mata.

“Apa yang Diana nak cakap tentang Alia?”

“Diana rasa Diana nak susukan Alia supaya dia jadi anak susuan Diana. Lagipun Kyra dah amanahkan Diana untuk jaga Alia. Cuma Diana risau tentang Mak Cik Laila sebab dia cakap dia nak dapatkan hak penjagaan untuk Alia. Kalau dia ikhlas untuk jaga Alia, Diana tak kisah tapi disebabkan Diana tahu macam mana sikap mak tiri Kyra tu, Diana jadi risau.”

“Terima kasih banyak-banyak, Diana. Untung Kyra ada kawan baik macam Diana ni. Mama akan tanya Doktor Atira tentang perancangan Diana untuk susukan Alia. Tentang hak penjagaan Alia, mama akan bincang dengan Encik Nazmi, peguam keluarga kita. Lagipun Alia ada surat yang ditinggalkan oleh Kyra. Tak kira apa pun yang terjadi, kita akan berjuang habis-habisan untuk dapatkan hak penjagaan tu.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Akhirnya hari yang dinantikan telah tiba. Hari ini aku akan mendapat tahu tentang hak penjagaan untuk Alia. Walaupun aku belum dapat membuat permohonan untuk menjadikan Alia sebagai anak angkatku, sekurang-kurangnya aku telah pun menjadi ibu susuannya. Aku berharap keluarga mentua Kyra yang mendapat hak penjagaan tersebut kerana aku tidak mahu hidup Alia terseksa jika dia tinggal dengan Mak Cik Laila.

“Diana, awak dah bersedia ke untuk dengar keputusan para hakim sebentar lagi?” tanya Encik Adam.

“Eh, Encik Adam pun datang ke mahkamah hari ni.” Aku berasa pelik kerana Encik Adam juga berada di situ. Setahu aku dia ada mesyuarat untuk kerjasama dengan sebuah syarikat yang akan bermula tidak lama lagi.

“Mestilah saya datang sebab Alia tu kan ahli keluarga saya juga. Dia bukan anak awak seorang tapi anak saya juga. Kebetulan pula Datuk Zaid batalkan mesyuarat pagi ni. Lagi satu saya nak cakap. Kalau kat luar pejabat atau dah habis waktu pejabat, panggil saya Adam saja. Tak perlu letak perkataan ‘encik’ tu dekat depan nama saya.”

Baru sahaja aku ingin meneruskan bicaraku dengan Encik Adam, kami semua diminta masuk ke dewan mahkamah. Aku sungguh berdebar-debar menantikan keputusan untuk hak penjagaan Alia.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Tidak sia-sia usaha aku dan mama untuk mendapatkan hak penjagaan ke atas Alia. Syukurlah, kemenangan berpihak kepada kami. Namun, Mak Cik Laila seperti tidak berpuas hati dengan keputusan para hakim. Nampaknya dia akan cuba mencari jalan untuk mendapatkan hak penjagaan tersebut.

Suasana di luar mahkamah agak kecoh kerana Mak Cik Laila menyerangku. Dia tetap dengan pendirian untuk mendapatkan hak penjagaan Alia.

“Kau jangan ingat semua ini dah selesai, Diana. Aku akan pastikan Alia jadi milik aku. Kau dan keluarga si Alif tu tak layak. Sepatutnya keluarga sebelah ibu yang dapat hak penjagaan tersebut,” kata Mak Cik Laila dengan rasa tidak puas hati.

“Saya minta tolong sangat dengan, mak cik. Janganlah buat kecoh di sini. Mak cik kena ingat yang mak cik hanyalah ibu tiri Kyra. Secara biologinya, Alia dan mak cik langsung tiada pertalian darah. Datin Aminah dan Datuk Azlan ialah waris terdekat Alia dan mereka yang paling layak untuk mendapat hak penjagaan keatasnya”, jawabku.

Mak Cik Laila terdiam dan terus meninggalkan perkarangan mahkamah bersama anak tunggalnya. Ketika berjalan menuju ke kereta, kata-kata Mak Cik Laila masih terngiang-ngiang di telingaku. Jangan risau sahabatku, Kyra. Aku akan pastikan anakmu selamat bersamaku dan keluarga mentuamu. Selagi aku masih bernyawa, akan kupastikan kasih antara kami tidak akan terlerai seperti mana kasihku dan ayahku terlerai. Aku tidak mahu Alia hidup dalam keluarga yang porak-peranda sepertiku. 

*Terima kasih kerana sudi membaca karya saya. Anda dialu-alukan untuk meninggalkan komen yang positif dan membina supaya saya dapat membaiki cara penulisan untuk karya-karya yang akan datang. 

Baca e-karya yang lain:
Kan Kutunggu Kau Kembali Prolog
Kasih Yang Terlerai Bahagian 1

Comments

  1. Lebih baik jadikan sebagai PDF . Dan sharing link download ( upload di mediafire sebagai contoh). Senang pembaca nak baca. hehe. sekadar cadangan sahaja :)

    ReplyDelete
  2. Ada bakat menulis. Boleh diasah lagi ni mana tahu nnt boleh jd penulis novel. Hehe :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Banyak lagi kena belajar sebelum boleh jadi penulis novel😂.

      Delete

Post a Comment