E-Cerpen: Satu Perkara

Hai semua. Rasanya sudah lama saya tidak berkongsi cerpen di blog ini. Kali terakhir adalah cerpen Kasih Yang Terlerai. Hari ni saya kembali dengan cerpen baru iaitu, Satu Perkara.

Cerpen ini memaparkan kisah persahabatan. Mungkin ada antara anda semua yang pernah melalui situasi seperti dalam cerpen ini. Selamat membaca.

E-Cerpen Satu Perkara

     Suasana di kafe universiti agak lengang pada pagi itu. Mungkin kerana kebanyakan pelajar mempunyai kelas pada waktu pagi. Nampaknya hanya aku dan beberapa orang pelajar saja yang berada di kafe.

     Bukan menjadi satu kebiasaan untuk aku makan seorang diri di kafe. Namun, aku harus membiasakan diri dengan suasana baru ini. Bukan semua orang akan kekal bersama kita selama-lamanya dan aku sedang cuba untuk menerima hakikat itu.

     Baru saja aku ingin menjamah makananku, aku terlihat Adam sedang berjalan menuju ke arahku sambil membawa sepinggan makanan. Aku tahu kedatangan lelaki itu pasti ditemani dengan niat yang terselindung. Aku penat untuk menjawab segala persoalan yang bermain di fikiran orang lain. Bukan aku tidak mahu bercerita tetapi bagiku biarlah aku simpan aib dan keburukan orang lain.

    “Hai, Jasmin. Makan seorang diri saja ke?” Adam menyapa.

    “Kau ada nampak aku makan dengan sesiapa ke kat sini? Kalau tak ada, maknanya aku makan bersendirianlah. Aku tahu tujuan kau datang ke sini, Adam. Tapi aku tetap dengan pendirian aku. Walau banyak kali kau bertanya, jawapan aku tetap sama,” jawabku.

     “Takkan nak bergurau pun tak boleh. Kau dah lainlah sekarang ni, Jasmin. Aku tahu mesti ada sesuatu yang terjadi dua minggu lepas kan? Kau ingat aku tak nampak ke perubahan ni? Bukan aku saja. Satu kelas tahu ada sesuatu yang tak kena.” Rasa ingin tahu Adam makin membuak-buak apabila aku tidak memberitahu kepadanya tentang perkara yang menbelenggu fikiran rakan sekelas kami.

     “Tak ada apa untuk diceritakan, Adam. Aku hanya teruskan hidup macam biasa. Aku masih pergi ke kelas. Bukannya aku berhenti belajar atau menghilangkan diri.” Aku tidak tahu bagaimana ingin melarikan diri daripada soalan Adam lagi. Penat menjawab soalan-soalannya.

     “Memanglah kau masih belajar kat sini. Apa yang aku maksudkan adalah dari segi rutin harian kau. Kau ingat aku tak tahu. Waktu-waktu macam ni adalah waktu kau makan dengan BFF kau, Aini. Semua orang perasan yang friendship kau dan dia ada masalah. Dalam kelas pun dah duduk berjauhan sekarang. Kau dengan dia dah macam orang asing” Panjang lebar Adam menjelaskan teorinya terhadap apa yang berlaku sekarang ni.

     “Semua orang ada masalah dalam hidup. Mana ada apa-apa perhubungan yang tidak dilanda masalah. Terus-terang aku cakap pada kau. Apapun yang terjadi antara aku dan dia, biarlah kami dan Tuhan saja yang tahu. Aku bukanlah orang yang akan ceritakan keburukan seseorang atau  permasalahan dalam sesuatu friendship.” Tidak mungkin aku akan mengorbankan prinsipku hanya untuk memuaskan hati orang lain.

     “Aku faham maksud kau. Cuma aku dan yang lain-lain rasa pelik. Kau dan Aini tu dah berkawan lebih daripada tiga tahun. Memang kemana-mana bersama. Tiba-tiba je seorang ke utara, seorang ke selatan. Lagipun, kau nampak macam sedih dan kecewa je macam orang putus cinta.” Rasanya kalau dibiarkan Adam bercakap, sampai esok pun tidak akan habis sesi soal siasat. Aku harus mencari helah untuk pergi dari sini.

    “Biar aku ringkaskan cerita, Adam. Friendship aku dengan Aini memang dilanda masalah. Macam yang kau cakap. Kami dah tak rapat macam dulu. Aku rasa semua orang boleh nampak apa yang terjadi sekarang ni. Dalam hidup kita ni, akan sampai waktunya perpisahan akan terjadi. Itulah yang aku sedang hadapi sekarang.”

   “Jasmin, kau jangan buat-buat tak faham soalan aku. Jangan nak tukar topik dengan ayat-ayat motivasi kau. Kau ingat aku tak tahu kau sebenarnya cuba nak simpan sendiri apa yang kau rasa. Kau fikir kau boleh tangani semua masalah ni sendiri, kan.” Apabila Adam sudah mula mempersoalkan kemampuannya untuk menghadapi masalah ini, aku mula ragu dengan diri sendiri tetapi aku tidak ingin mengalah.

    “Aku yakin aku boleh lalui semua ni seorang diri. Lama-lama nanti mesti aku boleh sesuaikan diri. Kau tak perlulah risau tentang aku.” Aku cuba meyakinkan diriku walaupun sebenarnya aku juga tidak tahu sama ada aku mampu atau tidak.

    “Kau minta aku tak risau tentang kau. Kalau kau betul-betul mampu hadapi semua ni seorang diri, kau tak akan jadi macam sekarang. Datang kelas lewat hampir setiap hari. Dalam kelas pun kau termenung saja. Itu belum termasuk lagi tugasan yang bertangguh. Kita ni dalam satu kumpulan untuk tugasan Prof Amar. Kau rasa dengan keadaan kau yang macam ni, kau boleh fokus macam biasa ke?” Adam meninggikan sedikit suaranya.

    “Aku minta maaf, Adam. Aku tak berniat pun nak susahkan kau. Aku akan pastikan kita dapat siapkan tugasan Prof Amar tu dengan baik. Aku harap kau dapat beri aku sedikit masa.”

    “Aku dah tunggu dua minggu, Jasmin. Kau sedar tak yang dua minggu lagi dah final exam. Maksudnya, minggu depan kita kena hantar tugasan Prof Amar. Kalau boleh, aku memang nak bagi kau masa tapi aku dah tak ada masa lagi untuk bagi pada kau. Masalah kau adalah kau suka pendam semua benda sebab tu kau jadi makin tertekan. Kau kena luahkan pada seseorang. Tak semestinya pada aku.”

    Setelah aku mendengar kata-kata Adam, aku tahu ada betulnya juga apa yang dia katakan. Namun, agak susah untuk orang seperti aku. Aku sudah biasa menghadapi masalah seorang diri.

    “Baiklah, Adam. Yang menjadi persoalan kepada kau dan kawan-kawan sekelas kita ialah macam mana benda ni boleh terjadi. Sebenarnya......” Otakku cuba mencari jawapan yang paling selamat tetapi dapat memuaskan hati Adan.

     Ketika memikirkan jawapan yang ingin kuberikan kepada Adam, telefonku berdering. Rakan sebilikku menelefon. Aku tidak boleh mensia-siakan peluang ini untuk melarikan diri. Tanpa melengahkan masa, aku terus menjawab panggilan tersebut.

    “Helo, Mimi. Aku di kafe sekarang ni. Ada apa kau telefon?” Hairan pula aku apabila Mimi menelefon pada waktu pagi begini.

   “Macam ni, Jasmin. Aku sebenarnya...” Belum sempat Mimi menghabiskan ayatnya, aku terus memulakan misi melepaskan diri daripada Adam. Sekali-sekala aku terpaksa menipu.

   “Oh, urgent ya. Tak apa. Aku balik bilik sekarang. Kau tunggu ya. Sekejap lagi aku sampai.” Selepas menamatkan panggilan, aku terus mengambil barang-barangku dan bersedia untuk melarikan diri.

    “Eh, kau nak pergi mana? Kau belum habis cerita lagi. Takkan cerita tergantung macam ni.” Adam tidak berpuas hati dengan ceritaku yang hanya separuh jalan.

    “Aku ada hal penting ni. Lain kalilah aku sambung cerita. Aku cuma boleh beritahu yang dalam hidup aku ada satu perkara yang semua orang tak patut buat. Kalau kau buat perkara tu, maknanya kau dah betul-betul kecewakan aku. Itulah yang terjadi antara aku dan Aini. Aku pergi dulu, Adam.” Tanpa melengahkan masa, aku terus bergegas pulang ke hostel. Nampaknya aku berjaya menyelamatkan diri daripada Adam sekali lagi.

    Aku berasa bersalah kerana meninggalkan Adam dengan tanda tanya walaupun aku tahu dia berniat baik sebenarnya. Namun, aku belum bersedia untuk bercerita dan aku tidak tahu bila aku akan bersedia.  Biarlah hanya yang terlibat dalam permasalahan ini saja tahu tentang apa yang terjadi. Tiada siapa yang sempurna di dunia ini tetapi aku tidak mahu menjadi manusia yang menunjukkan ketidaksempurnaan orang lain.

Pengajaran: 
-Elakkan bercerita keburukan orang lain apabila kita sudah tidak rapat dengan orang tersebut.
-Jangan terlalu memendam perasaan sehingga menjejaskan kehidupan seharian. Carilah orang yang boleh dipercayai untuk bercerita.
-Hormati keputusan orang lain.

*Semoga karya ini memberikan manfaat kepada semua yang membaca. Terima kasih atas sokongan anda. Jangan lupa tinggalkan komen tentang karya ni😁. Maafkan segala kesilapan dalam penulisan kerana saya masih baru dalam bidang ini.

Baca e-karya yang lain:
Kan Kutunggu Kau Kembali Prolog
Kasih Yang Terlerai Bahagian 1

Comments

  1. akak dulu pun suka tulis cerpen, pernah keluar kat majalah remaja. tapi skrg dah berkarat, BM makin teruk, tak diasah, keep it up jannah. semoga lebih success

    ReplyDelete

Post a Comment