E-Cerpen: Kini Kau Tahu

Hai semua. Hari ni ada satu lagi cerpen yang saya ingin kongsikan di sini. Sebenarnya dah lama mula tulis cerpen ni cuma tak sempat nak edit. Tajuknya ialah Kini Kau Tahu. Terima kasih buat yang sudi baca.

E-Cerpen Kini Kau Tahu 

            Seawal pukul 6.30 pagi, suasana hening di rumahku bertukar riuh dengan kehadiran anak-anak saudaraku. Sudah menjadi rutin kak long untuk menghantar anak-anaknya ke rumahku sebelum dia ke tempat kerjanya. Sebenarnya bukan rumah yang aku beli atau sewa tetapi rumah peninggalan kedua ibu bapaku.

            “Mak su, adik dah sampai,” jerit Alia sambil berlari masuk ke dalam rumah. Anak saudaraku yang itu memang selalu teruja untuk datang ke rumahku.

            “Hai, anak saudara mak su yang comel ni. Kakak mana?” Hairan aku apabila tidak nampak Arisa ikut serta pagi ini. Sekarangkan cuti sekolah takkan Arisa tinggal sendiri di rumah kak long.

            “Kakak ada kat luar. Tengah angkat beg. Adik tolong angkat teddy bear adik je.” Macam-macamlah telatah anak saudaraku yang bongsu ni.

“Kesian kakak. Kenapa adik tak tolong kakak angkat beg?” tanyaku. Sebenarnya aku sudah tahu jawapan yang akan diberikan oleh Alia tetapi aku saja ingin mengusiknya. “Tak payah jawab. Mak su dah tahu jawapannya. Sebab adik masih kecil. Tak larat nak angkat barang yang berat. Betul tak?”

“Betul, betul, betul. Pandailah, mak su ni.”

Ketika asyik berbual dengan Alia, Arisa dan kak long melangkah masuk ke dalam rumah. Agak besar beg yang dibawa kali ini. Aku tidak pasti apakah perancangan kak long.

“Arisa dengan adik pergi letak beg dalam bilik dulu. Mak su nak cakap dengan mummy jap.” Aku sengaja menyuruh mereka ke bilik kerana tidak mahu mereka dengar apa yang akan aku bualkan dengan kak long.

            Okay, mak su,” jawab Alia lalu terus mengambil beg keperluannya dan berjalan menuju ke bilikku bersama kakaknya.

            Setelah mereka berlalu, aku berhadapan dengan kak long seperti biasa. Pasti ada sesuatu yang ingin dibincangkan denganku. Jika tidak, memang susah untuk nampak muka kak long ketika dia menghantar anaknya.

            “Berapa lama kak long nak tinggalkan diaorang kat sini? Nampak macam banyak je barang,” tanyaku. Aku bertanya bukan sebab aku tak suka. Kalau aku tak suka dengan kehadiran anak-anak saudaraku, sudah lama aku tutup pintu rumah ni apabila mereka datang.

            “Kak long nak tinggalkan diaorang kat sini sepanjang cuti sekolah ni. Dapat jimat duit minyak sikit. Lagipun rumah kau dengan tempat kerja kak long bertentangan arah. Takkanlah masa cuti sekolah pun kak long nak berulang-alik ke rumah kau. Kau tu bujang tak pelah. Tak banyak tanggungan. Kak long ni banyak benda nak kena bayar.” Panjang lebar betul penjelasan yang diberikan kak long. Seperti biasalah, dia akan bandingkan kehidupan dia yang sudah berkahwin dengan aku yang bujang ni.

“Kak long ni biar betul. Cuti sekolah sebulan lebih, Lama tu. Hari biasa pun diorang jarang dapat luangkan masa dengan kak long. Takkan masa cuti sekolah pun macam tu juga. Dioarang tu anak-anak kak long tahu tak. Bukan anak Tifa.”

“Kau ni takkan kakak sendiri minta tolong pun nak berkira. Kak long ni banyak tanggungjawab lain lagi. Kerja, suami dengan anak-anak. Ditambah pula dengan kerja rumah. Kau ingat senang ke nak tanggung anak-anak yang semakin membesar. Banyak perbelanjaanya. Kak long kena kerja untuk tolong abang long. Penat tahu tak. Bukan macam kau. Kau kena fikir untuk tanggung diri kau je. Lagipun kau kerja dari rumah. Kena keluar untuk pos barangan kepada pelanggan je. Kau takkan faham sebab kau tak ada anak dan suami.”

Apabila kak long sudah membangkitkan isu aku tak faham kerana aku belum berkahwin, memang aku dah mula naik angin. Dia ingat aku yang bujang ni tak ada kerja ke. Nasib baiklah dia ni kakak aku. Kalau orang lain, memang aku malas nak layan. Cakap ikut sedap mulut je.

“Memang Tifa belum berkahwin. Tak ada suami. Tapi Tifa pun ada kehidupan Tifa dan tanggungjawab tersendiri. Kalau Tifa ni berkira, dah lama Tifa kunci pintu rumah ni dan tak bagi kak long hantar anak-anak kak long kat sini. Daripada kak long habis pantang sampailah Arisa tu dah masuk sekolah rendah, Tifa yang jaga. Kak long cuma hantar dia ke rumah Tifa je. Pergi dan balik sekolah pun dengan Tifa. Makan minum anak-anak kak long pun Tifa sediakan walaupun bukan selalu kak long hulurkan duit untuk beli makanan. Kak long cuma perlu jaga suami dan kerja je. Kerja rumah pun bukanlah banyak sangat sebab rumah kak long bukannya bersepah pun. Yang bersepahnya rumah Tifa. Kak Long ingat ada orang lain ke yang nak buat kerja rumah kat sini. Semua Tifa buat sendiri. Tifa pun ada kerja untuk sara diri Tifa. Bil-bil kat rumah ni Tifa yang bayar. Masa semua balik raya, Tifa yang bayar bil elektrik yang naik melambung daripada biasa. Tak ada pun yang nak hulur duit.” Puas hati aku apabila dapat ceramahkan kak long. Dia ingat hidup dia je ke dilanda ujian. Setiap manusia tu memang akan diuji cuma mungkin dalam bentuk yang berbeza.

Kak long seakan-akan terkejut apabila aku lantang menyuarakan apa yang terbuku di hatiku. Selama ini aku hanya diam kerana tidak mahu mencari gaduh. Tetapi kesabaran aku ada hadnya juga.        

“Sudahlah, Tifa. Kalau kau dah kahwin dan ada anak nanti, kau tahulah apa yang kak long rasa. Kak long dah lambat ni. Kak long pergi dulu. Nanti kak long transfer duit belanja untuk Arisa dan Alia.” Kak long terus berlalu pergi ke keretanya.

Ingatkan nak cakap terima kasih. Rupa-rupanya terus pergi macam tu je. Nasib baik aku sayang Arisa dan Alia tu. Kalau aku ni mak saudara yang kejam, dah lama kena dera budak berdua tu.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
“Arisa. Alia. Mak su dah siap masak. Jom kita makan.” Tidak sabar rasanya untuk medengar komen mereka berdua tentang resepi yang baru aku cuba ini. Kebetulan semalam aku ternampak resepi ayam buttermilk di Facebook.

Waktu makanlah yang paling dinanti-nantikan oleh Arisa dan Alia. Dari jauh sudah kedengaran bunyi tapak kaki mereka yang berlari-lari menuju ruangan dapur.

“Sedapnya bau. Mak su masak apa hari ni?” tanya Arisa.

“Mak su masak ayam buttermilk. Hari ni kita cuba resepi baru. Nanti Arisa dengan adik tolong komen ya.”

“Boleh, mak su,” jawab mereka serentak. Kedua-duanya memang suka memberikan komen tentang masakanku. Walaupun kehadiran mereka menambahkan satu lagi tanggungjawabku, tetapi aku seronok dengan kehadiran mereka. Sekurang-kurangnya tidaklah aku terlalu sunyi di rumah ini.

Okay. Jadi, Arisa dengan adik cuci tangan dulu. Pastikan tangan bersih sebelum makan. Mak su nak keluarkan buah daripada peti sejuk jap.” Kedua-duanya terus pergi ke sinki untuk mencuci tangan. Sejak mereka mula makan sendiri, aku sudah menerapkan aspek-aspek kebersihan. Kalau nak harapkan mak dan ayah diaorang, tak tahulah apa jadi pada anak-anak saudaraku ini.

“Mak su, kami dah siap basuh tangan. Dah boleh makan ke?” tanya Arisa dan Alia.

“Boleh. Cepat duduk. Makan buah dulu ya. Lepas tu, baru makan nasi. Buah ni bagus untuk kesihatan kita. Arisa dengan adik nak jadi sihat tak?” Seperti biasa, aku akan cuba menerapkan gaya hidup sihat kepada mereka.

“Nak, mak su,” jawab mereka berdua lalu mengambil buah pir yang sudah kupotong. Nampaknya buah ini kena dengan selera mereka. Hampir habis sepinggan buah pir. Usai memakan buah, mereka berdua terus merasa ayam buttermilk.

“Macam mana rasanya? Sedap tak?” tanyaku. Tidak sabar ingin mendengar komen mereka berdua.

“Sedap, mak su. Bestnya dapat makan masakan mak su hari-hari. Adik suka ayam ni. Nanti Mak su masak lagi ya. Kalau kat rumah, kitaorang selalu makan makanan kedai je.” Ini bukan pertama kali Alia memberitahuku yang kak long jarang memasak. Tapi aku malas nak cari gaduh dengan kak long. Yang penting apabila dengan aku, makan minum mereka terjaga.

“Boleh. Kalau adik nak makan apa-apa, minta je pada mak su. Nanti mak su masakkan. Arisa pula macam mana? Senyap je.”

“Bukan setakat sedap je tapi sedap sangat, mak su. Dengan mak su je kitaorang boleh minta tolong masakkan makanan yang kitaorang nak. Kitaorang nak tinggal dengan mak Su lah sampai bila-bila.” Ayat Arisa ni buat aku sebak pula. Tak tahulah macam mana kalau satu hari nanti kami kena berpisah.

“Boleh. Pintu rumah mak su sentiasa terbuka untuk Arisa dengan adik. Tapi jangan lupa pada mummy dan daddy. Dioarang kerja untuk korang berdua. Mummy lagi pandai masak daripada mak su cuma mummy sibuk sikit sebab tu jarang-jarang dapat masak. Nanti kalau mummy tak sibuk, mesti mummy masak. Petang ni, mak su yang masak. Korang berdua nak makan apa?”

“Adik nak makan ayam kicap. Dah lama tak makan ayam kicap mak su,” jawab Alia.

“Arisa nak makan cendawan goreng. Mak su kan dah janji nak masakkan untuk Arisa.”

Okay. Tak ada masalah. Tapi bahan-bahan nak masak tak cukuplah. Jadi, kita kena keluar beli baranglah. Siapa nak ikut mak su?”

“Saya,” kedua-duanya menjawab serentak. Mereka memang suka mengikutku membeli barang dapur.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Setelah dua minggu Arisa dan Alia tinggal bersamaku, baru sekali kak long dan abang long datang melawat anak-anak mereka. Aku rasa kalau dibiarkan berterusan, Arisa dan Alia dah tak kenal ibu bapa mereka. Orang lain pun kerja juga tetapi masih ada masa untuk anak-anak.

Dua tiga hari ni pula, aku kurang sihat. Pening kepala dan senggugut. Tetapi aku gagahkan diri juga untuk memasak bagi anak-anak saudaraku. Baru aku mahu terlelap, Arisa masuk ke bilikku.

“Mak su, adik demam. Badan dia panas sangat,” beritahu Arisa.

“Teruk ke demamnya?” tanyaku. Risau pula apabila Alia tiba-tiba demam. Patutlah rumahku tidak riuh-rendah seperti kebiasaannya.

“Teruk juga, mak su. Dia tak makan nasi pun tadi. Arisa seorang je yang makan. Sebenarnya dari pagi tadi dah, badan dia mula panas. Tapi tak sepanas sekarang. Arisa risaulah, mak su. Macam mana ni?”

“Kita kena bawa adik pergi klinik secepat mungkin kalau macam tu. Tapi mak su kurang sihat. Arisa tolong telefon mummy. Beritahu yang adik demam.” Aku segera memberikan telefon pintarku kepada Arisa. Nasib baik budak-budak zaman sekarang ni celik IT.

Okay, mak su.”

Setelah berkali-kali mendail nombor kak long, masih tiada sebarang respon. Aku tidak yakin yang aku boleh memandu dalam keadaan baik sekarang tetapi aku tidak boleh membiarkan sahaja Alia begitu. Lagipun aku tidak biasa memandu pada waktu malam. Rasanya lebih baik jika kami naik Grab untuk ke klinik.

“Tak apalah, Arisa. Kita pergi naik Grab saja. Arisa tolong papah adik keluar ya. Mak su nak ambil dompet dan sijil lahir adik dulu.”

“Baik, mak su. Arisa pergi sekarang.”

Nasib baik kak long sudah sediakan semua dokumen penting setiap kali dia menghantar anak-anaknya ke rumah ini. Walaupun dia selalu menyakitkan hati aku, tapi aku puji kak long dalam hal-hal sebegini.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Setelah 15 minit menunggu, akhirnya pemandu Grab tiba di hadapan rumah. Kelihatan seorang wanita dalam lingkungan 30-an berada di tempat duduk pemandu.

“Arisa. Adik. Jom masuk dalam kereta.”

Mereka hanya mengikut arahanku tanpa banyak karenah. Aku bersyukur kerana anak-anak saudaraku yang ini selalu menurut kata dan tidak menyusahkanku seperti anak-anak angah. Mungkin kerana aku aku yang membesarkan mereka dengan cara yang aku inginkan.

Aku lihat jalan raya dipenuhi dengan banyak kereta. Ramai yang mengambil peluang untuk keluar berjalan bersama keluarga. Betapa beruntungnya mereka mempunyai ibu bapa yang boleh mencari sedikit masa untuk keluar bersama. Aku tidak tahu bagaimana nasib Arisa dan Alia andai aku harus pergi satu hari nanti. Lamunanku terhenti apabila dipanggil oleh Arisa.

“Mak su, lambat lagi ke nak sampai klinik?” tanya Arisa.

“Tak lama dah nak sampai klinik. Kenapa Arisa tanya?”

“Arisa mengantuklah, mak su. Boleh tak Arisa nak tidur dulu?”

“Boleh. Nanti mak su kejutkan Arisa kalau dah sampai klinik.”

“Janji ya, mak su? Mak su akan kejutkan Arisa nanti. Arisa takut kena tinggal sorang-sorang,” kata Arisa dengan wajah penuh kerisauan.

“Ya, Arisa. Mak Su akan kejutkan Arisa nanti. Arisa takkan tinggal sorang-sorang. Mak su kan ada dengan Arisa.” Aku cuba meyakinkan Arisa yang aku tidak akan tinggalkannya. Namun, aku sendiri tidak yakin berapa lama aku mampu melakukannya.

Suasana sunyi di dalam kereta membuatkan aku hampir terlelap. Tambahan pula, Alia tidak berdaya untuk bercakap seperti biasa. Dia hanya tidur sepanjang perjalanan. Arisa pula sudah lena tidur selepas berbual denganku. Tiba-tiba, aku ternampak sebuah kereta bergerak laju dari arah hadapan walaupun lorong yang kami lalui adalah laluan sehala. Kereta tersebut semakin menghampiri lalu perlahan-lahan semuanya makin kabur dari penglihatanku.

Aku tidak tahu apa yang terjadi. Adakah aku masih bernafas? Bagaimana pula keadaan Arisa dan Alia? Dapatkah aku tunaikan janjiku? Hanya Tuhan yang yang tahu.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Tubuhku terasa begitu lemah. Setiap pergerakan diiringi dengan rasa sakit. Penglihatan yang tadinya kabur, kini semakin jelas. Aku lihat wajah kak long yang penuh dengan kesedihan. Namun, aku gembira melihat wajah itu kerana itu tandanya kak long begitu sayangkan aku.

“Syukurlah, akhirnya Tifa dah sedar. Dah beberapa hari kak long tunggu Tifa.” Kelihatan tangisan kesyukuran dan kegembiraan mengalir dari mata kak long.

“Kak… long…, ma…na…Arisa dan Alia?” Aku mengumpulkan segala kekuatan yang ada untuk bercakap dengan kak long.

“Arisa dan Alia baik-baik saja. Kecederaan tak parah seperti Tifa. Tak lama Tifa boleh jumpa dengan anak-anak saudara kesayangan Tifa tu.” Jelas kelihatan kak long tidak ingin aku begitu risau. Namun, aku sendiri tidak yakin berapa lama lagi masa yang tinggal.

“Tifa tak…tak…banyak masa…” Belum sempat ayat itu dihabiskan, kak long sudah bersuara.

“Jangan cakap macam tu, Tifa. Kak long tahu Tifa kuat. Tifa boleh lalui semua ni dan kita akan kembali macam dulu. Arisa dan Alia mesti tak sabar untuk jumpa mak su diaorang.” Air mata kak long mengalir semakin deras.

“Tolong jaga A…A…Arisa dan A…lia. Tifa sa…yang…semua. Halalkan ma…ma…makan minum Ti…Fa.”

“Tifa. Tifa…Tifa…Jangan buat kak long macam ni. Jangan tinggalkan kak long. Kak long halalkan semua, Tifa. Maafkan kak long sebab tak dapat jadi seorang kakak yang baik. Terima kasih jadi ibu yang baik untuk anak-anak kak long.

Pengajaran: 
-Hargai orang yang kita sayang dan orang yang sayang pada kita kerana kita tidak tahu bila dia atau kita akan pergi.
-Teruskan membuat kebaikan walaupun bukan semua orang menghargai kebaikan kita.
-Jangan ambil kesempatan atas kebaikan orang lain.

*Semoga karya ini memberikan manfaat kepada semua yang membaca. Terima kasih atas sokongan anda. Jangan lupa tinggalkan komen tentang karya ni😁. Maafkan segala kesilapan dalam penulisan kerana saya masih baru dalam bidang ini.

Baca e-karya yang lain:
Satu Perkara
Kasih Yang Terlerai Bahagian 1

Comments