Review Zine Benjamin Karya Hannah Ezaty

Hari ini saya kembali untuk membuat review bagi zine Benjamin karya Hannah Ezaty. Untuk pengetahuan semua, zine ini merupakan buku yang bilangan muka suratnya lebih sedikit daripada novel ataupun mini novel. Kebiasaannya, bilangan muka surat adalah kurang daripada 100 muka surat.

Zine ini telah saya pra-tempah pada bulan Jun 2019 . Saya antara orang terawal yang buat tempahan. Pada 3 Ogos 2019, buku ini telah selamat sampai. Namun, saya terpaksa tangguhkan perancangan untuk membuat review walaupun dah habis baca atas beberapa sebab. 

Zine ini saya beli sekali dengan zine Bodyguard Untuk Cik CEO tapi untuk zine lagi satu, nantilah saya tulis review. Macam biasalah, kalau beli dengan novelis Hannah Ezaty, akan dapat free gift dan tandatangan. Untuk pengetahuan semua, zine ini adalah terbitan Storyteller, syarikat penerbitan milik novelis Hannah Ezaty. Jadi, memang zine ini tidak dijual di kedai buku.

Harga zine Benjamin ialah RM 18. Tapi saya beli dengan harga RM 16 kerana saya beli combo dengan zine Bodyguard Untuk Cik CEO. Dapatlah murah sikit masa pra-tempah ni. Marilah baca review zine ini.

Benjamin Karya Hannah Ezaty

Judul: Benjamin
Penulis: Hannah Ezaty
Genre: Misteri, kekeluargaan
Tahun terbitan: 2019
Penerbit: Storyteller
Harga: RM 18
Mukasurat: 102

Review:
Zine ini mengisahkan tentang Benjamin yang tiba-tiba merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan hidupnya. Selepas minum secawan kopi di sebuah kedai, keretanya hilang. Kemudian, isteri dan anaknya juga hilang. Kesian jugalah apabila baca tentang kehidupan Benjamin yang huru-hara dalam sekelip mata.

Semasa masih tercari-cari jawapan tentang apa yang sebenarnya terjadi, Benjamin berjumpa dengan Sophie. Sophie ni banyak membantu Benjamin walaupun mereka baru saja bertemu. Dia membantu Benjamin untuk mencari keluarganya dan juga mencari penginapan kerana rumah Benjamin sudah bertukar pemilik. 

Perkara yang paling menyedihkan adalah apabila Benjamin mengetahui yang isterinya sudah berkahwin dengan orang lain, anaknya, Tia membenci Benjamin, kakak iparnya, Sahara meninggal dunia dan syarikatnya telah dijual kepada orang lain. Nampak macam mustahil sebab tiba-tiba saja semuanya berubah.

Walaupun fokus cerita adalah kepada Benjamin, watak Hairi, bakal tunang Sophie juga mempengaruhi perjalanan hidup Benjamin dan Sophie. Hairi ini merupakan watak antagonis. Dia seorang yang cemburu buta dan suka menggunakan kekerasan.

Pada awalnya saya tertanya-tanya tentang apa yang terjadi kepada Benjamin. Adakah dia hilang ingatan, bermimpi atau perkara lain yang terjadi? Di penghujung cerita, Benjamin membuat satu perjanjian dengan Sophie. Namun, janji itu hanya dapat ditunaikan jika Benjamin berjaya mencari penyelesaian untuk masalah yang sedang dihadapinya.

Dapatkah Benjamin menunaikan janjinya kepada Sophie? Apakah yang sebenarnya terjadi kepada Benjamin? Semuanya bakal terjawab dalam zine Benjamin karya Hannah Ezaty.

Pengajaran:
- Hargai orang yang tersayang. Benjamin seharusnya lebih menghargai isteri dan anaknya dengan meluangkan lebih masa dengan mereka ketika mereka berada di sisinya..   
- Bertanggungjawab. Sophie bertanggungjawab terhadap kesalahannya melanggar Benjamin dengan membawa Benjamin ke klinik.
- Menyelesaikan masalah dengan baik. Hairi sepatutnya berbincang secara baik dengan Sophie apabila ternampak Sophie dengan Benjamin dan bukannya menggunakan kekerasan.

Secara keseluruhannya saya ingin beri 9.5/10 bintang kepada zine ini. Saya suka konsep yang dipersembahkan dalam buku terbitan Storyteller. Setelah membaca teaser saja saya sudah tertarik untuk mengetahui apa yang terjadi kepada Benjamin.

Baca review mini novel yang lain:
-9 Nota
-Psiko
-Dating Miss Millionaire

Comments

  1. Wow.. nice.. Bila beli kombo memang lagi berbaloikan Jannah..

    ReplyDelete

Post a Comment