Review Novel Diam Karya Zura Anwar

 Hai semua pencinta novel. Untuk entri ini, saya akan review novel Diam karya Zura Anwar.

Novel ini saya beli di Popular Online sekali dengan novel Yang Tersembunyi. Saya tertarik dengan novel Diam ini kerana tajuk dan sinopsisnya. Selain itu, muka depan juga seolah-olah simbolik terhadap apa yang mungkin berlaku dalam novel tersebut.

Untuk pengetahuan semua, Zura Anwar merupakan seorang penulis yang novelnya pernah diadaptasi ke telefilem. Saya pernah tonton telefilem Ghairah yang diadaptasi dari novel Ghairah oleh beliau. Namun, Diam adalah karya beliau yang pertama saya baca.

Jom kita baca review untuk novel Diam ini.

Diam Karya Zura Anwar

Judul: Diam
Penulis: Zura Anwar
Genre: Thriller/kekeluargaan
Tahun terbitan: 2020
Penerbit: Dear Novels
Harga: RM 24
Mukasurat: 253

Review:
Diam mengisahkan tentang keluarga Pak Muhib yang cuba menyembunyikan jenayah yang dilakukan tanpa sengaja. Semuanya bermula pada hari rombongan meminang untuk Shida (anak Pak Muhib) datang berkunjung. Murad menceroboh masuk ke rumah kerana kecuaian Mak Yam (isteri Pak Muhib) yang terlupa mengunci pagar rumah.

Berlaku kejadian yang tidak dijangka dan Pak Muhib telah melakukan sesuatu yang melanggar undang-undang untuk menyelamatkan anaknya. Maka, bermulalah perjalanan Pak Muhib, Mak Yam dan anak-anak mereka (Shida, Saiful dan Safwan) untuk mencari jalan penyelesaian.

Saya tertarik dengan watak Saiful yang matang dan sangat berpengetahuan walaupun dia hanya berusia 17 tahun. Minat yang mendalam terhadap bidang penyiasatan membuatkan Saiful berjaya menjadi penyelamat untuk keluarganya. Dia yang memastikan kelancaran setiap apa yang dirancang.

Sebenarnya, perkara yang berlaku hampir terbongkar beberapa kali. Namun, kebijaksanaan dan sikap tenang Saiful sering menyelamatkan keadaan. Tidak dinafikan watak Safwan yang berusia 5 tahun juga menarik. Begitu kuat hubungan kekeluargaan antara ahli keluarga Pak Muhib sehingga Safwan yang masih kecil juga boleh memberikan kerjasama.

Dari bab 5 hingga bab 24, perasaan berdebar, risau dan takut menyelubungi keluarga Pak Muhib. Setelah berjaya menghapuskan bukti, mereka masih berasa tidak tenteram terutamanya apabila polis datang ke rumah untuk soal siasat setelah Dato' Ismail (bapa Murad) membuat laporan polis. 

Untuk melupakan perkara yang terjadi, Pak Muhib dan keluarganya mengambil keputusan untuk berpindah selepas Saiful habis SPM. Setelah 20 tahun, Pak Muhib mengirimkan surat tanpa nama penghantar kepada Dato' Ismail untuk menjelaskan segalanya. 

Ada plot twist sedikit pada penghujung novel. Tapi saya masih tertanya-tanya apakah tujuan watak tersebut melakukan tindakan sedemikian.

Pada pendapat saya, mesej utama yang penulis cuba sampaikan adalah hidup seseorang tidak akan tenang jika dia cuba untuk menyembunyikan kesalahannya dan mengelakkan diri dari hukuman. Memori pahit tidak dapat dibuang dan akan terus bersamanya hingga akhir hayat.

Pengajaran:
- Bertanggungjawab terhadap tindakan sendiri. Pak Muhib seharusnya bertanggungjawab terhadap tindakan yang dilakukan dan menyerah diri. 
- Kifarah itu wujud. Pak Muhib dan Dato' Ismail telah menerima balasan akibat dosa-dosa mereka. Pak Muhib diuji dengan penyakit manakala Dato' Ismail diuji dengan kehilangan anaknya.
- Mengutamakan aspek keselamatan. Ahli keluarga Pak Muhib sepatutunya memastikan pintu rumah dan pagar mereka berkunci sebelum meninggalkan rumah. Jika mereka memberikan lebih perhatian terhadap aspek keselamatan, mungkin kejadian buruk tidak berlaku.

Secara keseluruhannya saya ingin beri 9.4/10 bintang kepada novel ini. Banyak elemen penyiasatan yang diceritakan dalam novel ini terutamanya melalui watak Saiful. Cuma saya kurang faham sedikit plot twist di penghujung novel. Selain itu, saya ingatkan Pak Muhib dan keluarganya akan menyerah diri tetapi dia hanya membuat pengakuan melalui surat.

Baca review novel yang lain:
-Vila Puaka karya Phakinai
-Psiko karya Rosa Nur
-Yang Tersembunyi karya Zura Anwar

Comments

Post a Comment